Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump: AS, Israel tangguh serangan ke atas Iran
Trump: AS, Israel tangguh serangan ke atas Iran
Trump: AS, Israel tangguh serangan ke atas Iran
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata pada 1 Ogos bahawa Amerika dan Israel telah bersetuju untuk menangguhkan serangan baru ke atas Iran, dengan syarat perjanjian untuk mengakhiri konflik berbulan-bulan itu dicapai dengan segera.
Kebimbangan kian meningkat bahawa pertempuran boleh menjadi teruk lagi, selepas Encik Trump mengugut untuk menyerang Iran dengan keras dan dilaporkan sedang mempertimbang serangan hebat baru, termasuk terhadap sasaran prasarana tenaga.
Encik Trump berkata Amerika sudah bersedia sepenuhnya dan siap untuk bertindak menentang Iran, tetapi menambah Teheran dan negara Timur Tengah lain telah memintanya untuk menangguhkan serangan baru.
“Berdasarkan permintaan ini, saya bersetuju membatalkan serangan tersebut demi masa depan dunia, dan demi kelangsungan sebuah Iran yang berjaya dan makmur, dengan syarat perjanjian dapat dicapai dengan segera,” tulis Encik Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya.
Presiden Amerika itu berkata perjanjian tersebut perlu merangkumi pembukaan segera, lengkap dan sepenuhnya Selat Hormuz serta pengakhiran ancaman nuklear Iran.
Selepas lebih lima bulan berperang, yang bermula pada 28 Februari apabila Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Teheran, konflik itu seakan-akan tiada penghujungnya.
Satu perjanjian gencatan senjata terdahulu dengan syarat yang serupa, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, gagal, dan sejak itu, Iran telah mengetatkan kawalannya ke atas laluan air penting itu, ketika kedua-dua negara meneruskan semula serangan antara satu sama lain sejak beberapa minggu lalu.
Kebangkitan semula pertempuran itu telah menyebabkan harga minyak dunia, yang sebelum ini menurun semasa gencatan senjata awal, meningkat semula.
Tarik-menarik itu berlaku hanya tiga bulan sebelum pilihan raya pertengahan penggal di Amerika, yang boleh menjadi cabaran bagi Parti Republikan Encik Trump.
Kedutaan Amerika di ibu negara di seluruh Timur Tengah telah memberi amaran kepada rakyat mereka pada 1 Ogos supaya berwaspada terhadap “peningkatan konflik yang tidak dijangka” dalam konflik serantau itu, dan menggesa mereka bersedia untuk pergi dari tempat tinggal mereka.
CBS News sebelum ini melaporkan Amerika dan Israel sedang merancang serangan bersama, berkemungkinan sepanjang hujung minggu, dengan kilang penapisan minyak dan loji kuasa antara sasaran yang mungkin.
Tetapi Encik Trump berkata beliau akhirnya membuat keputusan untuk menangguhkan ugutan serangan barunya selepas permintaan daripada negara Teluk.
Putera Mahkota Mohammed Bin Salman menghubungi Encik Trump pada 1 Ogos untuk menyatakan kebimbangan mengenai rancangan serangannya, lapor Axios, memetik pegawai-pegawai Amerika yang tidak dinamakan.
Axios difahamkan bahawa Putera Mahkota Saudi itu telah “menggesa Encik Trump untuk mengurangkan ketegangan dan menahan diri daripada melancarkan serangan”.
Rumah Putih tidak segera memberikan respons apabila diminta mengulas mengenai laporan tersebut.
Iran dan Amerika menyambung semula pertukaran serangan pada Julai, selepas beberapa hari lengang dalam pertempuran. Namun, tiada serangan dilaporkan sepanjang malam dari 31 Julai hingga 1 Ogos.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, memberitahu Fox News awal minggu ini bahawa Amerika telah “memusnahkan” sebahagian besar pertahanan Iran, sambil menambah bahawa Teheran kini “bersedia dan kelihatan bersemangat untuk mencapai perjanjian”. – Agensi berita.