BANGKOK: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyifatkan kejadian tembakan di Paragon Mall di Bangkok – dekat hotel beliau sekeluarga menginap – sebagai pengalaman terburuk yang pernah dialaminya.
Bagi beliau, perasaan takut dan cemas memang menyelubungi dirinya tetapi ketika kejadian berlaku apa yang lebih utama ialah melindungi nyawa isteri dan anak-anaknya.
Beliau berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan itu dalam hantaran terkini di Facebooknya.
Menyingkap kejadian yang berlaku pada petang Selasa itu, Tunku Ismail menyatakan isterinya Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dan anak-anaknya sedang duduk di lobi sebuah hotel berhampiran pusat beli-belah tersebut.
Tanpa berlengah dan di tengah-tengah ketegangan suasana, beliau segera mengarahkan pasukan keselamatannya supaya membawa beliau sekeluarga ke tempat yang selamat.
“Saya beritahu mereka supaya membawa kami ke Kedutaan Malaysia tetapi pemandu memberitahu kami bahawa Kedutaan Singapura lebih dekat lokasi untuk dituju.
“Ketika itu juga saya terus menghubungi konsul jeneral Singapura di Johor,’’ tambahnya.
Dalam kejadian di pusat membeli belah mewah itu, seorang budak lelaki berusia 14 tahun yang bersenjatakan pistol, telah melepaskan tembakan rambang sehingga meragut dua nyawa dan mencederakan lima yang lain.
Polis yang telah memberkas budak lelaki itu, mendapati dia disyaki mempunyai masalah kesihatan mental dan telah mengubah suai senjata yang digunakan dalam kes tembakan tersebut.
Tunku Ismail menggambarkan kejadian tembakan itu sebagai “pengalaman terburuk yang pernah beliau lalui” kerana harus “melindungi nyawa anak-anaknya daripada pembunuh”.
“Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua,’‘ tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg