TEHERAN: Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian berdepan kritikan hebat daripada media konservatif dan ahli politik tempatan selepas menyuarakan kesediaan untuk menyambung semula rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat.
Dalam satu temu bual bersama personaliti media Amerika, Tucker Carlson, beliau turut mendakwa Israel cuba membunuhnya semasa konflik bersenjata bulan lalu.
Kenyataan kontroversi Pezeshkian dibuat hanya beberapa minggu selepas Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran ke atas Iran pada 13 Jun, yang mengorbankan lebih 1,060 orang termasuk beberapa komander tentera dan saintis nuklear kanan Iran.
Serangan itu berlaku hanya dua hari sebelum rundingan nuklear antara Teheran dan Washington dijadual bermula semula, namun telah tergendala susulan insiden tersebut.
Dalam temu bual yang disiarkan 7 Julai, Encik Pezeshkian ditanya sama ada beliau percaya Israel cuba membunuhnya. “Ya, mereka memang mencuba. Mereka bertindak sedemikian, tetapi gagal,” katanya merujuk kepada satu mesyuarat yang disasarkan dalam serangan udara.
“Ia bukan Amerika yang menjadi dalang cubaan membunuh saya. Ia adalah Israel. Mereka cuba mengebom kawasan tempat mesyuarat itu berlangsung,” ujar beliau berdasarkan terjemahan dari bahasa Parsi.
Beliau turut mendedahkan bahawa rancangan pembunuhan bukan sahaja menyasarkannya, malah Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi turut menjadi sasaran. Menurutnya, semua percubaan itu berjaya digagalkan oleh pasukan keselamatan Iran.
Bagaimanapun, kenyataan Pezeshkian yang terbuka untuk menyambung semula rundingan dengan Amerika dianggap ‘terlalu lembut’ oleh pengkritik domestik. Akhbar konservatif Kayhan menyindir: “Sudah lupakah bahawa Amerika dan Zionis pernah menggunakan rundingan sebagai taktik membeli masa untuk melancarkan serangan?”
Sementara itu, akhbar Javan menegaskan bahawa temu bual tersebut gagal mencerminkan kemarahan rakyat Iran terhadap Amerika. “Kata-kata beliau terlalu lembut. Rakyat mahukan pemimpin yang tegas dalam menghadapi Amerika, bukan lunak,” tulis editorialnya.
Namun begitu, akhbar reformis Ham Mihan memuji pendekatan Presiden. “Temu bual ini sepatutnya berlaku lebih awal. Pemimpin Iran perlu aktif di platform antarabangsa agar naratif kita tidak dimonopoli oleh Barat,” katanya.
Dalam temu bual sama, Encik Pezeshkian menyatakan bahawa Iran ‘tidak mempunyai masalah’ untuk kembali ke meja rundingan jika kepercayaan dapat dibina semula. “Kami bersedia untuk menyertai semula rundingan, tetapi bagaimana kami boleh yakin rejim Israel tidak akan menyerang lagi semasa rundingan berlangsung?” soal beliau.
Encik Pezeshkian juga menggesa Amerika agar tidak terlibat dalam konflik yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. “Ini bukan perang Amerika, ini perang Netanyahu,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa jika sekatan ekonomi terhadap Teheran ditamatkan, Iran terbuka menerima pelaburan dari Amerika. “Tiada sebarang halangan untuk pelabur Amerika datang dan melabur di Iran,” katanya.
Dalam mesej yang lebih besar, Encik Pezeshkian memberi amaran bahawa AS kini berada di persimpangan antara ‘perdamaian atau perang’. “Presiden Amerika boleh membawa rantau ini ke arah masa depan yang cerah dan damai atau membiarkan negaranya terperangkap dalam kitaran perang yang tidak berkesudahan,” katanya.
Penganalisis menjangkakan kenyataan Pezeshkian akan terus mencetuskan perdebatan di Iran antara golongan yang mahukan konfrontasi dan mereka yang melihat diplomasi sebagai jalan keluar. Dengan rundingan nuklear masih tergantung, masa depan hubungan Amerika-Iran terus bergantung kepada perkembangan politik serantau dan kesediaan kedua-dua pihak untuk berunding dalam suasana saling mempercayai. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg