Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel, Iran lancar serangan semalaman, cetus kebimbangan konflik meluas

Teheran batalkan rundingan nuklear yang diusul AS; Israel beri amaran serangan susulan yang lebih besar
Jun 15, 2025 | 2:43 PM
Konflik Israel-Iran, peluru berpandu, Donald Trump
Peluru berpandu dari Iran dilihat di langit atas Jaluran Gaza sebelum mengenai sasaran di dalam wilayah Israel pada 15 Jun. - Foto EPA-EFE

TEL AVIV/DUBAI: Israel dan Iran melancarkan serangan baru ke atas satu sama lain semalaman hingga 15 Jun, mencetuskan kebimbangan konflik yang meluas selepas Israel mempertingkatkan kempen mengejut terhadap musuh utamanya itu.

Teheran membatalkan rundingan nuklear yang Washington katakan merupakan satu-satunya cara untuk menghentikan pengeboman Israel, manakala Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata serangan itu tidak seberapa berbanding dengan apa yang akan dilihat Iran pada hari-hari mendatang.

Tentera Israel berkata pada 14 Jun bahawa lebih banyak peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke arah wilayahnya, dan ia sedang berusaha untuk memintasnya.

Pihak Israel juga berkata ia telah menyerang sasaran tentera di Teheran.

Gelombang terbaru serangan Iran bermula sejurus selepas 11 malam pada 14 Jun (4 pagi pada 15 Jun, waktu Singapura), apabila siren serangan udara berbunyi di Baitulmakdis dan Haifa, menyebabkan sekitar sejuta orang bergegas mendapatkan perlindungan di tempat perlindungan bom.

Pada 15 Jun, sekitar 2.30 pagi waktu tempatan, tentera Israel memberi amaran tentang satu lagi serangan peluru berpandu yang akan datang dan menggesa penduduk mencari perlindungan.

Letupan bergema melalui Tel Aviv dan Baitulmakdis sedang peluru berpandu melintasi langit ketika roket pemintas dilancarkan sebagai tindak balas.

Tentera menarik balik nasihat perlindungan hampir sejam selepas mengeluarkan amaran.

Menjelang 3.30 pagi, sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 36 dilaporkan cedera dalam beberapa serangan peluru berpandu semalaman.

Media Israel menyiarkan gambar bangunan kediaman 10 tingkat, dilaporkan di bahagian tengah Israel, yang menunjukkan kerosakan besar menyusuli serangan itu.

Perkhidmatan ambulans berkata sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh semalaman, termasuk seorang budak lelaki berusia 10 tahun dan seorang wanita berusia 20-an tahun, dan lebih 140 cedera dalam pelbagai serangan.

Pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus menggeledah runtuhan bangunan kediaman yang musnah dalam beberapa serangan, menggunakan lampu suluh dan anjing untuk mencari mangsa yang terperangkap.

Media Israel berkata sekurang-kurangnya 35 orang hilang selepas serangan melanda Bat Yam, sebuah bandar di selatan Tel Aviv.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan berkata peluru berpandu melanda bangunan lapan tingkat di sana dan meskipun ramai orang diselamatkan, terdapat juga kematian.

Tidak jelas berapa banyak bangunan yang dilanda peluru berpandu Iran semalaman.

Setakat ini, sekurang-kurangnya sembilan orang di Israel telah terbunuh dan lebih 300 yang lain cedera sejak Iran melancarkan serangan balasnya pada 13 Jun.

Iran berkata 78 orang terbunuh di wilayahnya pada hari pertama kempen Israel, dan lebih ramai lagi pada hari kedua, termasuk 60 orang apabila peluru berpandu meruntuhkan blok apartmen 14 tingkat di Teheran, di mana 29 daripada mereka yang maut adalah kanak-kanak.

Iran berkata depot minyak Shahran di Teheran turut menjadi sasaran dalam serangan Israel itu tetapi keadaan terkawal, dan kebakaran telah meletus selepas serangan Israel ke atas kilang penapisan minyak berhampiran ibu kota negara itu.

Serangan Israel juga menyasar bangunan kementerian pertahanan Iran di Teheran, menyebabkan kerosakan kecil, kata agensi berita Iran, Tasnim, pada 15 Jun.

Pengawal Revolusi Iran berkata peluru berpandu dan dron Iran menyasar infrastruktur tenaga dan kemudahan Israel bagi pengeluaran bahan api jet pejuang.

Pasukan elit itu memberi amaran bahawa serangan Teheran akan “lebih padat dan lebih meluas” jika Israel meneruskan serangannya.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah memberi amaran kepada Iran tentang serangan lebih dahsyat yang akan berlaku, tetapi berkata masih belum terlambat untuk menghentikan kempen ketenteraan Israel jika Teheran menerima usulan penurunan mendadak program nuklearnya.

Satu pusingan rundingan nuklear Amerika-Iran yang akan diadakan di Oman pada 15 Jun telah dibatalkan, dengan Menteri Ehwal Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, berkata perbincangan itu tidak boleh diadakan ketika Iran sedang mengalami “serangan kejam” Israel. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg