Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harris temui pemimpin Arab AS untuk tambat hati pengundi

Langkah sejukkan hati pengundi Islam dan Arab yang marah kerana sokongan AS pada perang Israel di Gaza
Oct 5, 2024 | 4:07 PM
Pertemuan calon presiden Kamala Harris pada 4 Oktober adalah susulan usaha lain oleh pasukannya minggu ini untuk meraih sokongan daripada pemimpin Arab Amerika.
Pertemuan calon presiden Kamala Harris pada 4 Oktober adalah susulan usaha lain oleh pasukannya minggu ini untuk meraih sokongan daripada pemimpin Arab Amerika. - Foto AFP

MICHIGAN: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Cik Kamala Harris, bertemu pemimpin Arab Amerika dan Muslim di Flint, Michigan, pada 4 Oktober, dalam tempoh kempen presidennya dalam usaha memenangi kembali hati pengundi yang marah terhadap sokongan Amerika terhadap peperangan Israel di Gaza dan Lebanon.

Pertemuan itu adalah salah satu daripada beberapa percubaan dalam beberapa hari kebelakangan ini untuk membaiki hubungan dengan pengundi Islam dan Arab.

Mereka telah memberi sokongan kepada Encik Joe Biden dari Parti Demokrat pada 2020 tetapi besar kemungkinan, tidak akan mengundi untuk Cik Harris. Ini akan menyebabkan beliau kehilangan negeri utama Michigan.

Semasa pertemuan setengah jam itu, Cik Harris menyatakan kebimbangannya mengenai skala penderitaan di Gaza serta pembunuhan orang awam dan pemindahan penduduk di Lebanon.

Beliau juga membincangkan usaha untuk menamatkan perang si samping usaha untuk mencegah perang serantau, menurut seorang pegawai kempen.

Ketua Eksekutif Emgage Action, Encik Wa’el Alzayat, yang menyokong Cik Harris baru-baru ini, berkata sekumpulan individu berkongsi kekecewaan mereka yang mendalam di atas cara Amerika mengendalikan krisis tersebut dan menyeru beliau untuk melakukan segala yang terdaya untuk menamatkan perang.

Presiden Pasukan Petugas Amerika di Lebanon, Encik Ed Gabriel, berkata pertemuan itu termasuk “keperluan untuk gencatan senjata, dan sokongan yang diperlukan daripada Amerika dan sekutunya untuk menangani krisis kemanusiaan, masalah kepimpinan presiden di Lebanon, dan peranan penting Angkatan Bersenjata Lebanon”.

“Kami mendengar keihsanan dicurahkan dari pihaknya. Kita lihat apa yang akan berlaku,” katanya.

“Ini adalah pertukaran dua hala yang berharga dan kami mengorak kemajuan penting dalam hubungan kami. Kami akan terus bertemu satu sama lain,” tambah Encik Gabriel.

Pemimpin lain yang terlibat dalam pertemuan ini termasuk Encik Assad Turfe, timbalan eksekutif wilayah Wayne County, wilayah dengan jumlah penduduk paling ramai di Michigan.

Dr Jim Zogby, pengasas Institut Arab Amerika dan anggota yang sudah lama menyertai Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik, berkata beliau menolak pelawaan menghadiri pertemuan ini.

Cik Hala Hijazi, sahabat lama Cik Harris yang kehilangan beberapa anggota keluarganya di Gaza, pula tidak dapat hadir.

Cik Harris, dari Parti Demokrat, akan berdepan dengan mantan presiden dari Republikan, Encik Donald Trump, pada 5 November.

Tinjauan Institut Arab Amerika menunjukkan perlumbaan bagi merebut jawatan presiden ini sengit, di mana kedua-dua calon mempunyai kira-kira tahap sokongan yang sama rata dalam kalangan warga Arab Amerika.

Pengkritik berkata Encik Biden dan Cik Harris tidak banyak berusaha bagi menghentikan kempen ketenteraan Israel di Gaza, sambil terus membekalkan Israel dengan senjata untuk kempen ini.

Beberapa individu Arab Amerika percaya keengganan Cik Harris untuk menjauhkan diri daripada dasar Presiden Biden di Timur Tengah, ketika Israel meningkatkan serangannya, akan merugikan beliau pada November ini.

“Harris akan kehilangan Michigan,” kata Encik Ali Dagher, seorang peguam keturunan Lebanon di Amerika dan pemimpin masyarakat.

“Saya tidak akan mengundi Kamala Harris. Tiada sesiapa yang saya kenal akan mengundinya. Saya tidak dapat mencari seorang pun dalam masyarakat kami yang menyokongnya.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg