BAITULMAKDIS: Dua wartawan Reuters dan Associated Press (AP) yang terbunuh dalam satu serangan Israel ke atas hospital di Gaza bukan “sasaran serangan”, jelas seorang jurucakap tentera pada 26 Ogos.
Beliau menambah bahawa ketua tentera telah mengarahkan siasatan lanjut tentang bagaimana keputusan menyerang hospital itu telah dibuat.
Tentera Israel menyerang Hospital Nasser di selatan Jaluran Gaza pada 25 Ogos, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang termasuk lima wartawan yang bekerja untuk Reuters, AP, Al Jazeera dan media lain.
“Kami boleh mengesahkan bahawa wartawan Reuters dan AP bukan sasaran serangan itu,” kata jurucakap tentera Israel, Leftenan-Kolonel Nadav Shoshani.
Serangan Israel ke atas hospital itu adalah yang terkini dalam konflik membawa maut untuk wartawan warga Palestin yang menjadi antara segelintir saksi kejadian di medan konflik tersebut.
Israel melarang wartawan antarabangsa daripada memasuki Gaza secara bebas untuk membuat liputan, dan telah membunuh beberapa wartawan warga Palestin yang didakwa sebagai anggota Hamas atau kumpulan lain.
Lebih 190 pekerja media, kebanyakannya warga Palestin, telah terbunuh sejak Oktober 2023, menurut Jawatankuasa untuk Melindungi Wartawan.
Ketika serangan Israel pada 25 Ogos itu, siaran langsung video Reuters, yang dirakam oleh jurukamera, Encik Hussam al-Masri, tiba-tiba terputus.
Encik Masri terbunuh dalam serangan Israel itu.
Menggunakan peralatan kameranya sendiri, Reuters sering menyiarkan liputan daripada Hospital Nasser dan sekitarnya semasa perang Gaza.
Sejak beberapa minggu lalu, agensi berita itu telah menyampaikan laporan harian daripada hospital berkenaan.
Tiada seorang pun daripada lima wartawan itu adalah antara enam militan Palestin yang dinamakan sebagai sasaran Israel, kata satu kenyataan bertulis tentera Israel yang dikeluarkan pada 26 Ogos.
Kenyataan itu menyertakan gambar enam individu yang terbunuh, termasuk yang didakwa sebagai anggota Hamas dan Jihad Islam.
“Pada masa sama, Ketua Staf Am Israel kesal dengan sebarang kecederaan yang ditimbulkan kepada orang awam,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa tentera Israel mengarahkan serangannya ke atas sasaran tentera.
Kenyataan bertulis tentera Israel itu juga mengenal pasti apa yang dipanggil “beberapa jurang” yang Ketua Staf Am Israel telah arahkan agar diperiksa lebih lanjut.
“Pertama, pemeriksaan lanjut mengenai proses pengizinan sebelum serangan, termasuk peluru yang digunakan untuk serangan dan masa yang diberikan untuk melancarkannya.
“Kedua, pemeriksaan terhadap proses membuat keputusan di lapangan,” tambah kenyataan itu.
Kenyataan bertulis itu juga berkata tentera Israel telah mengenal pasti kamera “yang diletakkan oleh Hamas” di kawasan hospital untuk memerhati kegiatan tentera Israel.
Dalam satu kenyataan pada 26 Ogos, Hamas mencabar penjelasan Israel mengenai korban serangan di hospital itu, sambil menafikan rakyat Palestin yang terbunuh adalah anggota militan.
Pejabat media pemerintah Hamas berkata salah seorang daripada enam rakyat Palestin yang didakwa Israel sebagai anggota militan telah dibunuh di al-Mawasi yang terletak agak jauh dari hospital berkenaan, dan seorang lagi terbunuh di tempat lain pada masa yang berbeza.
Pejabat Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu berkata pada 25 Ogos bahawa Israel amat menyesali apa yang disebutnya sebagai “kejadian tragis.”
Dalam surat kepada pegawai Israel pada 25 Ogos, Reuters dan AP menulis: “Wartawan ini hadir dalam kapasiti profesional mereka, melakukan kerja kritikal sebagai saksi.
“Tugas mereka amat penting memandangkan larangan Israel selama hampir dua tahun terhadap wartawan asing daripada memasuki Gaza.”
“Kami berharap siasatan ini akan disegerakan, teliti dan memberikan jawapan yang jelas. Kematian ini menuntut kebertanggungjawapan segera dan telus,” kata surat itu.
Selain Encik Masri, yang bekerja secara kontrak untuk Reuters, wartawan yang maut juga termasuk Cik Mariam Abu Dagga, yang bekerja bebas untuk AP dan saluran media lain; Encik Mohammed Salama, kakitangan penyiar Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar; serta Encik Moaz Abu Taha, wartawan bebas yang bekerja dengan beberapa agensi berita.
Jurugambar, Encik Hatem Khaled, juga kakitangan kontrak dengan Reuters, pula cedera. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg