Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trend puting dewasa di China, Korea S cetus perdebatan, doktor beri amaran risiko kesihatan

Aug 8, 2025 | 3:58 PM
Puting dewasa digunakan sebagai alat untuk mengurangkan tekanan, membantu tidur yang lebih lena dan membantu perokok berhenti merokok, kata peruncit dan penyokongnya.
Puting dewasa digunakan sebagai alat untuk mengurangkan tekanan, membantu tidur yang lebih lena dan membantu perokok berhenti merokok, kata peruncit dan penyokongnya. - Foto Paparan Skrin TikTok

BEIJING: Puting dewasa, yang menyerupai puting bayi tetapi bersaiz lebih besar, kini menjadi trend di China dan beberapa negara lain seperti Korea Selatan serta Amerika Syarikat. Pengguna dan penjual mendakwa produk ini membantu mengurangkan tekanan, memperbaiki tidur dan bahkan membantu perokok berhenti merokok.

Namun, pakar perubatan memberi amaran bahawa penggunaan berpanjangan boleh mendatangkan risiko seperti kekakuan rahang, perubahan kedudukan gigi, dan risiko tercekik jika digunakan ketika tidur.

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP) pada 3 Ogos, ada penjual yang mampu menjual lebih 2,000 unit puting dewasa sebulan di platform e-dagang seperti Taobao. Harganya antara 10 yuan (S$1.79) hingga 500 yuan bergantung pada kualiti dan reka bentuk.

Bahagian puting biasanya diperbuat daripada bahan lutsinar, manakala perisai mulut hadir dalam pelbagai warna.

Beberapa pembeli dalam talian memberi ulasan positif. Seorang pengguna menulis: “Kualitinya tinggi, lembut, dan selesa untuk dihisap. Ia tidak mengganggu pernafasan saya.”

Seorang lagi berkongsi bahawa puting dewasa membantunya berhenti merokok: “Ia memberi saya keselesaan psikologi dan membuatkan saya kurang gelisah ketika tempoh berhenti merokok.”

Seorang pembeli ketiga pula berkata: “Apabila saya tertekan di tempat kerja, saya menghisap puting ini. Ia membuatkan saya seolah-olah kembali kepada rasa selamat semasa kecil.”

Selain itu, sesetengah pengguna mendakwa produk ini membantu mereka mengawal keresahan, memperbaiki kualiti tidur, dan bahkan mengurangkan gejala gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD) seperti kegelisahan, impulsif, dan kesukaran fokus.

Walaupun ulasan pengguna kebanyakannya positif, doktor memberi amaran mengenai potensi bahaya. Dr Tang Caomin, pakar pergigian di Chengdu, wilayah Sichuan, berkata penjual sering meremehkan risiko terhadap kesihatan mulut.

“Penggunaan puting lebih daripada tiga jam sehari boleh mengubah kedudukan gigi selepas setahun. Ia juga boleh menghadkan keupayaan membuka mulut dan menyebabkan sakit ketika mengunyah,” katanya. Dr Tang turut mengingatkan bahawa ada risiko bahagian puting tertanggal dan terhidu ketika tidur, yang boleh membahayakan nyawa.

Selain isu fizikal, pakar psikologi Zhang Mo dari Chengdu berkata trend ini mungkin mencerminkan keperluan emosi yang tidak dipenuhi. “Penyelesaiannya bukanlah dengan menganggap diri sebagai kanak-kanak semula, tetapi dengan berdepan cabaran dan menyelesaikannya,” katanya kepada media.

Fenomena ini telah mencetuskan perdebatan hangat di media sosial tanah besar China, dengan satu platform mencatatkan lebih 60 juta tontonan berkaitan topik ini.
Seorang pengguna dalam talian menulis: “Dunia ini sudah gila apabila orang dewasa menggunakan puting.”

Seorang lagi bergurau: “Bukankah ini sejenis ‘cukai kebodohan’?” Walaupun begitu, ada juga yang mempertahankan trend ini, dengan alasan setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menguruskan tekanan dan keresahan.

The Straits Times melaporkan tidak menjumpai puting dewasa dijual di platform membeli-belah dalam talian yang berpangkalan di Singapura. Puting bayi yang dijual oleh peruncit tempatan seperti Mothercare SG dan FairPrice biasanya berharga sekitar S$10 atau lebih.

Walaupun ia mungkin membantu sesetengah pengguna berhenti merokok atau mengawal keresahan, doktor menyarankan agar pengguna berhati-hati, mengehadkan tempoh penggunaan, dan mendapatkan kaunseling atau rawatan alternatif jika menghadapi masalah emosi atau kesihatan mental.- Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg