BANGKOK: Kebanyakan rakyat Thailand mahu Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra meletak jawatan atau membubarkan Parlimen bagi meredakan kemelut politik berikutan penggantungan jawatannya oleh Mahkamah Perlembagaan negara itu, menurut dapatan satu tinjauan pendapat.
Sekitar 42.4 peratus responden menyatakan Cik Paetongtarn sepatutnya meletakkan jawatan bagi membuka jalan kepada perdana menteri baru, manakala 39.9 peratus menyokong pembubaran Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya diadakan.
Ini berdasarkan kepada dapatan hasil tinjauan dari 4 hingga 7 Julai oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Negara, dikenali sebagai Nida.
Dapatan itu juga menunjukkan kira-kira 15 peratus responden menjangkakan Perdana Menteri Cik Paetongtarn kekal memegang jawatan dan minoriti 1.4 peratus menyokong rampasan kuasa untuk menukar kerajaan.
Kira-kira 1,310 warga Thailand berumur 18 tahun ke atas telah ditemu bual dalam tinjauan itu, yang mempunyai margin ralat sebanyak 3 peratus, kata Nida pada 13 Julai.
Sokongan bagi Cik Paetongtarn telah merosot, dengan beribu-ribu penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam perhimpunan di Bangkok pada Jun untuk menuntut peletakan jawatannya kerana kesan berterusan daripada panggilan telefonnya yang bocor dengan bekas pemimpin Kemboja Encik Hun Sen, yang membawa kepada perintah mahkamah dikeluarkan.
Mahkamah Perlembagaan pada 1 Julai berkata terdapat “sebab yang mencukupi untuk mengesyaki” Cik Paetongtarn telah melanggar etika semasa pertikaian diplomatik dengan Kemboja.
Khidmat beliau digantung sementara menunggu siasatan yang boleh berlangsung selama beberapa bulan.
Tinjauan tersebut menunjukkan 32.8 peratus responden menyokong mantan perdana menteri Encik Prayut Chan-o-cha – yang mengetuai rampasan kuasa terakhir – sebagai pilihan terbaik untuk perdana menteri.
Manakala 11.5 peratus menyokong pemimpin Parti Bhumjaithai, Encik Anutin Charnvirakul, sebagai perdana menteri dan 10.9 peratus memihak kepada Encik Chaikasem Nitisiri dari Parti Pheu Thai.
Cik Paetongtarn, 38 tahun, ialah anak perempuan taikun yang juga mantan Perdana Menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra.
Keluarga dan partinya telah bersaing dalam penubuhan parti konservatif Thailand sejak awal 2000-an.
Ekoran penggantungan tugas Cik Paetongtarn, kuasa segera diserahkan kepada Encik Suriya Jungrungreangkit, 70 tahun, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan.
Cik Paetongtarn dipilih sebagai perdana menteri pada Ogos dalam undian Parlimen hanya beberapa hari selepas penyingkiran pendahulunya, Encik Srettha Thavisin, oleh Mahkamah Perlembagaan dalam kes pelanggaran etika. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg