DUBAI: Selepas enam bulan perang gagal menghasilkan kemenangan seperti diharapkan, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, kini beralih kepada senjata yang pernah menjadi tunjang strateginya terhadap Iran – tekanan ekonomi.

Pada 24 Ogos, Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, mengumumkan ‘Operasi Pemulauan Ekonomi’, satu kempen sekatan besar-besaran.

Matlamatnya adalah untuk memutuskan sebanyak mungkin sumber kewangan Teheran sehingga pemerintah Iran terpaksa kembali ke meja rundingan atau berdepan tekanan ekonomi yang boleh mengancam kestabilannya.

Langkah baharu itu menyasarkan lebih 60 individu, syarikat dan kapal yang dikaitkan dengan perdagangan minyak Iran, program nuklear dan peluru berpandunya, operasi siber serta rangkaian kewangan.

Washington berkata ia turut mengenal pasti syarikat, kapal dan saluran kewangan yang membantu Iran menjual minyak, mendapatkan teknologi serta menjana pendapatan.

Negara dan syarikat asing yang terus berurusan dengan Teheran pula berdepan risiko dikenakan sekatan sekunder Amerika.

Skop kempen itu luas, merangkumi sektor perkapalan, penerbangan, teknologi, emas dan aset digital.

Namun, persoalan lebih besar adalah sama ada tekanan ekonomi sedemikian benar-benar mampu mengubah pendirian Iran atau sebaliknya mendorong Teheran bertindak lebih agresif.

Iran sudah bergelut dengan inflasi tinggi, kejatuhan nilai mata wang, pengangguran, kekurangan bekalan elektrik dan kenaikan kos sara hidup sebelum sekatan terbaru diumumkan.

Justeru, kesan segera ‘Operasi Pemulauan Ekonomi’, hampir pasti akan dirasakan rakyat biasa Iran.

Namun, sejarah menunjukkan penderitaan ekonomi tidak semestinya diterjemahkan kepada perubahan politik seperti yang dikehendaki Washington.

Wartawan yang berpangkalan di Washington dan Zamil Kanan, Pusat Dasar Antarabangsa, Cik Negar Mortazavi, berkata keputusan Encik Trump kembali menggunakan tekanan ekonomi mencerminkan keterbatasan strategi ketenteraan.

“Trump kembali menggunakan tekanan ekonomi terhadap Iran kerana kekuatan ketenteraan gagal memberikan kemenangan yang dijangkakannya,” kata beliau.

Strategi itu juga membawa kos politik domestik yang lebih rendah kepada Encik Trump ketika perang semakin tidak popular di Amerika.

Namun, kejayaannya jauh daripada terjamin.

Iran mempunyai pengalaman berdekad mengelakkan sekatan Amerika dan Eropah melalui syarikat perantara, rangkaian perdagangan tidak rasmi serta saluran kewangan alternatif.

Washington turut berdepan dilema lebih besar membabitkan China, yang membeli kira-kira 90 peratus minyak eksport Iran.

Jika Amerika benar-benar mahu menutup sumber utama pendapatan Teheran, ia mungkin perlu mengenakan tindakan terhadap bank dan syarikat China.

Tetapi tindakan sedemikian berisiko mencetuskan kesan lebih luas terhadap perdagangan dan sistem kewangan sejagat.

UAE kunci tekanan terhadap Teheran

Dalam strategi terbaharu Washington, Amiriah Arab Bersatu (UAE), khususnya Dubai, mempunyai kedudukan penting kerana sejak sekian lama menjadi antara pintu perdagangan, kewangan dan eksport semula utama Iran.

Tidak lama sebelum ‘Operasi Pemulauan Ekonomi’ diumumkan, UAE menggantung perdagangan dengan Iran sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu balistik Teheran.

Penganalisis geopolitik Saudi, Dr Mohammed Alhamed, berkata langkah UAE itu boleh memberikan kesan besar yang melampaui perdagangan dua hala.

Penganalisis di Institut Thayer Marshall, Profesor David Des Roches, pula berpendapat penutupan saluran perbankan dan kewangan Iran melalui UAE mungkin menjadi antara prasyarat penting bagi menjayakan tekanan ekonomi Washington.

Menurut Dr Alhamed, tumpuan terhadap rangkaian kewangan luar Iran adalah penting kerana ia boleh meningkatkan kos Teheran untuk memindahkan wang dan mengelakkan sekatan.

Namun, kejayaan kempen itu bergantung kepada penguatkuasaan.

Pemantauan lebih ketat diperlukan terhadap urus niaga kewangan, rangkaian pertukaran wang, mata wang kripto, syarikat cangkerang serta mekanisme pembayaran tidak rasmi di seluruh rantau.

Sekiranya saluran itu dapat disekat dengan berkesan, ruang Iran untuk mengelakkan tekanan ekonomi akan menjadi semakin sempit.

Negara Teluk berdepan risiko tindak balas Iran

Di sinilah muncul dilema terbesar bagi negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Negara Arab Teluk perlu mengekalkan hubungan keselamatan kukuh dengan Amerika, tetapi pada masa yang sama tidak mahu sekali lagi menjadi medan pertarungan antara Washington dengan Teheran.

Iran telah memberi amaran bahawa negara yang dianggap membantu ‘Operasi Pemulauan Ekonomi’ boleh berdepan tindak balas.

Dr Des Roches bagaimanapun berpendapat Iran mungkin sukar mewajarkan serangan ketenteraan terhadap negara GCC yang tidak menyerangnya secara langsung.

Malah, serangan sedemikian boleh memberikan alasan politik kepada Encik Trump untuk melancarkan semula operasi ketenteraan terhadap Iran.

Sekiranya Teheran menyerang negara Teluk kerana dianggap menyokong kempen Amerika, langkah itu juga mungkin membawa kesan bertentangan dengan kepentingan Iran.

Menurut Dr Alhamed, ia boleh mendorong kerjasama Amerika-GCC menjadi lebih erat dalam bidang perisikan, keselamatan maritim dan pertahanan peluru berpandu.

Namun, terdapat satu lagi kesan yang lebih rumit.

Serangan Iran terhadap negara GCC boleh mengukuhkan pandangan dalam kalangan pemimpin Teluk bahawa kebergantungan yang keterlaluan kepada Amerika sebagai penjamin keselamatan sebenarnya menyebabkan mereka lebih terdedah kepada konflik yang tidak mereka mulakan.

Tekanan ekonomi atau jalan tuju perang baharu?

Bagi pentadbiran Encik Trump, hasil terbaik adalah tekanan ekonomi memaksa Iran kembali ke meja rundingan dan menerima perjanjian baharu tanpa Amerika perlu kembali kepada peperangan besar.

Tetapi terdapat percanggahan dalam strategi tersebut.

Melalui tekanan ekonomi, Washington mahu mengelakkan perang.

Namun, sekatan yang keterlaluan boleh mendorong Teheran mempercayai bahawa matlamat sebenar Amerika adalah untuk menggulingkan rejim Iran, bukannya sekadar menuntut konsesi nuklear dan peluru berpandu.

Jika itu berlaku, Iran mungkin memilih untuk meningkatkan konfrontasi daripada berunding.

Pengalaman kempen “tekanan maksimum” Amerika sebelum ini turut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pendekatan tersebut.

“Sekatan meningkatkan penderitaan ekonomi rakyat biasa Iran. Tetapi tekanan maksimum selama bertahun-tahun menunjukkan bahawa kesukaran ekonomi tidak membawa kepada penyerahan politik,” kata Cik Mortazavi.

Justeru, ujian sebenar ‘Operasi Pemulauan Ekonomi’ bukan sekadar sejauh manakah ia boleh melemahkan ekonomi Iran.

Persoalan lebih penting adalah sama ada tekanan itu dapat membuka ruang diplomasi atau menjadi pencetus kepada satu lagi pusingan konflik.

Bagi negara Teluk, pertaruhannya lebih besar.

Jika kempen Washington berjaya, mereka mungkin meraih manfaat daripada Iran yang kembali berunding dan ketegangan serantau yang berkurangan.

Tetapi jika Teheran bertindak balas secara ketenteraan, negara GCC mungkin sekali lagi berada di barisan hadapan konflik Amerika-Iran.

Pada akhirnya, dilema strategik mereka tidak berubah: Amerika merupakan sekutu keselamatan paling penting, tetapi Iran ialah jiran yang tidak boleh dialih atau diabaikan.

Seperti dirumuskan Cik Mortazavi, negara GCC sekali lagi “tersepit antara sekutu kuat yang berada beribu-ribu kilometer jauhnya dengan jiran kuat yang sudah berada di situ selama ribuan tahun dan akan kekal menjadi jiran mereka lama selepas perang ini berakhir”.

Itulah risiko sebenar ‘D-Day ekonomi’ Encik Trump.

Tekanan yang dirancang untuk mengelakkan satu lagi perang mungkin akhirnya menjadi pencetus kepada perang berikutnya.

Washington berharap tekanan ekonomi besar-besaran dapat memaksa Teheran kembali ke meja rundingan.

Namun, jika sekatan itu mencetuskan tindak balas Iran, negara Teluk mungkin sekali lagi terpaksa menanggung akibatnya. – Agensi berita.