WASHINGTON: Pada 29 Julai lalu, Rumah Putih menepis kebimbangan terhadap perang ‘besar-besaran’ di Timur Tengah sebagai sesuatu yang “diperbesarkan”.
Namun dua hari kemudian, pada 31 Julai, keadaan menjadi tidak begitu jelas.
Banyak yang boleh berubah dalam masa 48 jam.
Bagi Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, pembunuhan berturut-turut seorang komander Hezbollah di Lebanon, Encik Fuad Shukr, dan pemimpin politik pergerakan Hamas, Encik Ismail Haniyeh di Iran, telah sekali lagi menjejas suasana geopolitik dan merubah penilaian risiko di rantau tersebut.
Sebagai pemimpin tanpa kempen pilihan raya pemilihan presiden untuk dijalankan, Encik Biden berharap dapat menggunakan baki masanya di Rumah Putih untuk menamatkan perang di Jaluran Gaza.
Mungkin beliau ingin mewujudkan perjanjian yang dijangka mampu mengubah paradigma, dengan kedua-dua Arab Saudi dan Israel, turut sama mengubah keadaan di rantau itu.
Kedua-dua matlamat ini bagaimanapun dilihat sukar untuk dicapai akibat dua pembunuhan yang dijalankan Israel pada hujung Julai lalu tetapi pasukan Encik Biden berikrar pada 31 Julai, untuk tidak berputus asa.
Pegawai Amerika Syarikat menghabiskan masa seharian untuk menghubungi pegawai di Israel, Lebanon, Iraq, Qatar, Mesir, Jordan dan Arab Saudi dengan harapan mengekang keganasan daripada meningkat.
Di samping itu mereka juga berusaha menyelamatkan kemungkinan mewujudkan perjanjian gencatan senjata, apabila keadaan bertambah baik.
Satu pasukan perunding Amerika yang meneruskan gencatan senjata, baru sahaja meninggalkan Rom, Italy, dan satu lagi pasukan sedang menuju ke Kahirah, Mesir, untuk meneruskan usaha itu.
“Laporan sepanjang 24, 48 jam yang lalu, sudah tentu tidak membantu meredakan keadaan, saya tidak mahu terlalu yakin mengenainya,” kata Encik John F. Kirby, jurucakap keselamatan negara untuk Rumah Putih.
“Kami jelas bimbang tentang meningkatnya ketegangan,” tambahnya sedang Amerika meneruskan usaha mewujudkan gencatan senjata.
“Apabila anda mempunyai peristiwa-peristiwa dramatik, peristiwa ganas yang disebabkan oleh apa jua puncanya, ia pastinya tidak menjadikan tugas untuk mencapai keputusan itu lebih mudah. Tetapi, kami masih percaya ada proses yang berdaya maju,” ujar Encik Kirby.
Pegawai pentadbiran Amerika berkata mereka tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai operasi yang menyasarkan Encik Haniyeh, pemimpin politik Hamas yang berpangkalan di Qatar.
Encik Haniyeh terbunuh di sebuah rumah tamu Pasukan Pengawal Revolusi Iran di Teheran, di mana beliau menginap di situ selepas menghadiri majlis perasmian Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian.
Pentagon dan pegawai tentera tertinggi, terkejut dengan pembunuhan itu, terutamanya berlaku di ibu negara Iran, sesuatu yang menyukarkan Iran untuk tidak melakukan tindak balas.
Seorang pegawai kanan tentera Amerika yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata walaupun Iran berasa malu dengan kelemahan keselamatan yang luar biasa itu, ia juga mungkin bimbang untuk terlibat dalam perang besar-besaran dengan Israel.
Pembunuhan Encik Haniyeh berlaku tidak sampai sehari selepas serangan di pinggir bandar Beirut, membunuh Encik Fuad Shukr, seorang komander Hezbollah, sebagai tindakan balas terhadap serangan pada hujung minggu di sebuah bandar yang dikuasai Israel yang membunuh 12 kanak-kanak dan remaja.
Israel secara terbuka mengaku bertanggungjawab menyebabkan serangan Hezbollah itu, tetapi menyatakan tidak terlibat dalam pembunuhan Encik Haniyeh, walaupun pegawai Amerika secara peribadi mengakui bahawa ia telah dilakukan oleh Israel.
“Terdapat pendapat umum kemungkinan wujudnya perjanjian mengenai tebusan Israel,” kata Encik Michael Koplow, Ketua Pegawai Forum Dasar Israel, sebuah kumpulan penyelidikan dan pendidikan yang menyokong penyelesaian damai dua negara.
“Namun semua ini hanya menunjukkan untuk kesekian kalinya bahawa betapa peristiwa-peristiwa yang tidak dapat diramalkan boleh berlaku,” ujar Encik Koplow.
Kematian Encik Haniyeh adalah sebahagian daripada siri pembunuhan tokoh kanan Hamas, ketika perang di Gaza hampir memasuki bulan ke-11 dan kebimbangan konflik itu mungkin merebak ke seluruh Asia Barat semakin meningkat.
Hamas dan Iran mendakwa, Israel mendalangi pembunuhan itu dan berjanji untuk membalas dendam terhadap musuh mereka.
Israel bagaimanapun tidak mengaku mahupun menafikan mereka bertanggungjawab atas kematian itu.
Encik Koplow, menulis di media sosial, Israel tidak mempunyai pilihan selain mengambil sebarang peluang yang muncul untuk membunuh Encik Haniyeh yang memimpin Hamas yang telah membunuh 1,200 orang dalam serangan 7 Oktober ke atas Israel.
“Kesilapan di sini bukanlah membunuh Haniyeh,” katanya.
“Tetapi telah terlepas peluang untuk perjanjian tebusan, yang kini menjadi lebih tidak mungkin,” tambah beliau.
Encik Haniyeh adalah antara perunding Hamas dalam rundingan gencatan senjata, tetapi pembuat keputusan utama ialah Encik Yahya Sinwar, komander kumpulan itu yang dipercayai bersembunyi di Gaza.
Beliau dan Encik Haniyeh dilihat sebagai antagonis dalam Hamas dan oleh itu Encik Sinwar mungkin tidak begitu meratapi pemergian Encik Haniyeh, kata penganalisis, tetapi beliau masih mungkin merasa terpaksa untuk menentang sebarang perjanjian dalam masa terdekat.
“Dalam apa yang sudah dilihat sebagai rundingan yang berbelit dan proses membuat keputusan dalam kalangan pemimpin Hamas di luar negara dan di Gaza kini akan menjadi lebih rumit,” kata Encik Natan Sachs, pengarah Pusat Dasar Timur Tengah di Institusi Brookings.
“Ia masih menjadi kunci kepada harapan luas pentadbiran Biden untuk menstabilkan keadaan, dan oleh itu kemungkinan akan kekal sebagai matlamat utama, walaupun mengambil masa lebih panjang,” ujar Encik Sachs. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg