PARIS/ISTANBUL: Dalam usaha meredakan konflik mengenai program nuklear Iran, menteri luar dari tiga kuasa besar Eropah telah bergegas untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat mereka dari Iran pada 20 Jun di Geneva.
Namun, harapan itu musnah pada 21 Jun apabila Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengarahkan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear utama Iran, sebagai menyokong kempen ketenteraan Israel.
“Tidak relevan untuk meminta Iran kembali kepada diplomasi,” kata Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dengan wajah yang kelihatan marah kepada wartawan di Istanbul pada 22 Jun, sambil menjanjikan “tindak balas” terhadap serangan Amerika.
“Ini bukan masanya untuk diplomasi,” ujar beliau.
Encik Trump berkata serangan udara Amerika telah “menghapuskan” ketiga-tiga tapak tersebut.
Beliau turut memberi amaran dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen pada 21 Jun bahawa Amerika mungkin menyerang sasaran lain di Iran, jika tiada perjanjian damai dicapai, dan menggesa Teheran agar kembali ke meja rundingan.
Agensi berita, Reuters, telah menemu bual tujuh diplomat dan penganalisis Barat yang berkata prospek untuk meneruskan rundingan kini amat tipis.
Ini kerana jurang yang sukar dirapatkan antara tuntutan Washington agar Iran menghentikan sepenuhnya pengayaan uranium, dengan keengganan Teheran untuk meninggalkan program nuklearnya.
“Saya fikir peluang mengadakan diplomasi berkesan hampir tiada ketika ini,” kata Encik James Acton, Pengarah Bersama, Program Dasar Nuklear di Carnegie Endowment for International Peace, sebuah badan pemikir yang beribu pejabat di Washington.
“Saya lebih bimbang tentang peningkatan konflik, baik dalam jangka pendek mahupun panjang,” katanya.
Menurut diplomat Eropah, tiga sekutu Eropah – Britain, Perancis dan Jerman – tidak dimaklumkan lebih awal mengenai keputusan Encik Trump untuk melancarkan serangan terhadap Iran.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berjanji pada 21 Jun – sejurus sebelum serangan Amerika – untuk mempercepat rundingan nuklear, berikutan panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Iran.
Seorang diplomat Eropah yang enggan dinamakan, mengakui kini tidak mungkin pertemuan kedua yang dirancang bersama Iran dapat diteruskan dalam minggu akan datang.
Susulan tindakan ketenteraan Amerika, apa jua usaha diplomatik oleh negara Eropah kini dilihat hanya memainkan peranan sampingan.
Encik Trump pada 20 Jun menolak usaha Eropah untuk menyelesaikan krisis tersebut, sambil mengatakan bahawa Iran hanya mahu berbincang dengan Amerika.
Tiga diplomat dan penganalisis berkata sebarang rundingan pada masa depan antara Iran dengan Washington mungkin diadakan melalui perantara serantau seperti Oman dan Qatar, sebaik sahaja Teheran memutuskan cara bertindak balas terhadap serangan udara Amerika ke atas tapak nuklearnya di Fordow, Natanz dan Isfahan.
Serangan tersebut telah menyebabkan Iran tidak mempunyai banyak pilihan yang berpihak kepadanya.
Sejak Israel memulakan kempen tenteranya terhadap Iran pada 13 Jun, beberapa pihak di Teheran telah mencadangkan agar Iran menarik diri daripada Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata Nuklear (NPT), sebagai menunjukkan keazaman untuk mempercepat pengayaan uranium.
Namun, pakar berkata langkah tersebut akan dilihat sebagai satu peningkatan konflik yang besar, dan yang mungkin mencetuskan tindak balas Washington. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg