Usaha libat Turkey sertai pakatan Saudi-Pakistan arah baru keselamatan Asia Barat
Usaha libat Turkey sertai pakatan Saudi-Pakistan arah baru keselamatan Asia Barat
ISTANBUL/RIYADH: Usaha membawa Turkey menyertai pakatan pertahanan bersama yang dimeterai antara Arab Saudi dengan Pakistan semakin menjadi tumpuan pemerhati geopolitik.
Ini kerana ia dilihat sebagai mencerminkan perubahan berperingkat tetapi signifikan dalam susunan keselamatan Asia Barat.
Perkembangan itu bukan sahaja menyentuh hubungan tiga hala antara Ankara, Riyadh dengan Islamabad, malah membuka persoalan lebih besar tentang arah baharu strategi keselamatan serantau ketika jaminan kuasa luar semakin dipersoal.
Rundingan bagi mengaitkan Turkey dengan perjanjian yang ditandatangani di Riyadh pada September lalu dilaporkan berada di peringkat lanjut.
Menurut Bloomberg, perjanjian tersebut berpotensi diperluas untuk merangkumi Turkey, dengan klausa yang mentakrifkan sebarang pencerobohan terhadap sesebuah negara anggota sebagai serangan terhadap semua.
Bahasa sedemikian sering mengundang perbandingan dengan Artikel 5 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), namun konteks politik dan strategik di sebalik perjanjian itu beroperasi dalam realiti yang jauh berbeza.
Artikel 5 Nato menetapkan bahawa serangan terhadap satu negara anggota dianggap sebagai serangan terhadap semua, sekali gus mewujudkan kewajipan pertahanan bersama yang berfungsi sebagai mekanisme pencegahan kolektif.
Sebaliknya, pakatan Saudi-Pakistan tidak disertai struktur perintah bersepadu, komitmen undang-undang yang mengikat, atau pencetus tindak balas ketenteraan automatik.
Dalam erti kata lain, ia lebih bersifat kerangka politik dan isyarat strategik berbanding jaminan keselamatan mutlak.
Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, mengesahkan bahawa perbincangan dengan Riyadh dan Islamabad sedang berlangsung, namun menegaskan bahawa tiada perjanjian dimeterai setakat ini.
Pendekatan berhati-hati itu mencerminkan sifat sebenar inisiatif tersebut bukan pembentukan blok ketenteraan tegar, sebaliknya usaha menyelaras kepentingan keselamatan yang bertindih dalam landskap serantau yang kian tidak menentu, serta di tengah-tengah keraguan terhadap kebolehpercayaan jaminan keselamatan kuasa luar.
Bagi Ankara, tarikan utama pakatan Saudi-Pakistan bukan terletak pada komitmen pertahanan automatik, tetapi pada nilai strategik dan fleksibiliti politik yang ditawarkannya.
Penyertaan atau penglibatan secara longgar membolehkan Turkey meluaskan jejak keselamatannya di Asia Barat tanpa menjejas keanggotaannya dalam Nato atau mengikat diri kepada tanggungjawab yang boleh mengehadkan kebebasan strategik.
Sama ada langkah itu benar-benar mengubah imbangan pencegahan serantau bergantung bukan pada bahasa perjanjian, tetapi cara ia diterjemahkan di medan konflik serta reaksi kuasa utama lain, khususnya Israel dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Pakatan pertahanan Saudi-Pakistan itu sendiri bukanlah satu perkembangan mendadak.
Ia mencerminkan hubungan keselamatan jangka panjang antara Riyadh dengan Islamabad secara formal, yang selama beberapa dekad terjalin melalui kerjasama ketenteraan tanpa struktur perintah bersama atau pencetus tindak balas automatik.
Keputusan untuk memasukkan klausa pertahanan bersama membezakan perkembangan itu daripada bentuk kerjasama keselamatan terdahulu, sekali gus menaikkan nilai simboliknya.
Sekiranya Turkey menyertai pakatan itu, ia akan membawa masuk satu lagi kuasa ketenteraan utama, mengubah perjanjian dua hala kepada rangka kerja segi tiga yang lebih longgar.
Namun, walaupun retorik “satu untuk semua, semua untuk satu” kerap digunakan, perjanjian itu masih jauh daripada jaminan ala Nato.
Sebaliknya, ia memperluas jaringan hubungan pertahanan sedia ada ke dalam format yang memberi ruang budi bicara politik sambil memaparkan kesepaduan kepentingan.
Menurut Penyelidik Kanan Bersekutu di ISPI, sebuah institut penyelidikan dasar antarabangsa yang berpangkalan di Milan, Cik Eleonora Ardemagni, logik di sebalik minat Turkey lebih berkaitan dengan isyarat strategik berbanding pembinaan blok ketenteraan.
“Peluasan pakatan pertahanan bersama Saudi-Pakistan kepada Turkey, atau satu formula kerjasama yang kurang mengikat yang mengaitkan Ankara dengannya, terutama berkait dengan usaha membendung Israel,” katanya kepada The New Arab.
Beliau berpandangan Arab Saudi menaik taraf hubungan ketenteraannya dengan Pakistan pada 2025 bagi “melengkapkan kemerosotan pencegahan Amerika Syarikat di Teluk dan mengekang peningkatan ketegasan ketenteraan Israel di Asia Barat”.
Penyertaan Turkey, menurutnya, selari dengan rasional yang sama, khususnya ketika Ankara berusaha mengehadkan ruang gerak ketenteraan Israel di Syria.
Pendekatan baharu Turkey terhadap Arab Saudi berakar daripada pengajaran pahit pasca Arab Spring.
Strategi awal Ankara yang menyokong gerakan menjatuhkan kerajaan pusat sering membawa kesan balas yang merugikan kepentingannya sendiri.
Di Syria, kejatuhan negara mencetuskan kemasukan berjuta-juta pelarian dan mempercepat kemunculan wilayah autonomi Kurdi di sempadannya.
Di Libya, kekacauan politik menyebabkan syarikat Turkey kehilangan kontrak bernilai berbilion dolar.
Sejak 2020, Ankara mengubah haluan dengan menyokong kerajaan pusat yang kuat, menarik balik sokongan terhadap gerakan bersekutu Ikhwanul Muslimin, serta memulihkan hubungan dengan kuasa Teluk.
Pendekatan itu semakin sejajar dengan visi Arab Saudi melalui agenda Wawasan 2030 yang menekankan kestabilan, pelaburan dan usaha meredakan ketegangan serantau.
Penyelarasan kepentingan itu ketara di beberapa medan konflik.
Di Syria, Ankara dan Riyadh menyokong kerajaan pusat di Damsyik, meskipun didorong oleh pertimbangan strategik berbeza.
Di Sudan dan Libya, kedua-duanya semakin selari dalam menyokong struktur negara yang stabil.
Di Somalia, Turkey dan Arab Saudi bekerjasama menyokong kerajaan persekutuan melalui gabungan bantuan keselamatan dan pembangunan jangka panjang.
Pakistan pula memainkan peranan pelengkap penting.
Islamabad semakin menggunakan eksport pertahanan sebagai instrumen ekonomi dan strategik.
Perjanjian bernilai AS$4 bilion ($5.09 bilion) untuk menjual pesawat JF-17 kepada Libya, rundingan dengan Arab Saudi bagi menukar pinjaman kepada pembelian pesawat, serta pakej senjata bernilai AS$1.5 bilion untuk Sudan menggambarkan bagaimana Pakistan kian terikat dengan ekosistem keselamatan yang dibentuk bersama Riyadh dan Ankara.
Penyelarasan itu mencetuskan spekulasi tentang pembentukan paksi anti-Israel atau anti-UAE.
Namun, realitinya lebih bernuansa.
Cik Ardemagni menegaskan, kecuali di beberapa medan tertentu seperti Somalia dan Mesir, kerjasama Turkey dan Pakistan dengan Arab Saudi tidak semestinya menjejas hubungan mereka dengan UAE.
Ketiga-tiga negara mempunyai kepentingan ekonomi yang besar dengan Abu Dhabi, menjadikan pendekatan konfrontasi sesuatu yang tidak praktikal.
Dari sudut Israel, bagaimanapun, dinamik itu lebih membimbangkan.
Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Keselamatan Negara (INSS) Israel, Dr Gallia Lindenstrauss, meragui Turkey akan menyertai pakatan pertahanan yang benar-benar mengikat.
Menurutnya, langkah sedemikian akan bercanggah dengan keanggotaan Nato Turkey serta usaha Ankara membina industri pertahanan autonomi.
Israel juga memantau peranan Pakistan dengan teliti.
“Israel, seperti negara lain, memerhati kerjasama pertahanan antara negara Islam dengan Pakistan kerana keupayaan nuklearnya,” kata Dr Lindenstrauss, sambil memberi amaran bahawa dinamik itu berpotensi meningkatkan tekanan penyebaran senjata di rantau tersebut.
Bagi Ankara, pengiraan strategiknya kekal pragmatik.
Seperti yang ditegaskan oleh Dr Gonul Tol, dari Institut Asia Barat yang berpangkalan di Washington, Turkey tidak memilih antara Riyadh dengan Abu Dhabi, sebaliknya berusaha mengekalkan hubungan dengan kedua-duanya.
Pengalaman terpinggir daripada aliran modal Teluk mengajar Ankara bahawa keupayaan mengekalkan hubungan fleksibel dan berasaskan kepentingan praktikal lebih menguntungkan berbanding komitmen tegar kepada mana-mana blok kuasa.
Dalam konteks ini, minat Turkey terhadap pakatan pertahanan Saudi-Pakistan tidak menandakan pembentukan paksi baharu yang kaku, sebaliknya mencerminkan strategi melindungi nilai dalam dunia multipolar.
Ia menunjukkan bagaimana kuasa sederhana seperti Turkey berusaha mengekalkan ruang pengaruh melalui rangkaian hubungan yang longgar, boleh disesuaikan, dan sentiasa berubah mengikut keperluan geopolitik semasa. – Agensi berita.

