Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seruan gencatan senjata tidak diendah, konflik Israel dan Iran memuncak

Lebih 220 maut sementara 1,400 cedera di Iran berbanding 14 maut di Israel
Jun 16, 2025 | 12:48 PM
Tel Aviv, serangan Iran
Pasukan penyelamat dilihat berhampiran bangunan yang rosak di bandar Tel Aviv susulan serangan peluru berpandu oleh Iran pada 16 Jun. - Foto AFP

TEL AVIV/TEHERAN: Ketegangan yang kian memuncak antara Israel dengan Iran kini memasuki hari keempat, apabila kedua-dua pihak terus melancarkan serangan balas yang semakin sengit dan berdarah.

Serangan udara terbaru yang berlaku awal pagi 16 Jun menandakan peringkat baru dalam pertikaian strategik dua musuh utama di Timur Tengah itu, dengan kemusnahan besar, kehilangan nyawa awam dan amaran keras daripada masyarakat antarabangsa yang masih belum diendahkan kedua-dua negara.

Tentera Israel dalam satu kenyataan rasmi menyatakan bahawa mereka telah menggempur beberapa tapak peluru berpandu di wilayah tengah Iran pada awal pagi 16 Jun.

“Kami sedang menjalankan operasi sasaran tepat ke atas kemudahan peluru berpandu balistik yang digunakan untuk menyerang wilayah kami. Kami menasihatkan penduduk Israel supaya terus berdekatan dengan tempat perlindungan,” kata jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan-Kolonel Jonathan Rosenzweig.

Beberapa jam selepas itu, siren kecemasan berbunyi di bandar utama Israel termasuk Tel Aviv, Petah Tikva dan Haifa, apabila Iran melancarkan satu lagi serangan balas melibatkan peluru berpandu.

Di Haifa, sebuah bandar berpenduduk campuran Yahudi dan Arab, serangan telah merosakkan sebuah pusat jagaan warga emas.

Perkhidmatan kecemasan melaporkan sembilan orang cedera, termasuk dua di selatan Israel akibat serangan berasingan.

Di Iran, suasana di Teheran menjadi semakin cemas apabila Israel melancarkan serangan udara pada waktu siang 15 Jun, satu tindakan luar biasa yang menggoncang ibu negara tersebut.

Rakaman daripada media tempatan menunjukkan kebakaran besar di depoh minyak Shahran selepas terkena bedilan.

Laporan menyatakan penduduk berpusu-pusu keluar dari ibu kota, dengan lebuh raya utama sesak teruk.

Stesen minyak dilaporkan dibanjiri oleh penduduk yang panik manakala pihak berkuasa menyeru rakyat mencari perlindungan di masjid, sekolah dan stesen metro bawah tanah.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Iran, Encik Hossein Kermanpour, setakat 16 Jun, 224 orang telah terkorban, termasuk lebih 60 orang pada 14 Jun sahaja, separuh daripadanya adalah kanak-kanak apabila sebuah apartmen 14 tingkat runtuh.

Lebih 1,400 orang cedera, dengan 90 peratus mangsa adalah orang awam.

“Ini bukan sahaja konflik tentera. Ini adalah krisis kemanusiaan,” ujar Encik Kermanpour dalam sidang media.

Serangan terbaru turut mengorbankan enam pegawai tertinggi keselamatan Iran termasuk Ketua Perisikan Pengawal Revolusi Mohammad Kazemi dan timbalannya.

Sejak 13 Jun lalu, Israel memperhebat serangan termasuk ke atas sektor tenaga Iran.

Serangan udara telah memusnahkan kemudahan di medan gas South Fars, salah satu yang terbesar di dunia dan utama untuk kegunaan domestik Iran.

Meskipun Israel masih belum menyasarkan kemudahan eksport minyak utama Iran, banyak pihak menjangkakan tindakan itu bakal menyusul.

“Kami masih mempunyai senarai panjang sasaran di Iran,” kata seorang pegawai kanan tentera Israel kepada media antarabangsa, dengan syarat tidak dinamakan.

Israel juga melancarkan serangan jarak jauh paling dalam setakat ini apabila mereka berjaya memusnahkan sebuah pesawat pengisian minyak strategik Iran di sebuah lapangan terbang sejauh 2,250 kilometer dari Israel, sekali gus menunjukkan kemampuan serangan mendalam negara itu.

Pemerhati bimbang konflik ini akan merebak menjadi perang serantau.

Setakat ini, 13 orang awam Israel terbunuh dalam serangan balas Iran sejak 13 Jun.

Di bandar Bat Yam, penduduk berkumpul di kawasan kejiranan yang musnah.

Seorang penduduk, Encik Shem, 29 tahun, berkata: “Kami tak dapat tidur. Rumah kami bergegar seperti dilanda gempa. Ini bukan hidup, ini ketakutan setiap saat.”

Iran pula mengeluarkan amaran keras kepada penduduk Israel agar mengosongkan kawasan “penting” yang berisiko menjadi sasaran seterusnya.

Dalam satu kenyataan melalui televisyen, jurucakap tentera Iran menyatakan: “Jangan berada atau bergerak berhampiran kawasan kritikal. Kami tidak akan beri amaran kali kedua.

Di sebalik ketegangan, prospek penyelesaian diplomatik semakin kabur.

Rundingan antara Teheran dan Washington berhubung program nuklear Iran yang sepatutnya disambung semula pada 15 Jun di Oman dibatalkan.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata Iran masih terbuka kepada perjanjian yang memastikan negara itu tidak menghasilkan senjata nuklear tetapi menegaskan hak untuk pengayaan uranium bagi tujuan awam mesti dipertahankan.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam kenyataannya di Truth Social memberi amaran tegas kepada Iran: “Jika kami diserang dalam apa jua bentuk, kuasa penuh angkatan tentera Amerika akan digerakkan ke tahap yang belum pernah dilihat.”

Namun beliau turut menyatakan hasrat melihat perjanjian damai dicapai antara Israel dengan Iran: “Kita boleh capai perjanjian dengan mudah dan akhiri pertumpahan darah ini.”

Ketegangan ini turut menggoncang pasaran minyak global.

Harga minyak mentah Brent meningkat 2.9 peratus kepada AS$76.37 ($97.96) setong, manakala minyak mentah WTI meningkat 2.8 peratus kepada AS$75.01, setelah melonjak lebih tujuh peratus dua hari lalu.

Penganalisis memberi amaran, jika serangan ke atas kemudahan eksport Iran berterusan atau jika laluan perkapalan di Selat Hormuz terganggu, kesan ke atas ekonomi global akan lebih mendalam.

Ketika ini, kedua-dua pihak kelihatan tidak mahu berganjak.

Dengan Israel masih berikrar untuk “melumpuhkan keupayaan ketenteraan dan nuklear Iran sepenuhnya” dan Teheran pula bersumpah untuk membalas dendam tanpa kompromi, masyarakat antarabangsa bimbang bahawa ruang diplomasi semakin tertutup.

Penduduk awam di kedua-dua negara kini menjadi mangsa utama dalam konflik ini.

Di Teheran, ramai bersiap menghadapi minggu-minggu yang sukar.

“Kami tak tahu bila serangan akan datang. Kami hanya tunggu nasib,” kata seorang penduduk yang enggan dinamakan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg