GAZA: Sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin terbunuh manakala puluhan lagi cedera apabila sebuah trak bantuan terbalik ke atas orang ramai yang sedang beratur untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan di bahagian tengah Semenanjung Gaza awal pagi 6 Ogos, menurut laporan Agensi Berita Palestin (WAFA).
Insiden tragik itu berlaku ketika ratusan penduduk, yang sebahagiannya mengalami kebuluran melampau, berkumpul untuk menerima bantuan di tengah-tengah kemusnahan akibat serangan berterusan oleh tentera Israel. Lokasi tepat kejadian tidak dinyatakan, namun ia dilaporkan berlaku di kawasan yang dikawal ketat dan sebelum ini telah dibedil.
Menurut WAFA, trak bantuan tersebut terbalik selepas tentera Israel didakwa memaksa pemandu menggunakan laluan tidak selamat yang telah dibom dan tidak dibaiki. Laluan itu juga sesak dengan orang awam yang terdesak mendapatkan makanan dan bekalan asas.
“Tentera Israel sengaja mencetuskan kekacauan dan kelaparan dengan tidak menyediakan kawalan keselamatan kepada trak bantuan dan memaksa mereka melalui jalan-jalan yang berbahaya,” kata Pejabat Media Pemerintah Gaza dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu turut menuduh Israel merancang kekacauan kemanusiaan dengan sengaja meletakkan nyawa rakyat Palestin dalam bahaya melalui sistem agihan bantuan yang digelar sebagai “perangkap maut.”
Insiden ini menambahkan lagi jumlah korban rakyat Palestin yang maut ketika cuba mendapatkan bantuan. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 1,568 orang telah terbunuh dan 11,230 lagi cedera akibat tembakan tentera Israel berhampiran pusat agihan bantuan yang dikendalikan Amerika Syarikat sejak 27 Mei lalu.
Kementerian itu turut melaporkan bahawa sejak Oktober 2023, sekurang-kurangnya 188 orang, termasuk 94 kanak-kanak, telah meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan di Gaza.
“Kami hanya mahu roti dan air untuk anak-anak kami. Tetapi kini, mencari bantuan pun seperti berjalan menuju kematian,” kata seorang saksi, Encik Mahmoud al-Khatib, yang berada di lokasi semasa kejadian berlaku.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza yang telah meragut lebih 61,000 nyawa rakyat Palestin, hampir separuh daripadanya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Serangan itu turut memusnahkan infrastruktur asas, menyebabkan wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakannya di wilayah terkepung itu. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg