Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan USAid: Tiada bukti Hamas curi bantuan kemanusiaan yang dibiayai AS

Jul 25, 2025 | 3:22 PM
Penduduk Palestin berjalan di sepanjang Jalan al-Rashid di barat Jabalia pada 24 Julai 2025, selepas menerima bantuan kemanusiaan dari pusat agihan bantuan di utara Semenanjung Gaza. Lebih 100 organisasi bantuan memberi amaran pada 23 Julai bahawa “kebuluran besar-besaran” sedang merebak di seluruh Gaza, dan rakan-rakan mereka sendiri turut terjejas teruk akibat kekurangan bekalan. (
Penduduk Palestin berjalan di sepanjang Jalan al-Rashid di barat Jabalia pada 24 Julai 2025, selepas menerima bantuan kemanusiaan dari pusat agihan bantuan di utara Semenanjung Gaza. Lebih 100 organisasi bantuan memberi amaran pada 23 Julai bahawa “kebuluran besar-besaran” sedang merebak di seluruh Gaza, dan rakan-rakan mereka sendiri turut terjejas teruk akibat kekurangan bekalan. ( - Foto AFP

WASHINGTON: Satu analisis dalaman kerajaan Amerika Syarikat mendapati tiada bukti berlakunya kecurian sistematik oleh kumpulan militan Palestin, Hamas, terhadap bekalan bantuan kemanusiaan yang dibiayai Amerika Syarikat - satu penemuan yang mencabar alasan utama Israel dan Washington dalam menyokong operasi pengagihan bantuan baharu yang bersenjata dan dikendalikan oleh sektor swasta.

Analisis tersebut, yang belum pernah dilaporkan sebelum ini, dijalankan oleh sebuah biro dalam Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAid) dan disiapkan pada akhir Jun. Ia meneliti 156 insiden kecurian atau kehilangan bekalan bantuan Amerika yang dilaporkan oleh rakan pelaksana bantuan antara Oktober 2023 dan Mei lalu.

Menurut pembentangan slaid yang dilihat oleh Reuters, tiada sebarang laporan yang mendakwa Hamas mendapat manfaat daripada bantuan yang dibiayai Amerika. Seorang jurucakap Jabatan Negara Amerika mempertikaikan penemuan ini dan mendakwa terdapat rakaman video menunjukkan Hamas merampas bantuan, tetapi tidak mengemukakan sebarang bukti. Jurucakap itu juga menuduh organisasi bantuan konvensional menyembunyikan “rasuah bantuan”.

Penemuan ini telah dikongsi dengan pejabat Inspektor Jeneral USAid serta pegawai Jabatan Negara yang terlibat dalam dasar Timur Tengah, menurut dua sumber yang mengetahui perkara tersebut, dan muncul ketika krisis kekurangan makanan semakin buruk di Gaza yang dilanda perang.

Israel menyatakan ia komited untuk membenarkan kemasukan bantuan, tetapi menegaskan kawalan diperlukan bagi mengelakkan Hamas merampas bekalan tersebut, dan menyalahkan kumpulan itu atas krisis kemanusiaan yang berlaku.

Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan hampir suku daripada 2.1 juta penduduk Gaza kini berada dalam keadaan hampir kebuluran, dengan ribuan mengalami kekurangan zat makanan akut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta doktor tempatan turut melaporkan kematian akibat kelaparan dalam kalangan kanak-kanak dan lain-lain. PBB juga menganggarkan lebih 1,000 rakyat Palestin telah terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan, kebanyakannya berhampiran lokasi pengagihan milik Yayasan kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah kumpulan bantuan swasta yang dikendalikan oleh syarikat logistik berpangkalan di AS dan dikaitkan dengan bekas pegawai CIA serta veteran tentera bersenjata.

Kajian itu dijalankan oleh Biro Bantuan Kemanusiaan (BHA) USAid, yang merupakan penyumbang terbesar bantuan kepada Gaza sebelum pentadbiran Trump membekukan semua dana bantuan asing Amerika pada Januari, menyebabkan ribuan program dihentikan.

USAid kini juga sedang dibubarkan, dengan fungsinya diserap ke dalam Jabatan Negara.
Menurut slaid pembentangan, daripada 156 insiden yang disiasat, sekurang-kurangnya 44 insiden kehilangan bantuan berpunca “secara langsung atau tidak langsung” daripada tindakan ketenteraan Israel. Tentera Israel tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan Reuters mengenai penemuan ini.

Kajian itu mengakui terdapat keterbatasan disebabkan penerima bantuan di Gaza tidak dapat disaring, terdapat kemungkinan bahawa bantuan Amerika disalurkan kepada pegawai pentadbiran Hamas. Namun, seorang sumber yang biasa dengan kajian tersebut memberi amaran bahawa ketiadaan laporan tidak semestinya bermakna kecurian oleh Hamas tidak berlaku.

Perang di Gaza tercetus selepas Hamas menyerang Israel pada Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan menawan 251 tebusan, menurut angka rasmi Israel. Sejak itu, hampir 60,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat serangan balas Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Israel, yang mengawal akses ke Gaza, mendakwa Hamas mencuri bantuan makanan daripada PBB dan organisasi lain untuk mengawal penduduk awam dan menjana pendapatan, termasuk dengan menaikkan harga dan menjual semula barang bantuan.

Ditanya mengenai laporan USAid, tentera Israel menyatakan bahawa dakwaan mereka berdasarkan laporan risikan bahawa pejuang Hamas merampas kargo bantuan dengan menyamar atau menyusup masuk ke dalam konvoi.

Tentera Israel mendakwa Hamas telah mengalihkan sehingga 25 peratus daripada bantuan kepada pejuangnya atau menjualnya kepada orang awam, dan bahawa penglibatan GHF telah menamatkan pengaruh Hamas dengan mengagihkan bantuan secara langsung kepada penduduk.

Hamas menafikan dakwaan tersebut. Seorang pegawai keselamatan Hamas berkata bahawa lebih 800 anggota polis dan pengawal keselamatan yang berafiliasi dengan Hamas telah dibunuh oleh Israel ketika melindungi kenderaan bantuan dan laluan konvoi. Misi mereka dikatakan diselaraskan bersama PBB.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan sama ada oleh Hamas mahupun Israel, dan tiada bukti awam dikemukakan yang menunjukkan Hamas telah mencuri bantuan secara sistematik.

GHF turut menuduh Hamas terlibat dalam pencurian bantuan besar-besaran sebagai justifikasi kepada model pengagihan mereka. Namun, PBB dan organisasi lain menolak untuk bekerjasama dengan GHF, Israel, dan Amerika kerana mereka melihat pendekatan ini melanggar prinsip kemanusiaan antarabangsa mengenai keberkecualian.

Sebagai maklum balas terhadap permintaan untuk komen, GHF merujuk Reuters kepada artikel Washington Post bertarikh 2 Julai yang memetik seorang penduduk Gaza tidak dikenali dan pegawai Israel tanpa nama yang mendakwa Hamas memperoleh keuntungan daripada penjualan dan cukai ke atas bantuan yang diselewengkan.

Sebanyak 156 laporan kehilangan atau kecurian yang diteliti oleh BHA dihantar oleh agensi PBB dan kumpulan bantuan lain yang beroperasi di Gaza sebagai syarat untuk menerima dana bantuan AS. Seorang lagi sumber memberitahu bahawa setiap laporan disusuli dengan siasatan lanjut oleh kakitangan USAid bagi menentukan penglibatan Hamas.

Organisasi yang bekerjasama dengan USAid juga akan “menghentikan atau mengubah hala” pengagihan jika mereka mengetahui kehadiran Hamas di kawasan berkenaan. Syarikat dan individu yang terlibat dalam pengagihan juga diwajibkan untuk disaring agar tiada hubungan dengan kumpulan ekstremis sebelum menerima dana Amerika namun syarat ini diketepikan oleh Jabatan Negara ketika meluluskan dana AS$30 juta ($38 juta) untuk GHF bulan lalu.

Slaid pembentangan turut menyatakan bahawa rakan USAid cenderung melebih-lebihkan laporan berkaitan kecurian oleh kumpulan yang ditakrif sebagai pengganas oleh Amerika seperti Hamas dan Jihad Islam Palestin bagi mengelakkan pembatalan dana bantuan.

Daripada 156 insiden kehilangan atau kecurian, 63 melibatkan pelaku yang tidak dikenali, 35 oleh aktor bersenjata, 25 oleh individu tidak bersenjata, 11 secara langsung oleh tindakan ketenteraan Israel, 11 oleh subkontraktor yang korup, lima oleh kakitangan bantuan sendiri yang melakukan rasuah, dan enam oleh “lain-lain” dalam keadaan yang tidak dapat dipastikan.

Satu slaid menyatakan bahawa aktor bersenjata termasuk kumpulan samseng dan individu lain yang mungkin memiliki senjata. Satu lagi slaid menyatakan bahawa “tiada satu pun insiden dikaitkan secara langsung dengan organisasi pengganas asing seperti yang ditakrif Amerika,” termasuk Hamas.

“Sebahagian besar insiden tidak dapat dikenal pasti pelakunya secara pasti,” menurut slaid tersebut. “Kebanyakan rakan hanya menyedari barangan telah dicuri semasa dalam perjalanan tanpa dapat mengenal pasti siapa pelakunya.” Tambahnya lagi, mungkin wujud laporan risikan sulit mengenai pencurian oleh Hamas, tetapi kakitangan BHA telah kehilangan akses kepada sistem sulit selepas USAid dibubarkan.

Namun begitu, seorang sumber yang biasa dengan penilaian risikan Amerika memberitahu Reuters bahawa mereka tidak mengetahui sebarang laporan risikan Amerika yang memperincikan penyelewengan bantuan oleh Hamas, dan bahawa Washington hanya bergantung kepada laporan yang diberikan oleh Israel.

Analisis BHA turut mendapati tentera Israel “secara langsung atau tidak langsung menyebabkan” 44 daripada insiden kehilangan atau kecurian bantuan Amerika. Ini termasuk 11 insiden secara langsung akibat tindakan ketenteraan Israel seperti serangan udara atau arahan pengosongan terhadap rakyat Palestin.

Kehilangan yang dikaitkan secara tidak langsung pula melibatkan arahan tentera Israel kepada organisasi bantuan agar menggunakan laluan berisiko tinggi tanpa mengendahkan permintaan untuk laluan alternatif, menurut laporan analisis tersebut. - REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg