Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump bakal hubungi Putin isu wabak pneumonia di Russia, PBB tuntut ketelusan
Trump bakal hubungi Putin isu wabak pneumonia di Russia, PBB tuntut ketelusan
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau akan menghubungi Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dalam masa terdekat berhubung laporan kematian seorang kakitangan makmal penyelidikan kes wabak pneumonia di Siberia, ketika Washington dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak Moscow memberikan penjelasan lebih telus mengenai kejadian itu.
Pihak berkuasa Russia menafikan langkah khas bagi membendung wabak pneumonia sedang dilaksanakan dan cuba meredakan kebimbangan mengenai kejadian di sebuah institut penyelidikan penyakit itu di wilayah Irkutsk, Siberia, minggu lalu.
Namun, kebimbangan semakin meningkat di Washington selepas laporan media mendakwa kakitangan makmal berusia 28 tahun itu mungkin dijangkiti pes pneumonik akibat kemalangan di makmal.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, menggesa Russia mendedahkan lebih banyak maklumat supaya risiko terhadap kesihatan awam dapat dinilai dengan tepat.
“Kami menggalakkan Russia supaya bersikap telus dan berkongsi lebih banyak maklumat dengan dunia supaya kita semua dapat bertindak dengan sewajarnya,” kata Encik Rubio semasa lawatan ke Iceland.
Encik Trump kemudian mengesahkan beliau dijadualkan bercakap dengan Encik Putin mengenai perkara itu.
“Saya mempunyai panggilan yang dijadualkan, ya,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih apabila ditanya sama ada beliau sudah bercakap dengan pemimpin Russia itu.
Menurutnya, perbualan itu akan berlangsung “tidak lama lagi”.
Apabila ditanya mengenai maklumat yang diperoleh agensi perisikan Amerika berhubung kejadian tersebut, Encik Trump berkata perbincangan mendalam sedang dilakukan.
“Kami sedang mengadakan perbincangan yang sangat mendalam. Kami mungkin dapat melaporkannya esok,” katanya.
The Wall Street Journal melaporkan Jabatan Negara Amerika turut menghantar nota diplomatik sulit kepada Russia, dengan memberi amaran bahawa kegagalan mendedahkan maklumat mengenai kejadian itu bertentangan dengan tanggungjawab kesihatan antarabangsa Moscow.
Laporan mengenai kejadian itu mula mendapat perhatian selepas saluran berita Russia, People of Baikal, melaporkan pada 2 Oktober bahawa kakitangan yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Darya Shipilova, 28 tahun.
Beliau dilaporkan mungkin dijangkiti pneumonia daripada tabung uji yang pecah.
Beberapa media lain turut melaporkan kemungkinan terdapat kaitan antara kematiannya dengan kemalangan di makmal berkenaan.
People of Baikal juga mendakwa sehingga 200 individu yang mungkin mempunyai hubungan dengan Cik Shipilova telah dikuarantin.
Namun, pihak berkuasa Russia menegaskan punca kematiannya belum dapat dipastikan.
Badan pemantau kesihatan Russia, Rospotrebnadzor, turut menafikan dakwaan bahawa langkah khas bagi membendung penyakit pneumonia telah dilaksanakan.
Ia berkata sebuah dokumen yang tersebar dalam talian dan mendakwa langkah sedemikian sedang dilaksanakan bukan daripada sumber rasmi.
“Kami ingin menjelaskan bahawa dokumen dan maklumat berkenaan tidak berasal daripada sumber rasmi dan tidak benar,” kata badan itu menerusi Telegram.
Pegawai Russia berkata ujian selepas kematian juga tidak mengesan penyakit pneumonia.
Gabenor wilayah Irkutsk, Encik Igor Kobzev, berkata pemeriksaan Rospotrebnadzor mendapati wanita itu meninggal dunia akibat radang paru-paru, tetapi punca sebenar penyakit tersebut masih “belum dapat ditentukan”.
“Tiada mikroorganisma yang dikaitkan dengan tugas profesional wanita muda itu ditemui dalam sampel biologinya,” katanya.
Beliau menambah bahawa tiada kakitangan lain di institut berkenaan mendapatkan rawatan perubatan sejak kematian Cik Shipilova.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata maklumat terbaru yang diterima daripada Russia pada Selasa menegaskan bahawa “tiada kes penyakit berbahaya ini direkodkan di bandar Irkutsk”.
Namun, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pertubuhan itu telah meminta maklumat tambahan daripada Moscow mengenai punca kes radang paru-paru tersebut dan beberapa butiran lain.
Menurutnya, perkongsian maklumat yang cepat, lengkap dan telus di bawah Peraturan Kesihatan Antarabangsa penting bagi menjelaskan laporan yang bercanggah serta membolehkan penilaian tepat dibuat terhadap sebarang potensi risiko kesihatan awam.
Wabak pneumonia ialah penyakit yang disebabkan bakteria dan boleh muncul dalam beberapa bentuk.
Ia menyerang paru-paru dan merupakan bentuk yang paling mudah berjangkit kerana ia boleh merebak melalui titisan pernafasan antara manusia.
Menurut WHO, wabak pneumonia boleh membawa maut jika pesakit tidak menerima rawatan dengan segera.
Encik Trump berkata Amerika bersedia membantu Russia sekiranya diperlukan.
Rospotrebnadzor bagaimanapun membalas pada 6 Oktober dengan berkata Moscow pula bersedia membantu Amerika menangani wabak penyakit berjangkit di negara itu.
Badan Russia itu antara lain merujuk kepada peningkatan kes campak di beberapa negeri Amerika serta satu kes kematian akibat pes yang direkodkan di New Mexico pada Jun.
Sementara itu, satu persidangan antarabangsa mengenai penyakit pes dan penyakit berjangkit lain dijadualkan berlangsung di Irkutsk pada 21 dan 22 Oktober.
Penganjur menegaskan persidangan itu tidak mempunyai kaitan dengan kematian kakitangan institut berkenaan. - Agensi berita