KAHIRAH: Syria berkata Israel telah menghantar 60 askar untuk menguasai kawasan dalam sempadan Syria di sekitar Gunung Hermon, sekali gus melanggar kedaulatannya dan mengancam keselamatan serantau.
Israel tidak serta-merta mengulas mengenai dakwaan oleh Kementerian Luar Syria pada 25 Ogos itu, yang dibuat ketika kedua-dua negara terbabit dalam rundingan dengan pengantara Amerika Syarikat untuk meredakan konflik sesama mereka di selatan Syria.
Damsyik berharap untuk mencapai pengaturan keselamatan yang akhirnya boleh membuka jalan kepada perbincangan politik yang lebih luas.
Insiden pada 25 Ogos itu berlaku berhampiran puncak bukit strategik yang menghadap ke Beit Jinn, kawasan di selatan Syria berhampiran sempadan dengan Lebanon, kata kementerian itu.
Israel dikatakan turut menangkap enam warga Syria di sana, menurut penduduk di kawasan itu.
Kawasan itu terkenal dengan operasi penyeludupan senjata oleh kumpulan Hezbollah yang bersekutu dengan Iran di Lebanon dan oleh puak militan Palestin.
Pencerobohan Israel sebelum ini kebanyakannya berlaku di wilayah selatan Quneitra.
Tentera Israel pada 24 Ogos berkongsi rakaman tenteranya telah mengesan kemudahan penyimpanan senjata minggu lalu di selatan Syria.
“Peningkatan bahaya ini dianggap sebagai ancaman langsung terhadap keamanan dan keselamatan serantau,” kata Kementerian Luar Syria dalam satu kenyataan.
Israel telah menyatakan kebimbangan keselamatannya sendiri dan lantas campur tangan ketenteraannya di Syria sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024 dan demi melindungi kaum minoriti Druze di selatan Syria.
Beratus-ratus orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran pada Julai di daerah Sweida antara pejuang Druze, puak Badwi Sunni dan tentera pemerintah.
Israel campur tangan dengan melancarkan serangan udara untuk menghalang apa yang dikatakan sebagai pembunuhan besar-besaran terhadap kaum Druze oleh tentera pemerintah Syria.
Pada Januari, Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berkata tentera Israel akan kekal di puncak Gunung Hermon selama-lamanya.
Sejak itu Israel telah membentuk zon keselamatan dengan kerap membuat rondaan, menubuhkan pusat pemeriksaan, serta menjalankan operasi pencarian dan serbuan di kampung-kampung di sekitar gunung tersebut. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg