Topik diikuti
Pergi ke BHkuTNI timbang kurangkan anggota pengaman ke Lebanon susulan serangan maut
TNI timbang kurangkan anggota pengaman ke Lebanon susulan serangan maut
Pemerintah digesa tangguh penghantaran kumpulan baru tentera ke Lebanon
TNI timbang kurangkan anggota pengaman ke Lebanon susulan serangan maut
JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) kini mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah anggota pengaman yang akan dihantar ke Lebanon pada Mei depan susulan siri serangan yang mengorbankan dan mencederakan anggota pengaman negara itu di selatan Lebanon.
Perkembangan itu berlaku tatkala keadaan keselamatan di kawasan misi Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) semakin meruncing susulan konflik yang kian memuncak di Asia Barat.
Tiga anggota tentera Indonesia yang bertugas di bawah Unifil cedera dalam satu letupan di kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhampiran El Adeisse di selatan Lebanon pada lewat Mac, dengan dua daripada mereka dilaporkan cedera parah.
Menurut Unifil, punca letupan masih disiasat.
Tragedi itu berlaku hanya beberapa hari selepas tiga anggota pengaman Indonesia terbunuh dalam dua letupan berasingan pada 29 dan 30 Mac, ketika Israel memperluas pencerobohan daratnya di Lebanon.
Dalam dua kejadian berasingan itu juga, tiga lagi anggota pengaman Indonesia cedera.
Jenazah tiga anggota yang terkorban diterbangkan ke Jakarta untuk istiadat ketenteraan pada malam 4 April yang dihadiri Presiden Prabowo Subianto dan mantan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Mangsa kemudian dikebumikan di kampung halaman masing-masing pada 5 April.
Walaupun berdepan korban dan kecederaan, Pusat Misi Pemeliharaan Perdamaian TNI (PMPP) memaklumkan proses penggiliran anggota tetap diteruskan buat masa ini.
Seramai 753 anggota Indonesia yang kini berada di Lebanon dijadual diganti dengan kumpulan baru pada 22 dan 30 Mei.
Namun, Komander PMPP, Mejar Jeneral Iwan Bambang Setiawan, berkata perbincangan mengenai kemungkinan pengurangan jumlah anggota yang dihantar boleh dipertimbangkan memandangkan sebahagian besar anggota kini “lebih banyak berlindung di kubu bawah tanah akibat pertempuran antara Hezbollah dengan tentera Israel”.
“Situasi semasa mungkin menjadi pertimbangan kepada Panglima TNI untuk memutuskan sama ada mahu mengekalkan jumlah anggota sedia ada atau mengurangkannya, kerana keberkesanan operasi turut dipengaruhi keadaan di lapangan,” katanya.
Menurut beliau, anggota pengaman Indonesia kini tidak lagi dapat bergerak bebas seperti biasa.
“Anggota kami tidak lagi boleh bergerak bebas. Kebanyakan mereka berlindung di bunker daripada tembakan yang datang daripada kedua-dua pihak,” katanya.
Menurut Mejar Jeneral Iwan, beliau akan membincangkan kemungkinan mengurangkan anggota itu dengan komander Unifil di Lebanon pada 8 April.
Namun, keputusan akhir tetap bergantung kepada Presiden melalui Panglima TNI, Jeneral Agus Subiyanto.
Isu itu turut mencetuskan tekanan dalam negeri supaya pemerintah mengambil langkah lebih tegas susulan kematian tiga anggota pengaman terbabit.
Nahdlatul Ulama (NU), antara pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, menggesa penangguhan penghantaran kumpulan baru tentera ke Lebanon.
Eksekutif NU, Encik Imron Rosyadi Hamid, berkata siasatan menyeluruh terhadap serangan itu perlu dilakukan dan jaminan keselamatan mesti diberikan sebelum sebarang penugasan baharu diteruskan.
“Siasatan menyeluruh terhadap serangan ini sangat diperlukan, dan PBB mesti menjamin keselamatan semua anggota pengaman.
“Tanpa jaminan yang mencukupi, penugasan bulan depan (Mei) wajar ditangguhkan,” kata beliau.
Presiden Prabowo turut mengecam serangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tindakan yang menjejas usaha keamanan dunia serta mengancam keselamatan anggota pengaman yang bertugas di bawah mandat PBB.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya setiap tindakan kejam yang merosakkan keamanan dan menyebabkan kehilangan anggota terbaik negara,” kata Encik Prabowo.
Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, berkata Jakarta secara rasmi telah meminta mesyuarat Majlis Keselamatan PBB diadakan bagi mendesak siasatan menyeluruh terhadap serangan tersebut.
“Kami telah menuntut siasatan menyeluruh.
“Jaminan keselamatan mesti diberikan kepada anggota pengaman PBB kerana mereka ditugaskan untuk menjaga keamanan, bukan terlibat dalam pertempuran,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mejar Jeneral Iwan, turut menegaskan Indonesia kekal beriltizam melindungi seluruh anggota yang berkhidmat sebagai pengaman PBB.
“Indonesia komited untuk memberikan perlindungan kepada semua anggota dan terus menyumbang secara aktif kepada usaha pemeliharaan keamanan dunia melalui penugasan Kontinjen Garuda,” katanya dalam kenyataan bertulis pada 5 April.
Kenyataan itu dibuat semasa lawatannya ke Hospital St George di Beirut pada 4 April waktu tempatan bagi menziarahi tiga anggota yang masih menerima rawatan, iaitu Leftenan Satu Sulthan Wirdean Maulana, Koperal Satu Rico Pramudia dan Koperal Satu Deni Rianto.
Beliau turut menyampaikan sokongan moral serta doa agar mereka segera sembuh.
Menurut PMPP, lawatan itu mencerminkan iltizam negara, khususnya pimpinan TNI, untuk terus hadir dan mengambil berat terhadap anggota yang sedang bertugas di kawasan misi.
Selain tiga anggota terbabit, dua lagi anggota iaitu Koperal Satu Bayu Prakoso, dan Koperal Satu Arif Kurniawan, turut cedera dalam satu insiden ketika bertugas di bawah Unifil.
Indonesia sebelum ini kehilangan tiga anggota di Lebanon, iaitu Koperal Satu Farizal Rhomadhon, yang maut selepas terkena bedilan artileri pada 29 Mac; diikuti Kapten Zulmi Aditya Iskandar, dan Sarjan Satu Muhammad Nur Ikhwan, yang terbunuh apabila konvoi yang mereka iringi diserang pada 30 Mac.
Penganalisis hubungan antarabangsa, Encik Andrea Abdul Rahman, menyifatkan penugasan Unifil kini sebagai satu dilema besar buat pemerintah Indonesia kerana ia memerlukan imbangan antara tanggungjawab terhadap mandat PBB dengan tekanan dalam negeri.
“Menangguhkan penggiliran anggota pengaman boleh menjadi isyarat politik yang kuat terhadap pencerobohan Israel di Lebanon, tetapi pada masa sama ia berisiko menjejas komitmen Indonesia terhadap mandat PBB,” katanya.
Beliau berkata, bagi meredakan kebimbangan rakyat, pemerintah perlu mengeluarkan kecaman yang lebih tegas dan jelas, termasuk menamakan Israel secara langsung sebagai pihak yang bertanggungjawab.
“Pertama sekali, Indonesia bukan sahaja perlu mengecam serangan itu dengan tegas, tetapi mengecam Israel secara khusus kerana menyerang anggota Unifil Indonesia,” katanya.
Sementara itu, penganalisis pertahanan daripada Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Indonesia (Lesperssi), Encik Rizal Darma Putra, berkata keputusan meneruskan penugasan bergantung kepada penilaian lanjut terhadap keberkesanan misi di Lebanon.
“Jika misi itu masih dianggap berkesan oleh Indonesia dan PBB berdasarkan penilaian mereka, maka ia boleh diteruskan.
“Tetapi jika keadaan semasa membahayakan anggota, penugasan tidak boleh dipaksakan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa mandat PBB tidak boleh dianggap sebagai kewajipan yang kaku tanpa mengambil kira keadaan sebenar di lapangan. – Agensi berita.
