WASHINGTON: Jutaan rakyat Amerika Syarikat mengundi pada 3 November dalam pilihan raya pertengahan penggal yang menjadi ujian besar terhadap kepimpinan Presiden Donald Trump, ketika Parti Republikan berdepan kemungkinan kehilangan penguasaan Kongres selepas dua tahun pentadbiran penggal keduanya.

Tinjauan pendapat dan penganalisis pilihan raya menjangkakan Parti Demokrat berpeluang merampas Dewan Perwakilan daripada Republikan, manakala perebutan menguasai Senat dijangka lebih sengit dan sukar diramalkan.

Lebih 57 juta rakyat Amerika sudah mengundi lebih awal menjelang hari pengundian, mencerminkan perhatian besar terhadap pilihan raya yang bakal menentukan hala tuju pentadbiran Trump bagi dua tahun berikutnya.

Encik Trump, yang giat berkempen bagi calon Republikan, menggesa penyokongnya keluar mengundi sambil mengingatkan bahawa kekalahan parti itu boleh menggugat dasar yang diperkenalkannya.

“Saya hanya meminta semua orang membayangkan bahawa nama saya ada pada kertas undi,” katanya dalam wawancara bersama Fox News.

“Jika penyokong kita keluar mengundi, kita akan menang dengan majoriti besar,” tambahnya.

Semua 435 kerusi Dewan Perwakilan dipertandingkan, bersama 35 daripada 100 kerusi Senat.

Demokrat perlu merampas sekurang-kurangnya tiga kerusi tambahan di Dewan Perwakilan dan empat kerusi Senat untuk memperoleh majoriti dalam kedua-dua dewan.

Sejarah menunjukkan parti presiden lazimnya kehilangan kerusi Kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal.

Sejak Perang Dunia Kedua, hanya dua pilihan raya menyaksikan parti presiden tidak mengalami kemerosotan sokongan di Kongres.

Kali ini, cabaran Republikan bertambah sukar berikutan kemerosotan tahap penerimaan rakyat terhadap Encik Trump, terutama mengenai pengurusan ekonomi dan perang dengan Iran.

Serangan Amerika terhadap Iran pada Februari lalu menyebabkan harga bahan api meningkat, manakala dasar tarif perdagangan pentadbiran Trump turut menambah tekanan terhadap kos sara hidup.

Tinjauan menunjukkan kemampuan rakyat menampung perbelanjaan harian menjadi antara kebimbangan utama pengundi.

Namun, Encik Trump terus mempertahankan dasar pentadbirannya sambil menggambarkan calon Demokrat sebagai golongan radikal yang boleh mengancam masa depan negara.

“Parti Demokrat telah mencalonkan kumpulan calon paling ekstrem dan berbahaya dalam sejarah Amerika,” katanya dalam ucapan di Washington pada 2 November.

Bagi perebutan Senat, hampir 10 negeri menjadi medan persaingan sengit, termasuk Michigan, Texas, Alaska, Kansas dan Maine.

Di Michigan, calon Demokrat beragama Islam, Dr Abdul El-Sayed, 42 tahun, berdepan bekas anggota Dewan Perwakilan Republikan, Encik Mike Rogers, 63 tahun.

Jika menang, Dr El-Sayed akan menjadi senator Islam pertama dalam sejarah Amerika.

Beliau yang menyokong dasar progresif, termasuk penjagaan kesihatan sejagat, turut lantang mengkritik Israel.

Bagaimanapun, kempennya menerima tamparan selepas seorang lagi ahli Demokrat, Cik Haley Stevens, yang tewas kepadanya dalam pemilihan calon parti, secara mengejut menyokong Encik Rogers.

Di Texas, calon Demokrat, Encik James Talarico, 37 tahun, berusaha menamatkan penguasaan Republikan di negeri tersebut.

Beliau menentang Peguam Negara Texas, Encik Ken Paxton, 63 tahun, yang menerima sokongan kewangan besar daripada jutawan teknologi, Encik Elon Musk.

Di Kansas, calon Demokrat, Encik Adam Hamilton, 62 tahun, seorang paderi gereja besar, dilaporkan mendahului tipis Senator Republikan, Encik Roger Marshall, 66 tahun, dalam tinjauan pendapat.

Kansas tidak memilih senator Demokrat selama hampir satu abad.

Sementara itu, Senator Republikan, Cik Susan Collins, 73 tahun, berusaha mempertahankan kerusinya di Maine bagi penggal keenam.

Di Dewan Perwakilan, analisis Reuters mengenal pasti kira-kira 47 kawasan pilihan raya yang dijangka menyaksikan persaingan sengit.

Sebahagian besar kawasan tersebut kini dikuasai Republikan, sekali gus memberi peluang kepada Demokrat meraih kerusi tambahan.

Jika Demokrat menguasai sekurang-kurangnya satu dewan Kongres, mereka boleh meningkatkan pengawasan terhadap pentadbiran Trump, termasuk melancarkan siasatan dan menyekat beberapa agenda perundangan.

Penguasaan Senat pula membolehkan Demokrat menghalang pelantikan pegawai kanan pemerintah, termasuk calon hakim Mahkamah Agung sekiranya terdapat kekosongan.

Bagaimanapun, kebimbangan turut timbul mengenai kemungkinan keputusan pilihan raya dipertikaikan.

Jabatan Kehakiman pentadbiran Trump sudah mengambil tindakan undang-undang berkaitan proses pengundian di Alaska dan California.

Di Alaska, siasatan dilancarkan berhubung dakwaan kempen calon Demokrat membantu mendapatkan calon ketiga yang mempunyai nama sama dengan calon Republikan.

Calon Demokrat, Cik Mary Peltola, menafikan penglibatan dalam perkara tersebut.

Di California, Mahkamah Agung AS pada 2 November menolak permohonan pentadbiran Trump untuk mendapatkan perintah kecemasan berhubung pertikaian kertas undi.

Selain Kongres, pengundi turut memilih gabenor di 36 negeri serta menentukan ribuan jawatan peringkat negeri dan beberapa cadangan dasar, termasuk cukai terhadap jutawan dan hak pengguguran.

Dengan persaingan semakin sengit, keputusan pilihan raya kali ini bukan sahaja menentukan parti yang menguasai Kongres, malah keupayaan Encik Trump meneruskan agenda politiknya sehingga pilihan raya presiden 2028.

Bagi Demokrat, kemenangan akan membuka peluang untuk mencabar dasar Rumah Putih, manakala Republikan berusaha mengekalkan kuasa bagi memastikan agenda presiden terus dilaksanakan.

Encik Trump menegaskan bahawa nasib pentadbirannya bergantung pada penyertaan penyokongnya dalam pilihan raya tersebut.

“Dalam satu segi, saya juga bertanding kerana jika Republikan kalah, pencapaian perundangan saya boleh dihapuskan,” katanya. – Agensi berita