BAITULMAKDIS/GAZA: Utusan Timur Tengah Amerika Syarikat Steve Witkoff telah tiba di Israel untuk membincangkan cara menamatkan krisis di Gaza.
Lawatan itu dilakukan di tengah-tengah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat ke atas Israel dan selepas 58 orang yang berkumpul di sekeliling trak bantuan, terbunuh oleh tembakan Israel.
Encik Witkoff telah bertemu Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu untuk membincangkan bantuan kemanusiaan dan “langkah seterusnya” ke atas Gaza.
Beliau juga dijangka melawat kumpulan bantuan kemanusiaan yang disokong Amerika yang mengedarkan makanan di Gaza, dan memberi taklimat kepada Presiden Donald Trump selepas itu.
Minggu ini, agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa kematian akibat kebuluran telah bermula.
Encik Witkoff telah menjadi wakil tertinggi Amerika dalam rundingan gencatan senjata tidak langsung antara Israel dengan Hamas.
Tetapi rundingan itu terputus minggu lalu apabila Israel dan Amerika memanggil balik delegasi mereka daripada Doha.
Israel berada di bawah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk bersetuju dengan gencatan senjata dan membenarkan kemasukan bantuan makanan.
Canada dan Portugal adalah yang terbaru dalam rentetan negara yang mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf Negara Palestin.
Encik Trump mengkritik keputusan Canada dan, dalam catatan di rangkaian Truth Social-nya, meletakkan kesalahan atas konflik yang sedang berlaku di bahu Hamas.
“Cara terpantas untuk menamatkan Krisis kemanusiaan di Gaza adalah dengan Hamas menyerah diri dan membebaskan tebusan,’’ tegas Encik Trump.
Dalam kejadian pada malam 30 Julai, agensi pertahanan awam Gaza berkata tembakan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 58 orang yang berkumpul di sekitar konvoi bantuan kemanusiaan di utara wilayah itu.
Menurut saksi, trak tersebut telah memasuki Gaza melalui pusat pemeriksaan tentera Israel di Zikim, dalam perjalanan ke kemudahan World Central Kitchen dan gudang Program Makanan Sedunia di Bandar Gaza.
Beribu-ribu orang bergegas untuk menghentikan trak sebelum mereka terus bergerak ke gudang dan ketika itulah tembakan meletus.
Tentera Israel mengesahkan telah melepaskan “tembakan amaran” ketika penduduk Gaza berkumpul di sekeliling trak bantuan, tetapi berkata ia tidak mengetahui mengenai mangsa yang terkorban dalam insiden itu.
Seorang saksi melihat mayat seorang rakyat Palestin yang dipenuhi peluru di hospital al-Shifa Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza dikendalikan Hamas menggesa rakyat Palestin supaya tidak merompak konvoi bantuan kerana ia tidak mengandungi makanan sebaliknya bekalan perubatan untuk hospital di wilayah itu. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg