Trump: ‘Amat traumatik’ jika Iran gagal perjanjian nuklear sedang AS hantar kapal induk kedua
Trump: ‘Amat traumatik’ jika Iran gagal perjanjian nuklear sedang AS hantar kapal induk kedua
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dilapor mengesahkan bahawa Washington sedang memperkukuh aset ketenteraan di Asia Barat walaupun usaha diplomatik dengan Iran masih berjalan.
Encik Trump pada 12 Februari berkongsi di platform Truth Social pautan laporan Wall Street Journal bertajuk ‘Pentagon Bersiap Sedia Hantar Kapal Induk Kedua ke Asia Barat’ tanpa sebarang ulasan tambahan.
Laporan itu memetik pegawai Amerika yang menyatakan Pentagon telah mengarahkan persiapan kumpulan kapal induk kedua untuk dihantar ke rantau berkenaan bagi menyertai USS Abraham Lincoln yang sudah berada di sana.
Beberapa jam kemudian, seorang sumber yang mengetahui perancangan tersebut memberitahu agensi berita Associated Press bahawa kapal induk terbesar dunia, USS Gerald R. Ford, telah diarahkan belayar dari Laut Caribbean ke Asia Barat.
Langkah tersebut akan menyaksika dua kapal induk bersama kapal pengiring masing-masing di rantau itu ketika Encik Trump meningkatkan tekanan ke atas Teheran supaya mencapai perjanjian berhubung program nuklearnya.
USS Abraham Lincoln bersama tiga kapal pemusnah peluru berpandu berpandu telah tiba di Asia Barat lebih dua minggu lalu.
Perkembangan ini berlaku beberapa jam selepas Encik Trump memberi amaran keras kepada Iran bahawa negara itu bakal berdepan akibat yang “amat traumatik” sekiranya gagal memeterai perjanjian nuklear dengan Washington.
“Kita perlu mencapai perjanjian. Jika tidak, ia akan menjadi amat traumatik. Saya tidak mahu perkara itu berlaku, tetapi kita mesti mencapai perjanjian,” kata Encik Trump kepada wartawan sehari selepas menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih.
Beliau menegaskan bahawa perjanjian mungkin boleh dicapai dalam tempoh sebulan akan datang dan menggesa Iran supaya bertindak segera.
“Iran perlu mencapai perjanjian dengan cepat,” katanya.
Encik Trump sebelum ini menyatakan bahawa beliau mahukan perjanjian yang memastikan Iran tidak memiliki “senjata nuklear” dan “peluru berpandu”.
Encik Netanyahu, yang dikenali dengan pendirian tegas terhadap Teheran, terus mendesak pendekatan lebih keras terhadap Iran. Namun Encik Trump menegaskan beliau masih mengutamakan penyelesaian diplomatik.
“Tiada keputusan muktamad dicapai selain saya menegaskan rundingan dengan Iran perlu diteruskan untuk melihat sama ada perjanjian boleh dimeterai,” tulis Encik Trump selepas pertemuan itu.
“Jika boleh, itu pilihan saya. Jika tidak, kita lihat sahaja apa hasilnya.”
Iran dan Amerika mengadakan pusingan pertama rundingan tidak langsung di Oman pada 6 Februari lalu, yang merupakan pertemuan pertama sejak 2025.
Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneruskan laluan diplomatik, tetapi tiada jadual rasmi untuk pusingan seterusnya diumumkan.
Teheran memberi amaran agar Israel tidak menggagalkan usaha rundingan tersebut.
“Rundingan kami adalah secara eksklusif dengan Amerika Syarikat. Kami tidak berunding dengan Israel,” kata ketua keselamatan Iran, Encik Ali Larijani, kepada Al Jazeera.
“Namun Israel cuba campur tangan untuk mensabotaj proses ini.”
Encik Trump menafikan bahawa Encik Netanyahu melobinya untuk menentang rundingan dengan Iran.
“Saya akan bercakap dengan mereka selama mana yang saya mahu. Kita lihat sama ada perjanjian boleh dicapai,” katanya kepada wartawan.
Encik Trump berulang kali memberi amaran bahawa serangan ketenteraan baharu terhadap Iran boleh berlaku sekiranya rundingan gagal.
Pada Jun 2025, Israel melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran yang mengorbankan pegawai kanan tentera, saintis nuklear serta ratusan orang awam.
Iran membalas dengan melancarkan ratusan peluru berpandu ke arah Israel, sebahagiannya berjaya menembusi sistem pertahanan udara negara itu.
Amerika turut menyertai kempen tersebut dengan mengebom tiga kemudahan nuklear Iran sebelum gencatan senjata dicapai.
Encik Trump mendakwa serangan Amerika telah “menghapuskan sepenuhnya” program nuklear Iran, namun nasib simpanan uranium diperkaya tinggi Iran masih belum jelas.
Teheran menegaskan bahawa pengayaan uranium tidak melanggar komitmennya di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan menolak untuk berunding mengenai program peluru berpandu yang dianggap sebagai isu pertahanan dalaman.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata bahawa program peluru berpandu “tidak boleh dirundingkan”.
Ketegangan meningkat lagi apabila protes anti-pemerintah tercetus di Iran beberapa hari selepas lawatan Encik Netanyahu ke Washington pada Disember lalu.
Encik Trump menyuarakan sokongan terhadap penunjuk perasaan dan menggesa mereka mengambil alih institusi pemerintah dengan berkata “bantuan sedang dalam perjalanan”.
Pemerintah Iran bertindak tegas mengekang protes tersebut dan mendakwa wujud cubaan yang disokong Amerika untuk menyerang institusi awam dan pegawai kerajaan.
Dalam laporan berasingan, Wall Street Journal melaporkan bahawa Amerika menyeludup kira-kira 6,000 kit internet satelit Starlink ke Iran selepas pemerintah negara itu memutuskan akses internet bagi mengekang protes bulan lalu.
Walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai pendekatan terhadap Iran, Encik Trump tetap menunjukkan sokongan peribadi yang kuat kepada Encik Netanyahu. Beliau mengkritik Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, kerana enggan memberikan pengampunan kepada Encik Netanyahu yang berdepan pertuduhan rasuah.
“Seorang presiden yang enggan memberinya pengampunan patut berasa malu,” kata Encik Trump.
Dengan dua kapal induk Amerika kini dalam perjalanan atau sudah berada di Asia Barat, tekanan ke atas Iran semakin meningkat. Namun pada masa yang sama, Washington dan Teheran masih membuka ruang untuk diplomasi. – Agensi berita.

