Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ratusan ribu ultra-Ortodoks Israel ikut bantahan wajib sertai tentera

Seorang remaja lelaki usia 15 tahun maut selepas terjatuh dari bangunan dalam pembinaan berhampiran lokasi perhimpunan
Oct 31, 2025 | 10:28 AM
ultra-Ortodoks, Israel,  bantahan wajib tentera
Lelaki Yahudi ultra-Ortodoks berhimpun di atas dan bawah Jambatan Chords semasa tunjuk perasaan ‘Perarakan Sejuta Umat’ bagi membantah pengambilan wajib tentera Israel di Baitulmakdis, pada 30 Oktober 2025. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas terjatuh dari bangunan dalam satu perhimpunan besar-besaran masyarakat Yahudi, ultra-Ortodoks, yang membantah mewajibkan perkhidmatan ketenteraan ke atas golongan mereka di Baitulmakdis pada 30 Oktober, kata pihak berkuasa Israel.

Perhimpunan itu disertai lebih 200,000 orang, kebanyakannya lelaki berpakaian hitam tradisional, memenuhi jalan utama menuju ke ibu kota melalui Lebuhraya Route 1 membawa sepanduk dengan cogan kata seperti, ‘Rakyat bersama Taurat’ dan ‘Lebih baik dipenjara daripada menyertai tentera’.

Jurucakap perkhidmatan ambulans Israel mengesahkan kematian seorang remaja yang terjatuh dari bangunan sedang dalam pembinaan, manakala polis memaklumkan siasatan telah dibuka.

“Kami sedang meneliti punca sebenar tragedi ini,” kata kenyataan rasmi polis.

Perhimpunan yang dinamakan, ‘Perarakan Sejuta Umat’ itu dianjurkan oleh pemimpin masyarakat Haredim, nama Ibrani bagi kumpulan Yahudi ultra-Ortodoks yang bermaksud ‘mereka yang takut kepada Tuhan’.

Walaupun disifatkan sebagai ‘perhimpunan doa’, acara itu jelas mencerminkan tentangan kuat terhadap dasar pemerintah yang mahu menghapuskan pengecualian tentera kepada pelajar sekolah agama.

“Ini bukan tunjuk perasaan politik, ini seruan kepada Tuhan,” kata seorang penganjur kepada media tempatan.

Namun lautan manusia yang memenuhi jalanan sambil membawa sepanduk dan melaungkan cogan kata menentang pemerintah memperlihatkan kemarahan yang mendalam terhadap rancangan tersebut.

Gambar dan video yang tersebar di media sosial menunjukkan ribuan peserta memanjat bumbung bangunan, tiang lampu, malah kren pembinaan.

Pembesar suara di sekitar kawasan itu pula memutarkan doa dan mazmur dalam bahasa Ibrani berloghat Yiddish.

Bantahan yang pada awalnya berlangsung secara aman bertukar tegang apabila berlaku pertembungan dengan pihak polis.

Sekurang-kurangnya 56 orang dilaporkan cedera, termasuk seorang pegawai polis yang terkena lontaran batu.

Ketegangan itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Agung Israel pada 2024 yang menolak dasar pengecualian tentera kepada pelajar sekolah agama atas alasan tiada asas undang-undang.

Mahkamah memutuskan bahawa semua lelaki Yahudi, termasuk mereka daripada masyarakat ultra-Ortodoks, wajib menyertai perkhidmatan tentera sebagaimana rakyat lain.

Ketetapan itu mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan masyarakat Haredim yang berpendapat tugas mereka kepada negara adalah menerusi doa dan pengajian kitab suci, bukan dengan bersenjata.

“Kami melindungi Israel dengan doa kami. Tentera melindungi tanah, tetapi kami melindungi jiwa bangsa,” kata seorang penunjuk perasaan, Encik Menashe Cohen, 33 tahun, dari bandar pelabuhan Ashdod.

Beliau menambah: “Selama 3,000 tahun kita hidup tanpa tentera. Biar mereka berkhidmat di medan perang, kami berkhidmat di rumah Tuhan.”

Dalam masyarakat Israel moden, perkhidmatan ketenteraan adalah wajib bagi semua lelaki dan wanita berumur 18 tahun.

Namun pengecualian terhadap puluhan ribu pelajar sekolah agama telah lama menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat.

“Ramai beranggapan kami menumpang hasil negara tanpa memikul tanggungjawab.

“Tetapi belajar Taurat juga satu bentuk perkhidmatan,” kata seorang rabai yang enggan namanya disiarkan.

Namun bagi ramai warga Israel lain, keadaan itu dianggap tidak adil apatah lagi selepas perang Gaza dan Lebanon sejak 2023 yang telah meragut ratusan nyawa askar dan menuntut pengorbanan besar daripada pasukan simpanan.

Ketua Pembangkang, Encik Yair Lapid, turut mengulas: “(Sebanyak) 40 peratus askar yang gugur dua tahun kebelakangan ini adalah Yahudi bertopi kippah. Itu bukti bahawa kesolehan dan patriotisme boleh seiring.”

Isu itu turut menggugat kedudukan politik Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu.

Beliau selama ini bergantung kepada parti-parti ultra-Ortodoks seperti Shas dan United Torah Judaism (UTJ) untuk mengekalkan majoriti.

Namun pada Julai lalu, kedua-dua parti itu keluar daripada gabungan pemerintah selepas gagal mencapai persetujuan mengenai rang undang-undang baru pengambilan tentera.

Langkah tersebut melemahkan gabungan pemerintah yang kini berpecah antara puak agama konservatif dengan kumpulan sayap kanan yang menentang gencatan senjata dengan Hamas di Gaza.

Pengkritik berkata draf undang-undang yang sedang digubal hanya akan “mengekalkan status quo” kerana ia menetapkan kuota kecil bagi pengambilan pelajar Haredim serta mengenakan hukuman ringan dan tertangguh bagi mereka yang enggan menyertai tentera.

“Ini bukan penyelesaian. Ia hanya menambah luka dalam masyarakat yang sudah retak,” kata seorang penganalisis politik kepada akhbar, Haaretz.

Debat mengenai kewajiban tentera dalam kalangan Haredim bukan sekadar soal undang-undang, malah persoalan identiti dan masa depan Israel sebagai negara Yahudi moden.

Ramai melihatnya sebagai pertembungan antara nilai sekular dengan keagamaan.

Asal usul pengecualian itu bermula sejak penubuhan negara pada 1948 apabila pengasas Israel mahu memulihkan tradisi ilmu agama yang musnah dalam Holocaust.

Ketika itu hanya ratusan pelajar diberi pengecualian, namun kini jumlah mereka mencecah ratusan ribu hampir 13 peratus daripada penduduk Israel.

Dalam tunjuk perasaan pada 30 Oktober, sepanduk yang dipegang peserta berbunyi, “Tuhan Israel, selamatkan kami daripada tentera yang tidak bermaruah.”

Sebuah lagi memetik kata seorang rabai: “Anak lelaki yang menyertai tentera telah meninggalkan tentera Tuhan.”

Perhimpunan di Baitulmakdis itu bukan sahaja mencerminkan perpecahan sosial antara masyarakat sekular dengan agama, bahkan juga menandakan cabaran besar buat Israel untuk mencari keseimbangan antara keselamatan negara dengan kebebasan beragama – dua tonggak yang selama ini menjadi asas kewujudannya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg