Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi sedia terima jemaah haji dengan penambahbaikan prasarana

May 16, 2025 | 2:20 PM
Arab saudi, haj, 2025
Arab Saudi sudah bersedia menyambut ketibaan jemaah haji bagi 2025 dan memberikan perkhidmatan serta bantuan sewajarnya untuk kemudahan mereka. - Foto INSTAGARAM HARAMAINARCHIVE

MAKKAH: Suruhanjaya Diraja bagi Bandar Makkah dan Tapak-Tapak Suci Arab Saudi mengumumkan kesediaan penuh bagi menyambut musim haji tahun 1446 Hijrah, dengan pelbagai inisiatif baru yang bertujuan mempertingkat pengalaman jemaah.

Dengan jangkaan kehadiran berjuta-juta anggota jemaah dari seluruh dunia, Arab Saudi terus memperkukuh kedudukannya sebagai tuan rumah ibadah haji yang cekap dan terurus, menampilkan pendekatan teknologi dan logistik moden demi memastikan ibadah suci itu dapat dilaksanakan dengan sempurna, selesa dan selamat.

Usaha itu juga merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan menyeluruh yang menumpukan kepada pemodenan prasarana, sistem pengangkutan serta penyediaan perkhidmatan kesihatan dan lapangan.

Melalui pelaksanaan projek bersepadu, pihak berkuasa berusaha memastikan kelancaran operasi di kawasan tumpuan ramai seperti Mina, Arafah dan Muzdalifah.

Antara langkah utama ialah pengurusan laluan sesak secara strategik, termasuk kerjasama rapat dengan Sindiket Am Perkhidmatan Bas dan agensi lain yang berkaitan.

Lokasi berkapasiti tinggi juga telah dikenal pasti untuk operasi Teksi Makkah dan pergerakan kenderaan akan dikawal selia melalui kontrak bersama penyedia perkhidmatan yang sah.

Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kapasiti tempat tinggal jemaah, khemah dua tingkat telah didirikan di beberapa lokasi, manakala kemudahan tandas bertingkat turut dibina bagi mengoptimumkan ruang dan keselesaan.

Di samping itu, perkhidmatan skuter elektrik akan diteruskan untuk tahun kedua berturut-turut dengan tiga laluan khas disediakan bagi menyokong pergerakan ringan dalam kalangan jemaah.

“Semua inisiatif ini adalah hasil kerjasama antara Suruhanjaya dan agensi-agensi rakan dalam sistem pengurusan haji.

“Ia mencerminkan tahap penyelarasan tertinggi dalam perancangan dan pelaksanaan demi (menawarkan) khidmat terbaik kepada jemaah,” kata jurucakap Suruhanjaya.

Selain persiapan fizikal, pihak Suruhanjaya turut melancarkan kempen media khas musim ini bagi mendokumentasikan setiap peringkat pelaksanaan projek serta memberi penerangan kepada umum tentang usaha penambahbaikan yang sedang dijalankan.

“Kami mahu menampilkan wajah baru Makkah yang lebih cekap, sistematik dan mesra jemaah,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengingatkan jemaah agar mematuhi peraturan kastam negara itu.

Mereka yang membawa wang tunai atau barangan berharga bernilai melebihi 60,000 riyal Saudi ($20,708) perlu mengisytiharkan harta tersebut semasa masuk atau keluar negara itu.

Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan denda, penahanan atau tindakan undang-undang.

Peraturan itu turut melibatkan logam berharga seperti emas, batu permata, jongkong dan barang kemas bernilai tinggi.

Kementerian menegaskan bahawa pengisytiharan bukan sahaja satu kewajipan undang-undang, bahkan juga satu langkah perlindungan hak untuk jemaah.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada kempen kesedaran berterusan kami untuk membantu jemaah menikmati perjalanan haji yang selamat, lancar dan mematuhi undang-undang negara,” jelas kenyataan rasmi Kementerian Haji dan Umrah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg