RIYADH: Arab Saudi mencatatkan rekod baru dengan seramai 18.5 juta anggota jemaah menunaikan haji dan umrah pada 2024.
Ini menandakan lonjakan besar dalam kedatangan jemaah umrah serta kemajuan ketara dalam penyampaian perkhidmatan dan infrastruktur di bawah inisiatif Visi 2030.
Menurut laporan tahunan Program Doyof Al Rahman, seramai 16.92 juta anggota jemaah hadir bagi menunaikan umrah, melepasi sasaran rasmi dan mencerminkan peningkatan sebanyak 101 peratus berbanding 2022.
Pegawai memuji pencapaian ini sebagai hasil penyatuan perkhidmatan dan prosedur yang lebih berkesan, menjadikan perjalanan ibadah lebih lancar dan mudah diakses.
Laporan tersebut turut menegaskan kedudukan Arab Saudi yang semakin kukuh sebagai pusat pelancongan agama bertaraf global.
Makkah kini menduduki tempat kelima dunia dari segi jumlah pelawat antarabangsa, manakala Madinah melonjak ke tangga ketujuh dalam Indeks Prestasi Pelancongan Global.
Program Doyof Al Rahman bertujuan mempertingkatkan setiap peringkat pengalaman jemaah dari ketibaan dan pengangkutan sehinggalah kepada pengisian budaya dan ibadah.
Pada 2024, sebanyak 89 inisiatif telah dilaksanakan melalui kerjasama dengan lebih 40 agensi kerajaan, dengan kadar pematuhan mencapai 95 peratus.
Antara kejayaan utama ialah peningkatan mendadak dalam lawatan ke Raudah di Masjid Nabawi, Madinah, yang menerima lebih 13 juta pengunjung, berbanding hanya 4 juta pada 2022.
Tahap kepuasan pengunjung turut meningkat daripada 57 peratus kepada 81 peratus, satu lonjakan yang mencerminkan peningkatan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pengguna.
Kegiatan kesukarelawanan turut menyaksikan peningkatan luar biasa.
Lebih 153,000 sukarelawan terlibat membantu jemaah sepanjang 2024, berbanding hanya 15,000 pada 2022.
Pegawai menyifatkannya sebagai satu “lonjakan kualitatif” yang menunjukkan keterlibatan masyarakat yang semakin kukuh.
Kerjasama antarabangsa juga memainkan peranan penting.
Sebanyak 33 lawatan luar negara melibatkan wakil sektor awam dan swasta termasuk syarikat penerbangan dan penyedia perkhidmatan – berjaya menyelesaikan kekangan logistik, membuka laluan baharu dan meningkatkan kapasiti pengangkutan jemaah.
Pendigitalan menjadi tunjang utama kepada kejayaan ini.
Platform Nusuk kini menawarkan lebih 100 perkhidmatan, manakala inisiatif ‘Mecca Route’ telah memberi manfaat kepada lebih 940,000 pengembara.
Pusat penjagaan Enaya pula telah memberikan perkhidmatan kepada hampir tiga juta individu.
Aplikasi Nusuk kini menjadi alat penting bagi jutaan umat Islam di seluruh dunia, dengan Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al Rabiah, menyifatkannya sebagai “pencapaian penting bagi musim Haji 1445H”.
Dr Al Rabiah juga menyatakan bahawa pembukaan semula 15 tapak bersejarah berkaitan kehidupan Nabi Muhammad saw di Makkah dan Madinah adalah kejayaan budaya utama tahun ini.
“Pencapaian ini bukan kebetulan. Ia adalah hasil dedikasi tanpa henti, perancangan bijak, dan komitmen tidak berbelah bagi untuk berkhidmat kepada jemaah,” kata beliau.
Beliau turut memuji usaha lebih 40 entiti rakan pelaksana di sebalik kejayaan program tersebut, dan menyatakan harapan untuk pencapaian yang lebih besar pada 2025.
“Kejayaan ini mencerminkan akhlak Muslim Saudi yang tulen dan tanggungjawab mendalam yang dipikul oleh institusi negara,” ujar Dr Al Rabiah lagi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg