WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berjanji melaksanakan tarif besar ke atas tiga rakan dagangan terbesar Amerika Syarikat – Canada, Mexico dan China – memperincikan janji kempen pilihan raya yang sekali gus boleh mencetuskan perang perdagangan.
Encik Trump, yang akan memegang jawatan Presiden pada 20 Januari 2025, berkata beliau bakal mengenakan tarif 25 peratus ke atas Canada dan Mexico sehingga mereka mengekang dadah, terutama fentanyl, dan pendatang yang melintasi sempadan – langkah yang kelihatan melanggar peraturan dagangan bebas.
Beliau turut menggariskan “tarif tambahan 10 peratus ke atas mana-mana tarif tambahan” yang dikenakan terhadap China, dalam beberapa komennya yang paling khusus tentang bagaimana beliau akan melaksanakan agenda ekonomi sejak memenangi pilihan raya pada 5 November, sejajar dengan janji “mengutamakan Amerika”.
“Pada 20 Januari, sebagai salah satu daripada banyak Perintah Eksekutif pertama, saya akan menandatangani semua dokumen yang diperlukan untuk mengenakan tarif 25 peratus terhadap Mexico dan Canada ke atas semua produk yang masuk ke Amerika, dan sempadan terbuka yang tidak masuk akal,” katanya dalam satu siaran di laman Truth Social.
Kemasukan pendatang haram merosot secara mendadak pada 2024 apabila Presiden Joe Biden memulakan sekatan sempadan baru dengan Mexico dan meningkatkan penguatkuasaan.
Lebih 83 peratus eksport dari Mexico dan 75 peratus eksport Canada masuk ke Amerika pada 2023.
Ancaman tarif baru Encik Trump itu kelihatan melanggar syarat Perjanjian Amerika-Mexico-Canada (USMCA) mengenai perdagangan.
Perjanjian yang ditandatangani Encik Trump bertukar menjadi undang-undang berkuat kuasa pada 2020, dalam meneruskan perdagangan bebas cukai antara ketiga-tiga negara.
Encik Trump telah menghubungi Perdana Menteri Canada, Encik Justin Trudeau, dan berbincang mengenai perdagangan dan keselamatan sempadan, kata sumber dari Canada yang biasa dengan situasi itu.
Ancaman tarif boleh mendorong rundingan semula USMCA yang dijalankan lebih awal, kata Encik William Reinsch, mantan presiden Majlis Perdagangan Luar Negara.
Pengumuman Encik Trump menyebabkan dolar meningkat 1 peratus berbanding dolar Canada dan 2 peratus berbanding peso Mexico, manakala pasaran saham di Asia jatuh, begitu juga niaga hadapan ekuiti Eropah.
Niaga hadapan S&P 500 jatuh 0.3 peratus.
Mengenai China, Encik Trump menuduh Beijing tidak mengambil tindakan cukup berkesan untuk menghentikan aliran dadah terlarang melintasi sempadan Amerika dari Mexico.
“Sehingga mereka berhenti, kami akan mengenakan tarif tambahan 10 peratus, melebihi mana-mana tarif tambahan, ke atas semua produk mereka yang masuk ke Amerika,” ujar Encik Trump.
Jurucakap Kedutaan China di Amerika, Encik Liu Pengyu, berkata:
“China percaya bahawa kerjasama ekonomi dan perdagangan China dan Amerika Syarikat bersifat saling menguntungkan.
“Tiada sesiapa yang akan memenangi perang perdagangan atau perang tarif.” – Reuters.
“
“Pada 20 Januari, sebagai salah satu daripada banyak Perintah Eksekutif pertama, saya akan menandatangani semua dokumen yang diperlukan untuk mengenakan tarif 25 peratus terhadap Mexico dan Canada ke atas semua produk yang masuk ke Amerika, dan sempadan terbuka yang tidak masuk akal.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg