WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada 14 Julai mengancam mengenakan “tarif kedua” ke atas rakan dagangan Russia “sekitar 100 peratus” jika Presiden Vladimir Putin tidak bersetuju dengan perjanjian menamatkan pencerobohannya ke atas Ukraine dalam masa 50 hari.
“Kami sangat, sangat tidak berpuas hati dengan mereka, dan kami akan mengenakan tarif yang sangat tinggi, jika anda tidak mencapai perjanjian dalam 50 hari,” kata Encik Trump dalam pertemuan di Rumah Putih dengan setiausaha agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Encik Mark Rutte.
Encik Trump berkata bahawa beliau “kecewa” dengan sikap Encik Putin, kerana beliau jangka mereka akan mencapai perjanjian beberapa bulan lalu.
Jika perjanjian gencatan senjata tidak dicapai menjelang September, kata Encik Trump, “kami akan mengenakan tarif 100 peratus”.
Beliau juga mengumumkan bahawa Amerika akan menghantar “berbilion dolar peralatan ketenteraan” yang dibeli daripada syarikat Amerika dan dibayar oleh negara Eropah dan dihantar kepada sekutu Nato untuk dikirimkan ke Ukraine.
Encik Rutte, mantan Perdana Menteri Belanda, berkata Ukraine akan mendapat “sebilangan besar” senjata di bawah perjanjian Nato dengan Amerika itu.
Pengumuman tersebut – ditambah dengan ancaman tarif terhadap Russia – menandakan peralihan sokongan Encik Trump terhadap Ukraine, dan menekankan kekecewaannya yang semakin meningkat terhadap pemimpin Russia itu.
Tarif tinggi itu akan Encik Trump kenakan ke atas negara dan entiti yang membeli barangan eksport Russia.
Langkah tersebut dijangka meninggalkan kesan yang sangat berat terhadap negara yang bergantung kepada bahan api fosil Russia sebagai sebahagian daripada rancangan tenaga mereka, seperti China, India, Brazil dan Turkey.
Ini bukan kali pertama Encik Trump mengancam mengenakan “tarif tinggi” ke atas Russia berhubung perang berterusannya dengan Ukraine.
Ia juga bukan kali pertama beliau mengeluarkan amaran sedemikian terhadap pihak musuh.
Encik Trump pada Mac berkata bahawa negara yang membeli minyak dan gas dari Venezuela akan dikenakan tarif 25 peratus.
Pada Mei pula, beliau mengancam mengenakan tarif serupa ke atas negara yang mengimport minyak daripada Iran.– Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg