Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel desak bebaskan semua tebusan selepas Hamas setuju gencatan senjata

Perjanjian terbaru usul gencatan senjata awal 60 hari, pembebasan sebahagian tebusan, benarkan bantuan kemanusiaan
Aug 20, 2025 | 2:42 PM
hamas, conflict, israel, palestin
Penunjuk perasaan mendesak pembebasan tebusan yang ditawan dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 dalam bantahan di Tel Aviv pada 19 Ogos. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Seorang pegawai kanan Israel berkata pemerintahnya tetap berdiri teguh dengan gesaannya supaya semua tebusan dibebaskan selepas Hamas menerima cadangan gencatan senjata baru.

Pengantara sedang menunggu maklum balas rasmi daripada Israel sehari selepas Hamas memberi isyarat kesediaannya bagi pusingan baru rundingan yang bertujuan menamatkan perang hampir dua tahun.

Pengantara Qatar menyatakan keyakinan dengan cadangan baru itu yang “hampir sama” dengan versi terdahulu yang dipersetujui oleh Israel.

Bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, seorang pegawai kanan Israel berkata pada 19 Ogos bahawa pendirian pemerintahnya tidak berubah dan menuntut pembebasan semua tebusan dalam sebarang perjanjian gencatan senjata.

Kedua-dua musuh itu telah mengadakan rundingan secara tidak langsung sepanjang perang, menghasilkan dua gencatan senjata singkat yang menyaksikan beberapa tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk pembebasan tahanan Palestin di Israel.

Namun, mereka akhirnya gagal untuk mencapai gencatan senjata yang berkekalan.

Qatar dan Mesir, yang disokong Amerika Syarikat, telah menjadi pengantara dalam pusingan rundingan tersebut.

Mesir berkata pada 18 Ogos bahawa ia dan Qatar telah menghantar cadangan baru itu kepada Israel, sambil menambah “keputusan kini di tangannya (Israel)”.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed al-Ansari, berkata pada 19 Ogos bahawa Hamas telah memberikan “tindak balas yang sangat positif, dan ia benar-benar hampir sama dengan apa yang telah dipersetujui pihak Israel sebelum ini”.

“Kami tidak boleh membuat sebarang dakwaan bahawa satu kejayaan telah dibuat. Tetapi kami percaya ia adalah satu perkara yang positif,” tambahnya.

Menurut laporan akhbar Al-Qahera News, perjanjian terbaru itu mencadangkan gencatan senjata awal 60 hari, pembebasan sebahagian tebusan, pembebasan beberapa tahanan Palestin dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, masih belum mengulas secara terbuka mengenai cadangan itu, tetapi berkata minggu lalu bahawa negaranya akan menerima “perjanjian sekiranya semua tebusan sekali gus dibebaskan dan mengikut syarat kami untuk menamatkan perang”.

Pegawai kanan Hamas, Encik Mahmoud Mardawi, berkata kumpulannya telah “membuka pintu selebar-lebarnya kepada kemungkinan mencapai persetujuan, tetapi persoalan tetap sama ada Encik Netanyahu akan menutupnya sekali lagi, seperti yang dilakukannya pada masa lalu”.

Penerimaan Hamas terhadap cadangan itu timbul sedang Encik Netanyahu menghadapi tekanan yang semakin meningkat di dalam dan luar negara.

Pada 17 Ogos, puluhan ribu orang turun ke jalan raya di bandar Tel Aviv, Israel, menyeru supaya perang dihentikan dan perjanjian segera dicapai untuk membebaskan tebusan yang masih ditahan di Gaza.

Daripada 251 tebusan yang ditawan semasa serangan Hamas pada Oktober 2023 yang mencetuskan perang, 49 masih berada di Gaza, termasuk 27 yang dikatakan tentera Israel sudah meninggal dunia.

Cadangan baru itu juga dibuat selepas Kabinet Keselamatan Israel meluluskan rancangan untuk menakluk Bandar Gaza, walaupun dikhuatiri ia akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah melanda penduduk Palestin.

Pada 19 Ogos, rancangan serangan baru itu telah disampaikan kepada menteri pertahanan Israel oleh pegawai tertinggi tentera.

Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan Israel Encik Itamar Ben-Gvir – yang dengan tegas menentang menamatkan perang – menyelar rancangan itu dan memberi amaran “tragedi” akan berlaku jika Encik Netanyahu “menyerah kepada Hamas”.

Pegawai kanan Hamas, Encik Bassem Naim, berkata: “Malangnya, reaksi Israel mencerminkan niat jahat Netanyahu untuk meneruskan perang, pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg