TEHERAN: Serangan jet pejuang Amerika Syarikat melumpuhkan dua kapal tangki berbendera Iran sebagai tindakan penguatkuasaan sekatan pelabuhan, sekali gus meningkatkan ancaman terhadap gencatan senjata yang rapuh.

Tindakan Amerika itu turut mencetuskan serangan balas Iran dan menggugat gencatan senjata ketika Teheran meneliti cadangan terbaharu Washington untuk menamatkan perang di Asia Barat.

Pegawai Iran menuduh Amerika melanggar gencatan senjata menerusi serangan ke atas kapal tangki itu serta menjejas usaha diplomatik bagi menamatkan konflik.

Pada masa sama, gencatan senjata di Lebanon turut berdepan tekanan apabila Hezbollah yang disokong Iran, melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah pangkalan tentera di Israel.

Ia sebagai tindak balas terhadap serangan baru-baru ini ke atas Beirut dan serangan berterusan di selatan negara itu, yang menurut pihak berkuasa Lebanon telah membunuh 11 orang pada 8 Mei.

Markas Pentadbiran Pusat Amerika (Centcom) berkata sebuah pesawat F/A-18 Super Hornet menggunakan senjata tepat pada 8 Mei terhadap dua kapal di Teluk Oman – laluan masuk ke Selat Hormuz yang penting – bagi menghalang kapal itu daripada meneruskan pelayaran ke Iran.

Seorang pegawai tentera Iran memberitahu media tempatan tentera laut negara itu “bertindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata dan keganasan Amerika” dengan serangan balas.

Namun, pertempuran kini sudah berakhir, kata pegawai berkenaan.

Kes terbaharu itu berlaku selepas ketegangan tercetus semula di selat berkenaan, yang kawalannya disamakan oleh penasihat pemimpin tertinggi Iran seperti “memiliki bom atom”.

Washington, menerusi pengantara Pakistan, mengemukakan cadangan kepada Iran untuk melanjutkan gencatan senjata di Teluk bagi membolehkan rundingan penyelesaian muktamad konflik yang tercetus ekoran serangan Amerika-Israel ke atas Iran sekitar 10 minggu lalu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, berkata cadangan itu masih dalam penelitian, menurut agensi berita ISNA.

Wakil Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Amir Saeed Irvani, pula menuduh Amerika melanggar gencatan senjata dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB dan Majlis Keselamatan PBB. – AFP.