Saudi lancar kempen kesedaran umrah jelang Ramadan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi lancar kempen kesedaran umrah jelang Ramadan

Jan 27, 2026 | 10:19 AM

Saudi lancar kempen kesedaran umrah jelang Ramadan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Jemaah beribadah di Masjidil Haram, Makkah, ketika Arab Saudi melancarkan kempen kesedaran “Datang Menunaikan Umrah?” bagi meningkatkan pemahaman jemaah terhadap perkhidmatan, prosedur dan adab ibadah menjelang musim puncak Ramadan.
Jemaah beribadah di Masjidil Haram, Makkah, ketika Arab Saudi melancarkan kempen kesedaran “Datang Menunaikan Umrah?” bagi meningkatkan pemahaman jemaah terhadap perkhidmatan, prosedur dan adab ibadah menjelang musim puncak Ramadan. - Foto SPA

MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi melancarkan kempen kesedaran baru bertajuk “Datang Menunaikan Umrah?” bagi meningkatkan kefahaman jemaah terhadap perkhidmatan, garis panduan serta adab sepanjang ibadah Umrah, khususnya menjelang musim kemuncak Ramadan.

Kempen yang dikendalikan oleh Kementerian Haji dan Umrah itu bertujuan memperkayakan pengalaman jemaah serta meningkatkan mutu perkhidmatan, selari dengan sasaran Wawasan Saudi 2030 yang memberi penekanan kepada kecemerlangan operasi dan inovasi dalam pengurusan ibadah.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), jumlah ketibaan jemaah Umrah antarabangsa telah melepasi 11.8 juta orang sejak bermulanya tahun Islam semasa, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara aliran jemaah ke Tanah Suci.

Kempen berkenaan akan berlangsung sehingga akhir Ramadan dan memberi tumpuan kepada aspek kesedaran mengenai perkhidmatan yang tersedia, prosedur rasmi serta tingkah laku yang wajar sepanjang perjalanan Umrah, daripada peringkat perancangan sehingga kepulangan jemaah ke negara asal.

“Matlamat utama kempen ini adalah untuk memastikan setiap jemaah memahami proses Umrah dengan lebih baik serta menunaikan ibadah dalam suasana tertib, selamat dan penuh hormat,” menurut kenyataan Kementerian Haji dan Umrah.

Bagi memastikan mesej kempen sampai secara menyeluruh, pelbagai saluran komunikasi digital dan fizikal digunakan bagi mengiringi jemaah sepanjang perjalanan mereka. Usaha ini turut memperkukuh penglibatan jemaah dengan saluran rasmi kementerian serta menggalakkan tingkah laku positif di Dua Masjid Suci.

Kempen tersebut merangkumi lebih 18 titik sentuhan utama, termasuk pintu masuk negara, lapangan terbang, hab pengangkutan, tempat penginapan, destinasi utama, lokasi pengayaan ibadah serta kawasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Antara kaedah penyampaian maklumat yang digunakan ialah skrin kesedaran, papan tanda jalan, mesej teks, serta kandungan digital dan media yang disediakan dalam lebih enam bahasa bagi memenuhi keperluan jemaah antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Arab Saudi turut merasmikan Pusat Perintah dan Kawalan Kejuruteraan Pintar di Masjid Nabawi sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan kepada jemaah.

Perasmian pusat itu dilakukan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Encik Tawfig Al-Rabiah, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Am Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, bersempena ketibaan bulan Ramadan.

“Penubuhan pusat ini menandakan satu lonjakan penting dalam pembangunan ekosistem perkhidmatan untuk para pengunjung Masjid Nabawi, dengan memanfaatkan teknologi pintar dan penyelesaian digital yang maju,” katanya seperti dipetik SPA.

Menurut pihak berkuasa berkenaan, pusat kejuruteraan pintar itu menggunakan skrin interaktif yang disambungkan kepada data operasi digital, meliputi pengurusan aset, perkhidmatan, maklum balas pengunjung serta pematuhan operasi, sekali gus mempercepatkan pemantauan dan tindak balas terhadap laporan.

Pusat tersebut beroperasi sepanjang masa melalui empat syif operasi dengan kakitangan berkelayakan, bagi memastikan laporan ditangani dengan pantas dan menyokong kelancaran operasi harian masjid.

Selain itu, ia turut memperkukuh tadbir urus operasi menerusi penunjuk prestasi digital serta laporan analitik berdasarkan data sejarah, semasa dan ramalan, di samping berintegrasi dengan agensi luar yang berkaitan bagi menyokong pembuatan keputusan yang lebih berkesan.

Kini beroperasi sepenuhnya, pusat berkenaan direka untuk mengurus tempoh berkepadatan tinggi sepanjang tahun, khususnya semasa Ramadan dan musim Haji, sekali gus menyokong matlamat Wawasan Saudi 2030 untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengalaman ibadah para jemaah. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg