WASHINGTON: Israel merumuskan bahawa sebahagian daripada simpanan uranium diperkaya bawah tanah milik Iran yang hampir mencapai tahap untuk dijadikan senjata nuklear, masih terselamat daripada serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel pada Jun, dan mungkin masih boleh diakses oleh jurutera nuklear Iran, menurut seorang pegawai kanan Israel.
Pegawai kanan itu turut berkata Israel telah mula membuat persediaan ketenteraan terhadap Iran pada akhir 2024 selepas mendapati apa yang digambarkan sebagai ‘perlumbaan untuk membina bom’ sebagai sebahagian daripada projek rahsia Iran.
Pegawai itu berkata pihak perisikan Israel mengesan kegiatan berkaitan senjata nuklear tersebut, tidak lama selepas Tentera Udara Israel membunuh mantan pemimpin Hezbollah – kumpulan Lebanon yang disokong Iran – Encik Hassan Nasrallah.
Pemerhatian itu mendorong Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, membuat persiapan bagi serangan, sama ada dengan bantuan Amerika atau sendirian.
Dalam tempoh sekitar serangan Israel terhadap Iran pada pertengahan Jun, serta keputusan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, untuk turut menyertai serangan itu, pegawai perisikan Amerika berkata mereka tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Iran telah mengambil langkah untuk menjadikan simpanan uranium itu sebagai senjata.
Amerika telah menyerang dua tapak pengayaan utama Iran dengan bom penembus kubu seberat 30,000 paun, dan melancarkan peluru berpandu Tomahawk dari kapal selam ke arah satu lagi tapak yang berpotensi menukar bahan api kepada senjata.
Pegawai Israel itu berkata maklumat yang diperoleh mengenai ‘program rahsia’ tersebut telah dikongsi sepenuhnya dengan Amerika.
Namun dalam temu bual pada Januari, pegawai Amerika berkata mereka tidak percaya Iran sedang berlumba menghasilkan senjata, meskipun mereka mengakui terdapat usaha awal Iran untuk meneroka kaedah membina senjata secara “lebih pantas dan kurang rumit”.
Dalam satu taklimat kepada wartawan pada malam 9 Julai, pegawai kanan Israel itu tidak menyatakan kebimbangan terhadap dapatan perisikan negara bahawa sebahagian daripada simpanan uranium diperkaya pada kadar 60 peratus yang disimpan dalam tong khas, telah terselamat daripada serangan.
Pegawai tersebut, bersama beberapa lagi individu Israel yang mempunyai akses kepada maklumat tersebut, berkata sebarang cubaan oleh Iran untuk memulihkannya berkemungkinan besar akan dapat dikesan, dan mereka masih ada masa untuk menyerang kemudahan berkenaan sekali lagi.
Seorang pegawai perisikan Barat bersetuju bahawa Amerika atau Israel pasti akan tahu jika Iran cuba mendapatkan semula uranium diperkaya itu dan tindakan sedemikian pasti akan mengundang serangan bom oleh Israel.
Israel, Amerika dan semakin ramai pakar luar bersetuju bahawa kesemua pengempar (centrifuge) di Natanz dan Fordo – iaitu sekitar 18,000 mesin yang digunakan untuk memperkaya uranium bagi tujuan senjata nuklear – telah rosak atau musnah, dan kemungkinan besar tidak boleh dibaiki.
Kini, mereka sedang menganggarkan tempoh yang diperlukan Iran untuk membina semula sebahagian atau keseluruhan keupayaan itu, terutama selepas saintis utama dalam program nuklear mereka disasarkan dan dibunuh.
Encik Trump kekal dengan pendiriannya bahawa program nuklear Iran telah “dimusnahkan” dan pemimpin Iran tidak lagi berminat dengan senjata nuklear selepas diserang Amerika.
Namun, Setiausaha Agung Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Grossi, mempunyai pandangan berbeza.
Encik Grossi berkata beliau percaya sebahagian besar simpanan uranium diperkaya yang disimpan di Isfahan telah dipindahkan dari tapak tersebut sebelum serangan senjata Israel dan Amerika pada awal pagi 22 Jun.
Pegawai kanan Israel pula menegaskan Iran tidak memindahkan apa-apa kerana tapak penyimpanan di Isfahan itu terlalu dalam untuk dimusnahkan walaupun oleh senjata Amerika yang paling berkuasa.
Namun, serangan Amerika ke atas Isfahan telah menutup banyak pintu masuk dan dilaporkan memusnahkan makmal yang menukar uranium diperkaya kepada bentuk yang boleh digunakan dalam senjata. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg