Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trak bantuan makanan ‘dipintas’ penduduk Gaza yang kelaparan

Dec 15, 2023 | 3:09 PM
MASALAH KEBULURAN SEMAKIN BURUK: Kanak-kanak Palestin terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan makanan yang diagihkan oleh sebuah badan amal di Rafah, selatan Gaza.
MASALAH KEBULURAN SEMAKIN BURUK: Kanak-kanak Palestin terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan makanan yang diagihkan oleh sebuah badan amal di Rafah, selatan Gaza. - Foto REUTERS

GENEVA: Ketua agensi bantuan pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unrwa) berkata rakyat Palestin yang kelaparan telah memberhentikan trak bantuannya di Gaza dan mengambil makanan untuk mengisi perut masing-masing.

Keadaan tersebut menjadikan hampir mustahil bagi trak-trak bantuan kemanusiaan meneruskan penghantaran kepada para penduduk yang dilanda masalah kekurangan makanan.

Program Makanan Sedunia PBB berkata separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza dilanda kelaparan apabila serangan tentera Israel di bahagian selatan wilayah itu semakin meluas dan sekali gus menyebabkan orang ramai terputus bekalan.

“Orang ramai menghentikan trak, mengambil makanan dan memakannya serta-merta. Ini menunjukkan betapa terdesak dan seriusnya masalah kelaparan yang mereka hadapi,” kata Encik Philippe Lazzarini, pesuruhjaya agung UNRWA, kepada pemberita di Forum Pelarian Global di Geneva.

Orang ramai yang berpusu-pusu di jalanan juga bermakna lebih sukar untuk menuju ke tempat ratusan ribu orang berteduh di pusat perlindungan PBB di selatan Gaza, kata beliau yang bercakap selepas lawatan ke Gaza.

“Masalah kebuluran berlaku sejak beberapa minggu lalu dan kami bertemu semakin ramai orang yang tidak makan selama satu, dua atau tiga hari.

“Persekitaran operasi kami menjadi semakin sukar. Dan satu-satunya cara untuk menanganinya dan meredakan ketegangan ialah dengan membawa bantuan secara berskala besar,” ujar Encik Lazzarini.

Penghantaran bantuan yang melintasi Gaza melalui pintu masuk tunggal di sempadan Mesir hanyalah sebahagian kecil daripada tahap prakonflik walaupun keperluan meningkat.

Israel berkata ia telah meningkatkan kapasiti pemeriksaan bantuan dan membuka semula persimpangan Kerem Shalom untuk pemeriksaan minggu ini bagi memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan.

Menurut anggaran PBB, sehingga 85 peratus daripada 2.3 juta orang di Gaza – salah satu kawasan paling padat penduduk di dunia – telah dipindahkan dan kini bersesak di Rafah, kawasan yang lebih kecil di selatan berhampiran sempadan dengan Mesir.

Encik Lazzarini berkata penghantaran bantuan tertumpu di kawasan selatan dan tengah Gaza tetapi ia menjadi “sangat sukar” untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk yang tinggal di utara Gaza sejak gencatan kemanusiaan tujuh hari berakhir pada 1 Disember.

​Pencerobohan yang kini memasuki bulan ketiga, bermula selepas serangan 7 Oktober ke atas Israel oleh Hamas yang menurut pegawai Israel membunuh 1,200 orang, kebanyakannya orang awam.

Serangan balas berterusan Israel telah membunuh lebih 18,600 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg