Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

TRAGEDI BOLA SEPAK DI STADIUM MALANG, INDONESIA

Tindakan keras polis jadi tumpuan

Oct 06, 2022 | 05:30 AM



SELAMA beberapa tahun, rakyat Indonesia berdepan dengan pasukan polis yang dikatakan bukan sahaja rasuah, bahkan sering menggunakan kekerasan ke atas orang ramai dan tidak bertanggungjawab kepada sesiapa.



Di ibu kota Jakarta, polis dikatakan menembak mati 10 orang tatkala penunjuk perasaan berkempen menentang pemilihan semula Presiden Joko Widodo pada 2019.



Pada tahun berikutnya, pegawai dikatakan memukul ratusan orang di 15 wilayah dengan belantan sedang mereka membantah undang-undang baru.



Sekilas taktik kekerasan itu terlihat Sabtu lalu apabila pegawai rusuhan di kota Malang dikatakan memukul peminat bola sepak dengan kayu, perisai dan tanpa amaran, menembak gas pemedih mata ke arah puluhan ribu penonton di stadium di ruang terbatas.



Keadaan itu mencetuskan rempuhan yang menyebabkan 130 orang terkorban - salah satu bencana terburuk dalam sejarah sukan itu.



Namun, ketua polis Jawa Timur, Inspektor Jeneral Nico Afinta, pada Ahad lalu berkata polis telah mengambil tindakan mengikut prosedur.



Menurutnya, gas pemedih mata digunakan "kerana terdapat keadaan huru-hara" dan peminat "hampir menyerang pegawai dan telah merosakkan kereta".



Beberapa pakar pula berkata tragedi itu mendedahkan masalah sistemik yang dihadapi polis, kebanyakannya kurang terlatih dalam kawalan orang ramai dan cara mereka persis ketenteraan.



Dalam hampir semua keadaan, penganalisis berkata pihak polis tidak perlu menjawab bagi kesilapan tindakan mereka.



"Bagi saya, ini benar-benar membuktikan kegagalan pembaharuan pasukan polis di Indonesia," kata Dr Jacqui Baker, ahli ekonomi politik di Universiti Murdoch di Perth, Australia, yang mendalami isu polis di Indonesia.



Selama lebih dua dekad, aktivis hak asasi manusia telah menjalankan siasatan terhadap tindakan polis Indonesia.



Laporan-laporan itu, menurut Dr Baker, sering sampai kepada ketua polis, tetapi tidak menampakkan kesan.



"Mengapa kita terus berdepan dengan kes kekebalan mereka? Kerana tidak ada kepentingan politik untuk benar-benar mewujudkan pasukan polis profesional," ujarnya.



Selepas keganasan di Malang Sabtu lalu, ramai rakyat Indonesia menggunakan Twitter meminta ketua polis negara dipecat.



Setakat Isnin malam, hampir 16,000 orang telah menandatangani petisyen yang meminta polis berhenti menggunakan gas pemedih mata.



Pemerintah bertindak pantas meredakan kemarahan orang ramai dengan melucutkan jawatan ketua polis di Malang dan berjanji mengumumkan nama suspek yang bertanggungjawab dalam tragedi itu dalam masa beberapa hari.



Sebelum ini, semasa pemerintahan Encik Suharto selama tiga dekad, tentera dilihat sebagai amat berkuasa.



Tetapi selepas kejatuhannya pada 1998, sebagai sebahagian siri pembaharuan, pemerintah menyerahkan tanggungjawab bagi keselamatan dalam negeri kepada polis, memberikan kuasa yang amat besar.



Dalam banyak keadaan, pegawai polis mempunyai kata putus sama ada sesuatu kes perlu didakwa. Menerima rasuah adalah perkara biasa, kata penganalisis.



Sebarang tuduhan salah laku polis diserahkan sepenuhnya kepada pegawai atasan untuk menyiasat. Selalunya, kata kumpulan hak asasi manusia, mereka tidak melakukannya.



Timbalan pengarah Amnesty International Indonesia, Encik Wirya Adiwena, berkata "hampir tidak pernah ada" sebarang perbicaraan berhubung penggunaan kekerasan secara berlebihan oleh pasukan polis kecuali pada 2019, apabila dua pelajar terbunuh di Sulawesi semasa bantahan.



Tinjauan pendapat menunjukkan kepercayaan orang ramai terhadap polis turun kepada 54.2 peratus Ogos lalu daripada 71.6 peratus pada April lalu menyusuli laporan tentang seorang jeneral polis yang didakwa membunuh orang bawahannya dan mengarahkan pegawai lain menutup kes itu.



Dalam pada itu, peruntukan bajet polis melonjak lebih dua kali ganda tahun ini berbanding 2013; dan merupakan ketiga terbesar di kalangan semua kementerian pemerintah negara itu, termasuk mengatasi kementerian pendidikan dan kesihatan.



Encik Andri Prasetiyo, seorang penyelidik kewangan dan dasar yang menganalisis data pembelian pemerintah selama bertahun-tahun, berkata bahawa dalam dekad lalu, polis negara telah membelanjakan kira-kira AS$217.3 juta ($310 juta) untuk mendapatkan topi keselamatan, perisai, kenderaan taktikal dan peralatan lain yang digunakan semasa kejadian bantahan.



Dalam menjangkakan keganasan pada perlawanan bola sepak, ramai pegawai polis hadir dengan memakai topi keselamatan, jaket, perisai dan belantan.



Pakar berkata mereka terkejut dengan tindak balas pasukan polis di stadium Malang Sabtu lalu kerana keganasan bola sepak adalah perkara biasa di negara itu - pergaduhan kerap berlaku antara peminat kelab. Polis harus mempunyai panduan jelas untuk mengawal sebarang kekecohan.



Pihak berkuasa sedang menyiasat insiden itu. Apabila kelab Arema FC kalah 2-3, sebilangan penyokong berlari ke padang. Polis kemudian bertindak dan melepaskan gas pemedih mata, kata saksi.



Bagi memperbaiki taktik penguatkuasaan undang-undang, aktivis hak asasi mengusulkan polis: Jangan segera menggunakan gas pemedih mata; jangan cepat mengayun belantan pada orang ramai; memahami cara mengawal orang ramai; dan mengurangkan konflik. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >