JALURAN GAZA: Trak-trak yang membawa bantuan kemanusiaan mula memasuki Gaza pada 12 Oktober di bawah perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas, kata sumber tempatan.
Trak-trak bantuan itu bergerak melalui sempadan Karem Shalom yang dikawal Israel ke selatan Gaza.
Kemasukan trak bantuan itu berlaku selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza yang berkuat kuasa pada 10 Oktober di bawah rancangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk menamatkan perang dua tahun Israel-Hamas di jaluran itu.
Di sempadan Gaza, persiapan sedang dijalankan untuk meningkatkan bantuan memasuki wilayah yang dilanda peperangan dan hampir musnah itu.
Badan tentera Israel yang bertanggungjawab bagi bantuan kemanusiaan di Gaza berkata jumlah bantuan yang memasuki wilayah Palestin dijangka meningkat pada 12 Oktober kepada sekitar 600 trak setiap hari, seperti yang ditetapkan dalam perjanjian.
Mesir berkata ia menghantar 400 trak bantuan ke Gaza pada 12 Oktober dengan rakaman media menunjukkan berpuluh-puluh trak melintasi bahagian Mesir di sempadan Rafah.
Bulan Sabit Merah Mesir berkata trak-trak itu membawa bekalan perubatan, khemah, selimut, makanan dan bahan api.
Trak tersebut akan menuju ke kawasan pemeriksaan di persimpangan Karem Shalom untuk pemeriksaan oleh tentera Israel.
Serangan Israel dan sekatan ke atas bantuan kemanusiaan telah mencetuskan krisis kelaparan, termasuk kebuluran di beberapa bahagian wilayah itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ia punya sekitar 170,000 tan metrik makanan, perubatan dan bantuan kemanusiaan lain yang sedia untuk dihantar ke Gaza sebaik sahaja Israel memberi lampu hijau.
Jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP), Cik Abeer Etifa, berkata para pekerja sedang membersihkan dan membaiki jalan pada 12 Oktober di Gaza untuk memberi laluan kepada kelancaran penghantaran bantuan.
Sementara itu, Israel berkata pada 12 Oktober bahawa ia menjangkakan semua tebusan yang masih hidup yang ditahan di Gaza akan dibebaskan pada 13 Oktober.
Ia mengesahkan fasa seterusnya perjanjian gencatan senjata dengan Hamas, ketika rakyat Palestin menunggu lonjakan penghantaran bantuan yang telah lama dijanjikan ke dalam wilayah itu.
Selepas tebusan dibebaskan, Israel pula akan membebaskan kira-kira 2,000 tahanan Palestin dari penjara Israel dan menerima 28 tebusan yang dipercayai sudah mati.
Namun, nasib Yayasan Kemanusiaan Gaza, kontraktor yang disokong Israel dan Amerika bagi menggantikan operasi bantuan PBB pada Mei sebagai pembekal makanan utama di Gaza, masih belum jelas. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg