WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan pada 23 Februari bahawa semua kakitangan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), kecuali pemimpin dan kakitangan penting, diletakkan dalam cuti pentadbiran berbayar.
Selain itu, 1,600 jawatan di Amerika Syarikat akan dihapuskan sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan saiz pemerintah persekutuan.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif bagi mengurangkan perbelanjaan pemerintah persekutuan dan mengecilkan agensi yang selama ini menjadi tulang belakang bantuan luar negara Amerika.
Usaha itu dipimpin jutawan Encik Elon Musk melalui Jabatan Kecekapan Pemerintah, yang mahu membongkar USAID, agensi utama yang mengurus bantuan luar negara Amerika dan alat penting untuk mempengaruhi dunia.
“Saya kesal memaklumkan bahawa anda terlibat dalam langkah mengurangkan kakitangan,” tulis satu e-mel kepada pekerja yang dipecat, lapor Reuters.
Mereka yang menerima notis pemberitahuan akan diberhentikan mulai 24 April.
Menurut laman web USAID, mulai tengah malam 23 Februari waktu Amerika, semua kakitangan tetap kecuali pekerja penting akan bercuti, dan 1,600 kakitangan di Amerika akan dipotong.
Walaupun notis pemberitahuan awal menyebut pengurangan sehingga 2,000 jawatan, angka tersebut telah dikurangkan kepada 1,600, dan pihak pentadbiran masih belum memberikan penjelasan lanjut mengenai perbezaan tersebut.
Pada 21 Februari, seorang hakim persekutuan membenarkan pentadbiran Encik Trump meneruskan pelan itu, menolak bantahan kesatuan pekerja yang menyifatkan langkah itu sebagai cubaan memusnahkan USAID.
Langkah itu telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan kesatuan pekerja.
Mereka kini mengambil tindakan saman dengan mendakwa usaha tersebut merupakan percubaan untuk membubarkan agensi bebas yang telah berkhidmat selama enam dekad.
Kesatuan pekerja berhujah bahawa pentadbiran tidak mempunyai kuasa untuk menghapuskan agensi bebas tanpa kelulusan Kongres.
Dua bekas pegawai kanan USAID menyatakan bahawa majoriti daripada kira-kira 4,600 kakitangan tetap, termasuk penjawat awam dan kakitangan luar negara, akan terjejas oleh tindakan pengurangan kakitangan itu.
Bekas pegawai USAID, Cikm Marcia Wong, menegaskan,
“Pentadbiran ini terlalu singkat pandangan dalam mengurangkan kepakaran dan keupayaan tindak balas krisis USAID. Pada ketika bencana, mereka membentuk barisan hadapan yang diperlukan untuk menstabilkan keadaan.”
Langkah itu juga menyusuli arahan Encik Trump pada 20 Januari yang menggantung bantuan luar negara selama 90 hari.
Pembekuan tersebut telah menghentikan pembiayaan bagi program kritikal seperti bantuan makanan, rawatan perubatan dan perlindungan kepada mangsa bencana di seluruh dunia.
Walaupun terdapat pengecualian bernilai sekitar AS$5.3 bilion ($7.08 bilion) untuk program keselamatan dan antinarkotik, program USAID hanya menerima kurang daripada AS$100 juta pengecualian berbanding pembiayaan tahunan sebanyak AS$40 bilion sebelum pembekuan.
Jurucakap USAID berkata: “Kami komited memastikan keselamatan kakitangan di luar negara dan menjamin bantuan terus mengalir kepada mereka yang memerlukan, walaupun dalam keadaan pengurangan kakitangan.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg