TEL AVIV / DUBAI / WASHINGTON: Perang udara antara Israel dan Iran memasuki minggu kedua pada 20 Jun, manakala para pegawai Eropah berusaha menarik Teheran kembali ke meja rundingan selepas Presiden Donald Trump memaklumkan bahawa keputusan mengenai penyertaan Amerika Syarikat akan dibuat “dalam tempoh dua minggu”.
Israel melancarkan serangan pada 13 Jun dengan alasan mahu menghalang musuh lamanya itu daripada membangunkan senjata nuklear. Iran membalas melalui tembakan peluru berpandu dan dron, sambil menegaskan bahawa program nuklearnya semata-mata bertujuan aman.
Menurut Human Rights Activists News Agency, serangan udara Israel telah meragut 639 nyawa di Iran setakat ini. Angka korban merangkumi pegawai tertinggi tentera serta beberapa saintis nuklear. Israel pula menyatakan sekurang-kurangnya dua dozen orang awamnya terbunuh akibat serangan peluru berpandu Iran. Reuters tidak dapat mengesahkan angka-angka berkenaan secara bebas.
Sumber Barat dan serantau memaklumkan Israel bukan sahaja menyasarkan tapak nuklear dan keupayaan peluru berpandu, malah cuba menggoncang struktur pemerintahan Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.
“Adakah kami mensasarkan kejatuhan rejim? Itu mungkin menjadi kesan sampingan, tetapi terpulang kepada rakyat Iran untuk bangkit menuntut kebebasan mereka,” ujar Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu pada 19 Jun.
Iran menegaskan serangannya disasarkan ke tapak ketenteraan serta pertahanan Israel, namun sebuah hospital dan beberapa lokasi awam turut terkena. Israel menuduh Iran sengaja menggunakan munisi kelompok yang menyebarkan bom-bom kecil di kawasan luas bagi mensasarkan orang awam. Misi Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum memberi maklum balas.
Dengan kedua-dua pihak enggan berundur, menteri-menteri luar Britain, Perancis dan Jerman, bersama Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, dijadual bertemu rakan sejawat Iran di Geneva pada 19 Jun bagi meredakan konflik.
“Kini masanya menghentikan adegan mengerikan di Timur Tengah dan mengelak peningkatan ketegangan serantau yang tidak menguntungkan sesiapa,” kata Menteri Luar Britain Encik David Lammy sebelum pertemuan bersama Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Encik Marco Rubio turut bertemu Encik Lammy dan menghubungi rakan sejawatnya di Australia, Perancis dan Italy untuk menyelaraskan pendirian. Jabatan Negara Amerika menegaskan bahawa semua pihak “bersependapat Iran tidak boleh sama sekali membangunkan atau memiliki senjata nuklear”.
Encik Lammy mengulangi mesej itu di X, menyifatkan keadaan “masih berbahaya” sambil menekankan wujud “tetingkap dua minggu” untuk mencari penyelesaian diplomatik.
Sementara itu, Presiden Rusia Encik Vladimir Putin dan Presiden China Encik Xi Jinping mengutuk tindakan Israel dan bersetuju penyaheskalan segera diperlukan, menurut Kremlin.
Di Washington, Encik Lammy turut bertemu Encik Rubio dan utusan khas Encik Trump, Encik Steve Witkoff, bagi membincangkan kemungkinan perjanjian. Sumber diplomatik memaklumkan Encik Witkoff telah beberapa kali berhubung dengan Encik Araqchi sejak minggu lalu.
Rumah Putih memaklumkan Encik Trump akan mempengerusikan mesyuarat keselamatan negara pada pagi 20 Jun. Presiden itu bersilih ganti antara mengugut Teheran dan mendesak supaya rundingan nuklear yang tergantung disambung semula.
Pada awal pagi 20 Jun, tentera Israel memberi amaran baru mengenai rentetan peluru berpandu Iran. Sekurang-kurangnya satu peluru mengenai Beersheba, bandar terbesar di selatan Israel, menyebabkan kawah besar berhampiran pangsapuri, bangunan pejabat dan kemudahan industri.
“Kami ada hentaman terus di sebelah salah satu bangunan. Kerosakannya agak teruk,” kata paramedik Encik Shafir Botner.
Penyiar awam Kan menyiarkan rakaman kereta terbakar, asap tebal dan tingkap pangsapuri pecah. Sekurang-kurangnya enam orang cedera ringan, dan pasukan penyelamat masih memeriksa unit kediaman.
Sehari sebelumnya, Iran mengenai sebuah hospital utama di Beersheba. Teheran mendakwa ia mensasarkan ibu pejabat tentera Israel berdekatan, tetapi Tel Aviv menafikan sebarang kemudahan ketenteraan di kawasan tersebut.
Tentera Israel pula berkata pihaknya melancarkan beberapa serangan malam di tengah-tengah Tehran, termasuk tapak pengeluaran peluru berpandu dan kemudahan penyelidikan senjata nuklear.
Encik Trump sebelum ini membayangkan kemungkinan menggunakan bom “bunker buster” untuk memusnahkan tapak nuklear Iran yang terletak jauh di bawah tanah. Rumah Putih menegaskan keputusan penyertaan tentera Amerika dalam peperangan akan dibuat “dalam dua minggu”, satu tempoh yang sering digunakan Trump dan pernah dilanjutkan dalam keputusan lain sebelum ini.
Republik Islam kini berdepan ancaman luaran terbesar sejak revolusi 1979. Pemerhati menjangka cabaran terhadap pemerintahan 46 tahun itu hanya akan tercetus sekiranya wujud kebangkitan rakyat berskala besar. Namun beberapa aktivis yang pernah mengetuai protes sebelum ini enggan menggerakkan demonstrasi ketika negara diserang.
“Bagaimana rakyat hendak turun ke jalan? Dalam keadaan mengerikan begini, semua hanya memikirkan keselamatan diri, keluarga, rakan senegara, malah haiwan peliharaan mereka,” kata Cik Atena Daemi, aktivis hak asasi yang pernah dipenjara enam tahun sebelum meninggalkan Iran. - REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg