Topik diikuti
Pergi ke BHkuTitik panas Kalimantan melonjak kepada 808, risiko jerebu rentas sempadan meningkat
Indonesia hantar peralatan tambahan tangani kebakaran, sukarelawan agih oksigen di Kalimantan Barat
Titik panas Kalimantan melonjak kepada 808, risiko jerebu rentas sempadan meningkat
JAKARTA: Jumlah titik panas di Kalimantan melonjak kepada 808 pada 14 September, hampir tiga kali ganda berbanding tiga hari sebelumnya, sekali gus meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan ke negara jiran jika kebakaran hutan dan tanah di Indonesia berterusan.
Data Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) menunjukkan 301 titik panas dikesan di Kalimantan tiga hari lalu, sebelum meningkat kepada 461 pada 13 September dan 808 sehari kemudian.
Peningkatan mendadak itu berlaku ketika rantau ini masih berada dalam musim Monsun Barat Daya, apabila tiupan angin boleh membawa asap daripada kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan ke negara jiran.
Keadaan jerebu rentas sempadan bergantung kepada tahap kebakaran terbuka di Indonesia dan sama ada kebakaran dapat dikawal.
Selagi kebakaran berterusan, asap berpotensi dibawa angin merentasi sempadan, terutama ketika Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir pada Oktober.
Dalam tempoh sama, ASMC mengesan 87 titik panas di Sumatera, manakala 15 lagi dikesan di Sabah dan Sarawak serta satu di Semenanjung Malaysia.
Jumlah itu menunjukkan Kalimantan kini menjadi kawasan utama yang mencatat peningkatan titik panas di rantau ini.
Bagaimanapun, keadaan cuaca lembap yang dijangka berterusan di barat Sarawak sepanjang minggu ini boleh membantu mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan.
Menurut ASMC, titik panas dikenal pasti melalui pengesanan satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat dan menunjukkan lokasi yang berkemungkinan berlaku kebakaran.
Jumlah sebenar kebakaran mungkin berbeza kerana satelit tidak semestinya dapat mengesan titik panas ketika keadaan berawan atau apabila liputan satelit tidak lengkap.
Ketika jumlah titik panas meningkat, pemerintah Indonesia memperkukuh persediaan menghadapi kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan dengan menghantar peralatan tambahan ke lima wilayah.
Kementerian Pekerjaan Umum Indonesia pada 15 September berkata langkah itu bertujuan mempercepat operasi memadam kebakaran serta membantu menyediakan bekalan air di kawasan yang terjejas.
Menteri Pekerjaan Umum, Encik Dody Hanggodo, berkata pasukannya diarahkan supaya terus bersiap sedia dan menggerakkan bantuan berdasarkan keperluan di lapangan.
“Keadaan berbeza-beza, tetapi keutamaan kami adalah untuk bertindak segera mengikut keperluan di lapangan,” katanya.
Beliau berkata kementerian itu juga akan membantu memastikan perkhidmatan asas kepada penduduk dapat diteruskan sepanjang keadaan darurat.
Sebanyak 13 unit peralatan tambahan disediakan untuk memperkukuh usaha menangani kebakaran di Kalimantan.
Peralatan itu termasuk pam bergerak yang mampu mengepam 250 liter air sesaat, lori tangki air serta pam empar berukuran enam inci dengan kapasiti 41.6 liter sesaat.
Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan masing-masing akan menerima sebuah lori tangki air berkapasiti 5,000 liter, sebuah pam bergerak dan sebuah pam empar.
Kalimantan Timur dan Kalimantan Utara pula masing-masing akan menerima sebuah lori tangki air berkapasiti 4,000 liter dan sebuah pam empar.
Peralatan itu dihantar melalui laut dari Pelabuhan Tanjung Priok di Jakarta dan akan diagihkan menerusi agensi pengurusan lembangan sungai Kementerian Pekerjaan Umum di lima wilayah tersebut.
Penghantaran terbaru itu menambah peralatan yang sudah tersedia di Kalimantan.
Peralatan lain termasuk pam lebih kecil, alat penyembur air, pam yang boleh dibawa di belakang, hos tambahan dan tangki simpanan air akan diperoleh mengikut keperluan di setiap kawasan.
Ketua Pengarah Sumber Air, Encik Arnold A.P. Ritiauw, berkata ketersediaan peralatan mencukupi penting untuk mempercepat operasi memadam kebakaran.
“Kami berharap peralatan yang disediakan dapat membantu mempercepat usaha menangani kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, khususnya bagi menyokong operasi pemadaman di lapangan,” katanya.
Pemerintah Indonesia meningkatkan usaha itu ketika beberapa kawasan terus berdepan kesan kesihatan akibat asap tebal.
Di Kalimantan Barat, sukarelawan menghantar tong oksigen dari rumah ke rumah kepada penduduk yang mengalami masalah pernafasan akibat jerebu daripada kebakaran hutan dan tanah.
Pasukan bantuan turut membuka beberapa tempat untuk membekalkan oksigen kepada anggota bomba yang bekerja dalam keadaan udara berbahaya.
Indonesia kini berdepan musim kebakaran hutan dan tanah paling buruk dalam tempoh 11 tahun, meningkatkan tekanan terhadap pihak berkuasa untuk mengawal kebakaran sebelum asap merebak lebih jauh ke negara jiran.
Lonjakan titik panas di Kalimantan dalam tempoh beberapa hari menunjukkan risiko jerebu masih tinggi, terutama jika cuaca kering dan kebakaran terbuka berterusan ketika angin Monsun Barat Daya membawa asap merentasi rantau ini. - Agensi berita
