BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, berkongsi pandangannya dalam satu wawancara eksklusif sempena acara 55 Tahun Bicara Eksklusif Nation: Menelusuri Krisis Thailand Bab 1, yang disiarkan secara langsung di Nation TV pada 9 Julai.
Sesi perbincangan itu dikendalikan oleh tiga ketua pengarang Kumpulan Nation dan memberi tumpuan kepada pelbagai isu semasa, termasuk klip audio bocor membabitkan perbualan telefon pada 15 Jun antara Presiden Senat Kemboja, Encik Hun Sen, dan Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra. Isu ini kini menjadi krisis politik utama di Thailand.
Insiden tersebut berpotensi besar menjejas kredibiliti moral Cik Paetongtarn, yang juga anak perempuan Encik Thaksin. Mengulas perkara itu, Encik Thaksin menjelaskan hubungan masa lalunya dengan Encik Hun Sen, yang pernah dianggap seperti saudara.
Namun begitu, beliau menyatakan rasa terkejut dan kecewa selepas mengetahui tindakan Encik Hun Sen terhadap anaknya. Thaksin merujuk kepada rakaman rahsia perbualan telefon peribadi mereka yang kemudiannya disiarkan secara umum oleh Hun Sen di laman Facebook beliau pada 18 Jun.
“Situasi ini bermula apabila anak saya menyatakan hasrat untuk menghubungi Hun Sen melalui Khliang Huot (pembantu rapat Hun Sen yang juga bertindak sebagai jurubahasa) dan mengatur panggilan,” kata Encik Thaksin.
“Beliau mengajak Menteri Pertahanan Phumtham (Wechayachai), Menteri Luar Maris (Sangiampongsa), dan Setiausaha kepada Perdana Menteri, Dr Prommin Lertsuridej, untuk turut serta kerana beliau tidak mahu pergi bersendirian. Mereka menunggu selama tiga jam, tetapi Hun Sen memberitahu bahawa beliau sedang tidur dan turut menghantar gambar sebagai bukti.”
Beliau menyambung: “Saya minta anak saya pulang dan semua pun bersurai. Namun kemudian, Hun Sen sendiri menghubungi anak saya. Itu sangat menyakitkan. Kami asalnya mahu selesaikan perkara ini secara damai melalui dialog.”
Mengimbas kemerosotan hubungan itu, Encik Thaksin berkata: “Apabila sesuatu hubungan tamat, ia memang tamat. Saya tertanya-tanya apa yang telah berlaku. Saya meneliti semuanya dari malam Khamis hingga pagi Jumaat, dan Nation TV melaporkan pergerakan tentera di sempadan. Saya marah. Saya hubungi Huot dan bertanya, ‘Adakah kita hendak berperang?’ Saya minta mereka tarik balik tentera dan selesaikan melalui mekanisme JBC (Jawatan Kuasa Sempadan Bersama).”
Encik Thaksin menjelaskan bahawa walaupun tentera Kemboja ditarik balik pada Ahad, 22 Jun, tentera Thailand telah merancang untuk menutup sempadan.
“Walaupun tentera Kemboja berundur pada hari Ahad, (22Jun) pada hari Isnin (23 Jun) kami menutup sempadan, dan tindakan itu membuatkan Hun Sen marah,” katanya.
“Apabila Paetongtarn kemudiannya memuat naik kenyataan bahawa tindakan Hun Sen tidak profesional, beliau bertambah marah. Tetapi saya ingin tegaskan bahawa kita belum sampai ke tahap isytihar perang. Masih ada ruang untuk selesaikan melalui rundingan JBC.”
Encik Thaksin turut mengimbas insiden pada tahun 2003, apabila berlaku dakwaan palsu bahawa pelakon Thailand, Kob Suwanant, mengatakan Siem Reap milik Thailand – satu kenyataan yang tidak pernah dibuat olehnya. Insiden itu mencetuskan serangan ke atas kedutaan Thailand di Kemboja.
“Saya segera arahkan agar kedutaan dan rakyat Thailand dilindungi,” katanya. “Saya juga arahkan panglima tentera untuk pastikan keselamatan. Jika keadaan tidak terkawal menjelang pagi, saya akan kerahkan komando dan kapal HTMS Chakri Naruebet milik Tentera Laut Diraja Thailand. Itu pendekatan saya waktu itu.”
“Kini saya tak tahu nak kata apa lagi. Saya hanya hantar satu mesej kepada Hun Sen: ‘Apa yang kamu buat hari ini merosakkan kedua-dua pihak. Kita pernah sangat rapat, saya tak sangka ia berakhir begini.’”
Encik Thaksin menegaskan: “Rundingan ketika itu dilakukan dengan Hun Sen, bukan dengan Perdana Menteri. Tetapi memandangkan situasi ini, saya berhutang satu permohonan maaf kepada rakyat. Saya telah silap berurusan dengan orang sepertinya.”
“Hari ini, tiada apa yang perlu dirisaukan. Tidak akan ada perang. Tiada pertempuran. Sekarang ini cuma masing-masing cuba menonjolkan kelebihan. Siapa menyelam lebih dalam, dia menang.”
Beliau turut menyatakan bahawa beliau tidak mahu negara ketiga menjadi orang tengah. “Seperti yang saya katakan, jika kita tak lagi bercakap, apa lagi yang boleh kita buat?”
Akhir sekali, Encik Thaksin mendedahkan beberapa butiran berkaitan kegiatan bawah tanah di Kemboja. “Saya tidak tahu secara terperinci, tetapi saya tahu ada hubungan kewangan dari Thailand melibatkan penghantaran pekerja ke penasihat buruh di Kemboja. Sebahagian daripada dana itu dipindah masuk dan keluar, dan jumlahnya melebihi 100 juta.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg