Topik diikuti
Pergi ke BHkuPentadbiran Trump ubah pendirian, tiada keperluan operasi ketenteraan terhadap Iran
Washington mula melonggarkan ancaman ketenteraan selepas kekalahan Republikan, Teheran desak AS penuhi syarat buka semula Selat Hormuz
Pentadbiran Trump ubah pendirian, tiada keperluan operasi ketenteraan terhadap Iran
TEHERAN: Amerika Syarikat (tidak melihat keperluan melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran buat masa ini kerana tekanan ekonomi yang dikenakan terhadap Teheran sudah cukup untuk melemahkan negara itu, kata Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio.
Kenyataan itu dibuat ketika usaha diplomatik untuk menamatkan perang yang berlarutan sejak lapan bulan lalu semakin giat, dengan Iran terus mendesak Washington menerima syaratnya bagi membuka semula Selat Hormuz, laluan penting perdagangan minyak dunia.
Encik Rubio berkata kempen tekanan ekonomi Washington terhadap Iran sudah memberikan kesan yang amat besar, sekali gus mengurangkan keperluan untuk meneruskan operasi ketenteraan.
“Kempen ekonomi terhadap Iran begitu dahsyat kesannya sehingga buat masa ini, tiada keperluan untuk operasi ketenteraan besar-besaran.
“Itulah yang saya sampaikan kepada sekutu kami hari ini,” katanya selepas mesyuarat Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) di Paris pada 10 November.
Kenyataan beliau menyusuli pengumuman Presiden Donald Trump bahawa terdapat perkembangan positif dalam usaha menamatkan konflik yang bermula pada akhir Februari lalu.
Perang itu tercetus selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran yang mengorbankan Pemimpin Agungnya, Ayatollah Ali Khamenei.
Sejak itu, Iran berusaha menyekat Selat Hormuz, laluan utama kapal tangki yang membawa minyak dan gas dari negara Teluk ke pasaran antarabangsa.
Gangguan tersebut menyebabkan harga minyak dunia melonjak, sekali gus meningkatkan kos tenaga dan sara hidup di banyak negara.
Kenaikan harga minyak turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan Parti Republikan pimpinan Encik Trump dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada 3 November.
Washington sebelum ini mengenakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran dan pada Ogos mengumumkan kempen untuk melumpuhkan ekonomi negara itu melalui tekanan kewangan yang lebih ketat.
Bagaimanapun, selepas kekalahan Republikan, pentadbiran Trump dilihat semakin berhati-hati untuk melancarkan serangan baharu yang boleh memanjangkan perang.
Menteri Luar Britain, Ed Miliband, menggesa usaha diplomatik dipertingkat bagi menamatkan kebuntuan yang terus menjejaskan ekonomi dunia.
“Kita perlu keluar daripada kebuntuan ‘tidak berperang, tetapi tidak juga berdamai’ yang menyebabkan kesan ekonomi amat berat kepada negara kita,” katanya.
Beliau turut menggesa penyelesaian menyeluruh bagi menamatkan konflik, menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear dan memastikan Selat Hormuz dibuka sepenuhnya.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan Teheran masih bersedia membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh dua hari sekiranya Washington memenuhi tuntutannya.
Antara syarat yang dikemukakan termasuk menamatkan peperangan di semua medan, membebaskan aset Iran yang dibekukan, menarik balik sekatan terhadap eksport minyak dan menghentikan sekatan AS ke atas pelabuhannya.
“Konflik dengan Iran tidak akan dapat diselesaikan melalui tindakan ketenteraan atau dengan memperketat sekatan ekonomi,” katanya kepada agensi berita IRNA.
Menurut beliau, satu-satunya jalan penyelesaian ialah melalui rundingan yang menghormati kepentingan kedua-dua pihak.
“Jalan penyelesaiannya ialah menggunakan pendekatan saling menghormati, mengadakan diplomasi dan menangani tuntutan serta syarat Iran yang sudah dikemukakan dalam cadangan dua hari itu dan masih terbuka untuk dipertimbangkan,” katanya.
Namun, keadaan keselamatan di sekitar Selat Hormuz masih tidak menentu apabila beberapa kapal tangki dilaporkan diserang.
Syarikat minyak negara Amiriah Arab Bersatu (UAE), ADNOC, mengesahkan sebuah kapalnya mengalami kerosakan akibat serangan di perairan negara itu.
Agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO, pula melaporkan sebuah kapal tangki terkena peluru berpandu atau objek letupan yang belum dikenal pasti di luar pantai Oman.
Pasukan Pengawal Revolusi Iran turut mendakwa tiga kapal tangki minyak terbakar di Selat Hormuz, namun belum dapat dipastikan sama ada ia merujuk kepada kapal yang sama.
Dalam perkembangan diplomatik, Qatar dan Pakistan kini mengetuai usaha menjadi orang tengah bagi menamatkan perang.
Selepas bertemu Perdana Menteri Qatar di Rumah Putih pada 9 November, Encik Trump berkata Amerika masih bersedia melancarkan serangan, tetapi kemungkinan tindakan itu diambil amat kecil.
Beliau berkata sekutu utama Washington di Teluk lebih memilih supaya keadaan tidak berubah buat masa ini.
“Kami melihat perkembangan positif ke arah menamatkan konflik ini dan akan memastikan kepentingan Amerika sentiasa dilindungi,” katanya menerusi media sosial.
Pegawai Kementerian Luar Qatar, Encik Ibrahim al-Hashmi, mengesahkan terdapat kemajuan dalam rundingan, walaupun perbezaan pendirian antara Washington dengan Teheran masih ketara.
Penganalisis politik Iran, Ali Bigdeli, berpendapat keputusan pilihan raya Amerika sudah mengubah kedudukan rundingan kedua-dua negara.
Menurutnya, Iran kini kurang bersedia berkompromi, manakala Washington menunjukkan sikap lebih terbuka selepas kekalahan Republikan.
Bagaimanapun, beliau mengakui tuntutan Teheran agak berat untuk diterima Amerika, tetapi rundingan secara langsung masih berpotensi menghasilkan persetujuan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pula memberi amaran bahawa tekanan antarabangsa mungkin memaksa Israel menerima perjanjian yang membolehkan Iran mengekalkan keupayaan nuklearnya.
Di Teheran, ketua keselamatan Iran, Mohsen Rezaei, mengambil pendirian lebih keras dengan mendesak Washington menerima tuntutan negaranya.
“Perang terhadap Iran sudah pun menghancurkan pemerintah Amerika Tetapi Washington masih bertindak seperti seorang penjudi yang terdesak.
“Serah kalah,” katanya menerusi platform X. – Agensi berita