JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah mengesahkan pemegang semua jenis visa boleh melakukan ibadah umrah ketika berada di Arab Saudi.
Kementerian itu menyatakan bahawa ini termasuk visa lawatan peribadi dan keluarga, visa e-pelancong, visa transit, visa kerja dan juga jenis visa lain, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Menurut kementerian itu, langkah ini adalah lanjutan daripada pendekatan pihak kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan kedatangan umat Islam dari seluruh dunia untuk menjalankan ibadah umrah dengan mudah, tenang dan selesa.
Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk memudahkan prosedur dan memanfaatkan jemaah dengan meluaskan perkhidmatan yang disediakan oleh sistem Haji dan Umrah, selaras dengan matlamat Wawasan Kerajaan 2030.
Kementerian itu selanjutnya menyatakan baru-baru ini bahawa ia telah melancarkan platform Nusuk Umrah bagi mereka yang ingin menunaikan umrah secara langsung.
Platform tersebut membolehkan jemaah mengakses platform dengan mudah, memilih pakej yang sesuai, dan mengeluarkan permit umrah mereka secara elektronik.
Pengalaman digital bersepadu ini membolehkan para jemaah menempah perkhidmatan dan memilih janji temu dengan fleksibiliti sepenuhnya.
“Ini merangkumi komitmen Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan Putera Mahkota serta Perdana Menteri Mohammed bin Salman untuk membolehkan umat Islam mengunjungi dua masjid suci iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bagi melakukan ibadah mereka dalam persekitaran rohani yang selamat.
“Kerajaan juga menyediakan perkhidmatan terbaik yang memperkaya pengalaman tetamu Allah dan melancarkan perjalanan iman mereka,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh SPA.
Satu hantaran tular di Instagram baru-baru ini mendakwa bahawa pengunjung yang mempunyai visa pelancong tidak lagi boleh menunaikan ibadah umrah.
Menyangkal berita tersebut, Kementerian Haji dan Umrah secara rasmi mengesahkan bahawa pemegang visa pelancong juga masih boleh menunaikan umrah, sama seperti sebelum ini selagi mereka memenuhi syarat kemasukan standard.
Ini adalah satu lagi peringatan peri perlunya mengesahkan berita sebelum berkongsi maklumat yang salah merebak lebih cepat daripada fakta, kata kementerian itu.
Ogos lalu, kementerian tersebut melaporkan bahawa lebih 1.2 juta jemaah daripada pelbagai pelosok dunia telah tiba di Arab Saudi untuk menunaikan umrah sejak 21 Jun.
Keseluruhannya, jemaah umrah itu datang dari 109 negara di serata dunia, mencerminkan minat antarabangsa yang meningkat dan perkhidmatan lebih baik yang disediakan pihak berkuasa Saudi. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg