WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Rabu mengancam untuk menyaman The Wall Street Journal (WSJ) selepas akhbar berpengaruh itu menerbitkan laporan mengenai dakwaan wujudnya surat lucah yang dikatakan ditulis olehnya kepada mendiang jutawan kontroversial Jeffrey Epstein pada tahun 2003.
Encik Trump turut mengarahkan Jabatan Kehakiman untuk mendedahkan transkrip juri besar berkaitan kes Epstein.
Menurut laporan WSJ yang menggemparkan Washington, surat tersebut adalah sebahagian daripada koleksi ucapan ulang tahun ke-50 Epstein dan memaparkan lakaran seorang wanita bogel, dengan tandatangan Encik Trump terletak di bawah pinggang lakaran tersebut disamakan sebagai rambut kemaluan serta mesej: “Selamat Hari Lahir dan semoga setiap hari menjadi rahsia indah yang lain.”
Encik Trump menafikan beliau menulis atau melukis surat itu. “Ini bukan saya. Ini sesuatu yang palsu,” katanya kepada WSJ. “Saya tidak melukis gambar wanita. Itu bukan bahasa saya. Itu bukan kata-kata saya.”
Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump menulis: “Editor Wall Street Journal telah diberitahu secara langsung oleh Karoline Leavitt (Setiausaha Akhbar Rumah Putih) dan saya sendiri bahawa surat itu adalah PALSU. Namun mereka tetap menerbitkan cerita palsu, jahat dan memfitnah ini.”
Encik Trump seterusnya mengumumkan hasratnya untuk memfailkan saman terhadap Wall Street Journal, syarikat induknya NewsCorp dan penguasa media Rupert Murdoch. “Media perlu belajar bercakap benar dan tidak bergantung kepada sumber yang mungkin tidak wujud,” katanya.
Isu ini menambah tekanan kepada pentadbiran Trump yang sedang berdepan dengan kritikan mengenai hubungannya dengan Epstein, yang mati di penjara pada tahun 2019 ketika Encik Trump masih memegang jawatan Presiden.
Epstein ditahan atas tuduhan pemerdagangan seks dan didakwa mengatur eksploitasi seksual terhadap wanita bawah umur untuk individu-individu berpengaruh.
Encik Trump dan penyokongnya dari sayap kanan pernah menyuarakan keyakinan bahawa Epstein dibunuh dan kononnya menyimpan senarai klien rahsia, teori konspirasi yang kemudiannya dinafikan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman dalam satu memo yang didedahkan bulan ini.
Laporan tersebut menyatakan tiada bukti Epstein menyimpan senarai klien atau memeras ugut mana-mana pihak, dan kematiannya disahkan sebagai bunuh diri.
Namun pada 17 Julai, media Amerika melaporkan bahawa seorang pendakwa persekutuan yang mengendalikan kes Epstein, Cik Maurene Comey, anak kepada bekas Pengarah FBI Encik James Comey telah dipecat secara mengejut pada 16 Julai.
Cik Comey sebelum ini turut mengetuai pendakwaan terhadap Encik Ghislaine Maxwell, rakan rapat Epstein yang bertanggungjawab menyusun buku ucapan ulang tahun Epstein pada tahun 2003, yang dikatakan mengandungi surat Encik Trump.
Dalam satu kenyataan yang diterbitkan di Truth Social, Encik Trump mengarahkan Peguam Negara, Cik Pam Bondi, untuk memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi membenarkan dedahan penuh transkrip juri besar berkaitan kes Epstein.
“Disebabkan publisiti melampau terhadap Jeffrey Epstein, saya telah meminta Peguam Negara Pam Bondi untuk mengemukakan semua transkrip juri besar yang berkaitan, tertakluk kepada kelulusan mahkamah. Penipuan yang dimainkan oleh Demokrat ini perlu dihentikan sekarang!” tulisnya.
Tidak lama kemudian, Cik Bondi mengesahkan menerusi platform X bahawa Jabatan Kehakiman bersedia untuk mengemukakan permohonan kepada mahkamah pada 18 Julai. “Presiden Trump – kami bersedia membawa permohonan ke mahkamah esok untuk membuka transkrip juri besar,” katanya.
Timbalan Presiden Amerika, Encik J.D. Vance, mengkritik laporan WSJ sambil mempersoalkan kredibiliti sumbernya. “WSJ sepatutnya malu. Di mana surat ini? Tidakkah anda terkejut jika tahu mereka tidak pernah menunjukkannya sebelum menerbitkan laporan ini?” katanya di platform X.
Ahli Parlimen Demokrat, Encik Pat Ryan, pula menulis: “Saya rasa sekarang kita tahu dengan jelas mengapa Donald Trump enggan dedahkan fail Epstein.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg