Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinjauan: Kadar sokongan terhadap Trump hampiri paras terendah pada 32%
Populariti jatuh sepanjang 2026 susulan perang Amerika terhadap Iran jejas kewangan rakyat Amerika, apabila harga bahan api naik mendadak
Tinjauan: Kadar sokongan terhadap Trump hampiri paras terendah pada 32%
WASHINGTON: Kadar sokongan terhadap Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, kekal menghampiri paras terendah sepanjang tempoh beliau memegang jawatan presiden.
Manakala, ketua parti Demokrat di Senat Amerika turut menunjukkan tanda-tanda kehilangan populariti dalam kalangan partinya sendiri menjelang pemilihan kepimpinan, menurut tinjauan Reuters/Ipsos yang selesai dijalankan pada 16 November.
Tinjauan selama empat hari itu mendapati 32 peratus rakyat Amerika mempunyai pandangan positif terhadap prestasi Encik Trump di Rumah Putih.
Kadar berkenaan kekal tidak berubah dalam empat tinjauan berturut-turut Reuters/Ipsos sejak pertengahan Oktober, ketika rating presiden itu merosot ke paras terendah dalam kerjayanya iaitu 31 peratus.
Populariti Encik Trump merosot sepanjang 2026 susulan peperangan Amerika terhadap Iran yang menjejas kewangan peribadi rakyat Amerika, apabila harga bahan api melonjak secara mendadak.
Langkah tersebut turut mencetuskan krisis ekonomi yang menyebabkan Parti Republikan pimpinan Encik Trump hilang penguasaan di Kongres pada pilihan raya pertengahan penggal 3 November lalu.
Tinjauan Reuters/Ipsos itu turut mendapati hanya 31 peratus rakyat Amerika menyokong peperangan di Iran tersebut.
Selain itu, tinjauan sama menunjukkan responden Demokrat berbelah bahagi mengenai kepimpinan parti di Kongres, dengan lebih ramai yang memegang pandangan negatif berbanding positif terhadap Ketua Demokrat di Senat, Encik Chuck Schumer.
Sebaliknya, ketua parti itu di Dewan Perwakilan, Encik Hakeem Jeffries, menerima pandangan yang lebih positif berbanding negatif dalam kalangan anggota partinya.
Kira-kira 34 peratus responden yang mengaku sebagai penyokong Demokrat dalam tinjauan itu berkata mereka mempunyai pandangan positif terhadap Encik Schumer, yang kini berdepan cabaran kepimpinan daripada rakan Senator Demokrat dari Maryland, Encik Chris Van Hollen.
Sekitar 43 peratus penyokong Demokrat dalam tinjauan tersebut mempunyai pandangan negatif terhadap Encik Schumer, manakala 22 peratus lagi menyatakan mereka tidak pernah mendengar namanya.
Dalam tinjauan Reuters/Ipsos yang dijalankan pada Februari, 38 peratus penyokong Demokrat didapati mempunyai pandangan positif terhadap Encik Schumer dan 37 peratus lagi mempunyai pandangan negatif.
Encik Van Hollen dilihat lebih lantang mengkritik peperangan Israel di Gaza, dengan berhujah bahawa sekatan terhadap beberapa penjualan senjata ke Israel mungkin diperlukan.
Encik Schumer turut mengkritik serangan Israel di Gaza namun mengundi menentang had penjualan senjata kepada sekutu Amerika itu.
Peperangan Israel di Gaza – yang telah memusnahkan sebahagian besar wilayah diduduki itu susulan serangan oleh kumpulan Palestin, Hamas, ke atas orang awam Israel pada 2023 – telah memecahbelahkan anggota Demokrat secara ketara, serta menghakis sokongan lama terhadap Israel dalam parti berkenaan.
Anggota parlimen Demokrat akan mengambil alih penguasaan di Senat Amerika dan Dewan Perwakilan pada Januari 2027.
Tinjauan Reuters/Ipsos itu turut mendapati Encik Jeffries lebih disukai berbanding Encik Schumer, dengan 40 peratus penyokong Demokrat mempunyai pandangan positif terhadapnya dan 29 peratus berpandangan negatif, manakala 29 peratus lagi menyatakan mereka tidak mengenali beliau.
Penyokong Republikan pula dilihat lebih bersatu di belakang kepimpinan mereka, dengan 75 peratus menyatakan mereka menyukai Encik Trump dan 77 peratus menyatakan perkara sama terhadap Naib Presiden, Encik J.D. Vance.
Tinjauan Reuters/Ipsos yang dijalankan secara dalam talian itu melibatkan 1,521 responden dewasa dari serata Amerika dan mempunyai margin ralat sekitar tiga mata peratusan. – Reuters.