JAKARTA: Usul untuk menganugerahkan gelaran Pahlawan Nasional kepada mantan Presiden Suharto telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan aktivis hak asasi manusia, masyarakat sivil dan ahli akademik.
Bagi kelompok itu, pengiktirafan rasmi terhadap Encik Suharto bukan sahaja dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar, malah dianggap berbahaya.
Ini kerana ia berisiko memadam rekod sejarah berkaitan pelanggaran hak asasi manusia serta mengukuhkan budaya bebas daripada tanggungjawab undang-undang – atau apa yang dikenali sebagai ‘impunity atau ‘budaya bebas daripada hukuman’ – yang telah lama dikaitkan dengan era pemerintahannya selama tiga dekad.
Walaupun proses penilaian masih dijalankan oleh Kementerian Sosial, penentangan terhadap cadangan itu semakin lantang dengan alasan ia akan mengukuhkan budaya impunity dan memadamkan sejarah pelanggaran hak asasi manusia serta rasuah besar-besaran yang berlaku semasa pemerintahan Suharto.
Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Encik Usman Hamid, menyifatkan saranan tersebut sebagai tidak mempunyai asas falsafah, perundangan, atau sosiologi yang jelas.
“Kami menolak keras pemberian gelaran ini. Suharto tidak wajar dicalonkan memandangkan rekod pemerintahannya yang penuh dengan penindasan dan korupsi yang sistemik,” tegas beliau.
Encik Suharto, yang memerintah Indonesia selama lebih tiga dekad, dikenang bukan sahaja kerana kestabilan politik dan pembangunan ekonomi semasa Orde Baru, bahkan sebagai tokoh yang bertanggungjawab terhadap pelanggaran hak asasi manusia, korupsi, dan penindasan politik secara sistematik.
Menurut Suruhanjaya Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM), sekurang-kurangnya sembilan kes pelanggaran hak asasi manusia berat dikaitkan dengan beliau.
Ia termasuk tragedi pembantaian 1965-1966; penembakan misteri (1982-1985); pembantaian Tanjung Priok (1984); kejadian Talangsari (1989); penculikan aktivis reformasi (1997-1998) dan rusuhan Mei 1998.
Gelombang penolakan itu dizahirkan menerusi petisyen yang dilancarkan oleh Gerakan Masyarakat Awam untuk Mengadili Soeharto (Gemas) pada 8 April.
Setakat 16 April, petisyen berkenaan telah mengumpulkan lebih 3,400 tandatangan.
Setiausaha Agung, Ikatan Keluarga Orang Hilang Indonesia (IKOHI), Encik Zaenal Muttaqien, menyatakan penolakan itu penting bagi mengekalkan keutuhan ingatan sejarah.
“Usaha menganugerahkan gelaran ini muncul berulang kali. Itulah sebabnya kami, bersama NGO (badan bukan pemerintah) dan pejuang hak asasi manusia, sentiasa melancarkan bantahan awam,” ujarnya.
Menurut aktivis hak asasi manusia Indonesia, KontraS, Cik Jane Rosalina, momentum menolak pengiktirafan Encik Suharto sebagai pahlawan nasional semakin memuncak selepas nama beliau dikeluarkan daripada Artikel 4 Dekri Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) 1998, yang menekankan prinsip pemerintahan bersih daripada korupsi, kolusi (pakatan) dan nepotisme (KKN).
Cik Jane menyifatkan cadangan itu sebagai satu bentuk penghapusan memori kolektif rakyat.
“Kami melihat cadangan ini sebagai usaha untuk membenarkan sejarah gelap dan memadam rekod jenayah yang dikaitkan dengan Suharto.
“Ia merupakan satu langkah yang membuka ruang kepada normalisasi budaya tanpa pertanggungjawaban.
“Tindakan ini menandakan cubaan untuk membersihkan rekod jenayah sejarah beliau,” kata Cik Jane tegas.
Dalam undang-undang Indonesia, gelaran Pahlawan Nasional hanya diberikan kepada individu yang berjuang menentang penjajah, atau yang memberi sumbangan luar biasa kepada pembangunan negara.
Kriteria tambahan termasuk kewibawaan moral, tiada pengkhianatan terhadap negara, serta rekod kepimpinan yang memberi teladan.
Sementara itu, jurucakap Presiden yang juga Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, mempertahankan pencalonan itu dengan menyatakan bahawa “setiap presiden ada kelemahan dan jasa mereka”.
Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak hanya melihat kekurangan, sebaliknya menghargai sumbangan mereka.
Menteri Sosial, Encik Saifullah Yusuf, menyatakan bahawa pihak kementeriannya mendengar semua kritikan.
“Kita tidak boleh membuat keputusan sepihak. Semua pandangan akan dipertimbangkan, tetapi kita juga perlu mematuhi peraturan yang ada,” katanya.
Proses pencalonan itu sedang diteliti oleh Kementerian Sosial dan Pasukan Peneliti dan Pengkaji Gelar Pusat (TP2GP).
Menurut kenyataan rasmi, terdapat 10 calon bagi 2025 termasuk dua mantan presiden iaitu Encik Suharto dan Encik Abdurrahman Wahid (Gus Dur).
Menurut Peraturan Menteri Sosial 2012, sebarang pencalonan gelaran Pahlawan Nasional perlu melalui proses saringan yang ketat, termasuk penilaian awam di peringkat daerah dan provinsi.
Kementerian Sosial menegaskan mereka tidak boleh secara sepihak menggugurkan nama calon tanpa melalui proses sedia ada.
Namun, kritikan terhadap usulan itu tidak menunjukkan sebarang tanda ia akan surut.
Encik Saifullah mengakui pihaknya telah mendengar semua bantahan yang dikemukakan.
“Kami sedang menilai semua input masyarakat. Tapi kami juga terikat dengan aturan yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Namun, bagi aktivis seperti Encik Dimas Bagus Arya, dari KontraS, pemberian gelaran itu akan menjadi penanda aras yang salah berbahaya.
“Menjadikan Suharto Pahlawan Nasional bermaksud negara secara rasmi memaafkan dosanya. Ini merupakan tamparan besar terhadap perjuangan hak asasi manusia di negara ini,” katanya.
Bagi sesetengah pihak, pencalonan itu juga berkait rapat dengan keadaan politik semasa.
Encik Suharto adalah bapa mentua Presiden Prabowo Subianto, dan parti Golkar yang kini menyokong pentadbiran Encik Prabowo merupakan tulang belakang politik Encik Suharto sepanjang pemerintahannya.
Encik Prabowo sendiri pernah menyatakan pada 2014 beliau akan memperjuangkan gelaran Pahlawan Nasional untuk Encik Suharto jika dipilih sebagai presiden.
Daripada sudut akademik, persoalan utama ialah bagaimana sesebuah negara memilih untuk mengingati masa silamnya.
Ahli sejarah politik dari Universitas Indonesia, Dr Bambang Suharto (bukan saudara kepada Suharto), berkata:
“Pemberian gelaran pahlawan bukan sahaja pengiktirafan kepada individu, malah juga kepada naratif sejarah yang ingin ditegaskan oleh negara.”
Menurutnya, jika Encik Suharto diberikan gelaran itu, ia akan memberi isyarat negara bersedia melupakan pelanggaran hak asasi manusia demi kestabilan politik dan ekonomi yang dibawanya.
Perdebatan mengenai Encik Suharto bukan sekadar tentang pencapaian atau kegagalan individu, malah tentang arah sejarah dan keadilan sosial yang ingin dibentuk oleh Indonesia.
Seperti yang ditegaskan Encik Usman: “Kita tidak boleh membina masa depan yang adil dengan memadamkan masa lalu yang gelap.”
Mengabaikan aspek itu akan menjadikan penghargaan tertinggi negara kehilangan nilai moral dan membawa implikasi serius terhadap budaya politik dan memori kolektif bangsa, tambahnya.
Perdebatan itu menunjukkan wujudnya ketegangan antara kehendak politik untuk mencipta naratif nasional yang bersatu, dengan keperluan moral untuk tidak melupakan pelanggaran hak asasi manusia yang lampau.
Encik Prasetyo cuba menyimpulkannya dengan menyatakan bahawa setiap presiden memiliki jasa dan kelemahan masing-masing.
“Tidak wajar kita hanya menyorot kekurangan mereka. Kita harus melihat sumbangan besar mereka juga,” ujar beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg