WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump berkata pada 31 Oktober bahawa Amerika telah melumpuhkan sebahagian besar kekuatan ketenteraan Iran, namun masih perlu “menangani” satu atau dua sasaran lagi, ketika Teheran memberi amaran akan mengambil tindakan balas sekiranya diserang.

Beliau menegaskan bahawa rundingan dengan Iran bagi menamatkan perang yang dimulakan oleh Amerika dan Israel pada Februari berjalan “dengan baik”, namun menambah bahawa “seperti yang anda tahu, mereka tidak begitu boleh dipercayai”.

Beliau berkata Amerika tidak tergesa-gesa untuk melancarkan tindakan ketenteraan kerana pihaknya telah pun memusnahkan sebahagian besar keupayaan ketenteraan dan program nuklear Iran.

“Kami telah melumpuhkan program nuklear mereka. Masih ada satu atau dua tapak yang perlu ditangani, tetapi kami boleh melakukannya dalam masa 10 minit,” katanya kepada wartawan di kediamannya di Florida.

“Anda mungkin boleh melihat Gunung Pickaxe, dan tapak itu perlu ditangani,” tambahnya, merujuk kepada sebuah kompleks nuklear bawah tanah yang disyaki wujud di kawasan itu.

Pemerintah Iran menafikan sebarang kegiatan berkaitan nuklear dijalankan di tapak berkenaan.

Terdahulu pada 31 Oktober, Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata Encik Trump belum membuat keputusan berhubung kemungkinan serangan baharu ke atas Iran dan Amerika terbuka kepada penyelesaian diplomatik.

Pemimpin tertinggi Iran pada 31 Oktober memberi amaran kepada Amerika dan Israel supaya tidak melancarkan serangan baharu, susulan ancaman bahawa kedua-dua negara mungkin menyambung semula serangan selepas pilihan raya penting di negara masing-masing.

Encik Trump sebelum ini memberi amaran bahawa serangan mungkin dilancarkan selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika minggu ini, manakala Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyifatkan keadaan itu sebagai “peluang bersejarah yang hanya muncul sekali” untuk menggulingkan pemerintah Iran.

Pilihan raya di kedua-dua negara itu boleh menentukan hala tuju konflik berkenaan.

Israel telah mengadakan pilihan raya umum pada 27 Oktober, namun masih belum membentuk pemerintah baharu.

“Sebarang ancaman, tanpa mengira tahap atau bentuknya, mesti dibalas dengan tindakan segera yang memberi kesan besar dan tanpa sebarang batasan geografi,” kata Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei kepada komander kanan tentera, menurut satu kenyataan.

Encik Khamenei turut mengarahkan para komander supaya mengemas kini senarai sasaran Iran dengan memasukkan “semua jenis aset ketara dan tidak ketara milik musuh Amerika-Zionis”.

Ini merupakan pertemuan pertama antara Encik Khamenei dengan barisan tertinggi kepimpinan tentera yang dilaporkan kepada umum.

Beliau tidak pernah dilihat di khalayak ramai sejak sebelum mengambil alih kepimpinan pada Mac, susulan pembunuhan bapanya, Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan Amerika-Israel. – AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti