Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS lulus jualan roket pintar kepada Saudi di tengah konflik Houthi

Mar 21, 2025 | 1:05 PM
Bangunan Pentagon di Arlington, Virginia, Amerika Syarikat yang dirakam pada 9 Oktober 2020.
Bangunan Pentagon di Arlington, Virginia, Amerika Syarikat yang dirakam pada 9 Oktober 2020. - Foto REUTERS

WASHINGTON, 20 Mac 2025 – Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meluluskan penjualan pertama sistem senjata pintar Sistem Senjata Pemusnah Tepat Termaju atau Advanced Precision Kill Weapon System (APKWS) kepada Arab Saudi, dengan nilai dianggarkan mencecah AS$100 juta ($134 juta), menurut kenyataan Pentagon pada 20 Mac.

Kelulusan ini diberikan ketika Amerika masih giat melancarkan serangan udara ke atas sasaran Houthi di Yaman, yang bermula 15 Mac lalu.

Serangan tersebut setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang, menjadikannya operasi terbesar sejak Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025.

Konflik di Yaman bermula pada hujung 2014 apabila kumpulan Houthi merampas ibu kota Sanaa. Arab Saudi, yang bimbang dengan pengaruh Syiah Iran di sempadannya, memimpin gabungan tentera yang disokong Barat pada Mac 2015 untuk menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf oleh Riyadh.

Walaupun gencatan senjata pada 2022 berjaya meredakan sebahagian konflik, perang itu telah mengorbankan puluhan ribu nyawa, melumpuhkan ekonomi Yaman dan menyebabkan berjuta-juta rakyatnya kebuluran.

Sistem senjata APKWS merupakan roket berpanduan laser yang mampu menembak sasaran di udara dan di darat. Dengan harga sekitar AS$22,000 seunit, ia dianggap sebagai pilihan kos berdaya saing untuk memintas dron bersenjata berharga murah seperti yang sering digunakan oleh kumpulan Houthi untuk menyerang kapal-kapal di Laut Merah.

Pentagon melalui Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan (DSCA) telah memaklumkan kepada Kongres mengenai potensi penjualan sebanyak 2,000 unit APKWS, termasuk peralatan sokongan dan latihan.

“Ini adalah senjata yang direka untuk ketepatan dan kecekapan, sangat sesuai untuk menangani ancaman asimetrik seperti dron Houthi,” kata seorang pegawai pertahanan kepada Reuters.

Walaupun telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Negara, Pentagon menjelaskan bahawa ia belum menandakan perjanjian rasmi dimeterai atau rundingan telah dimuktamadkan.

“Kelulusan ini hanyalah satu langkah awal. Ia belum menunjukkan bahawa kontrak telah ditandatangani atau penghantaran akan dilakukan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan DSCA.

Syarikat pertahanan utama yang akan membekalkan sistem ini ialah BAE Systems, yang dijangka memainkan peranan utama dalam pelaksanaan kontrak jika ia diteruskan.
“Kami bersedia memberikan sokongan penuh dalam pelaksanaan kontrak ini apabila tiba waktunya,” kata wakil BAE Systems. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg