NEW YORK: Pentadbiran Presiden Donald Trump pada 22 Mei telah membatalkan hak Harvard untuk mendaftarkan warga asing – lebih seperempat daripada bilangan pelajarnya – dalam peningkatan perjuangannya menentang universiti berprestij itu.
Pemerintah telah memaksa pelajar asing universiti tersebut supaya berpindah ke pusat pengajian lain atau kehilangan status sah mereka, sambil turut mengancam untuk memperluaskan tindakan keras terhadap kolej lain.
Universiti di Cambridge, Massachusetts, dengan cepat menyelar langkah itu sebagai “melanggar undang-undang” dan berkata ia akan menyebabkan “kemudaratan serius” kepada kampus dan negara secara keseluruhannya.
Encik Trump berang terhadap Harvard yang telah menghasilkan 162 pemenang Hadiah Nobel – kerana menolak tuntutannya supaya ia tunduk kepada pengawasan terhadap kemasukan dan pengambil kakitangan atas dakwaannya bahawa ia adalah sarang anti-Semitisme dan ideologi liberal yang “terlindung”.
“Berkuat kuasa serta-merta, pensijilan Program Pelawat dan Pelawat Pertukaran Universiti Harvard (SEVIS) dibatalkan,” kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Cik Kristi Noem, menulis dalam surat kepada institusi Liga Ivy itu.
Harvard, yang telah mengambil tindakan saman terhadap pemerintah atas langkah lain yang telah diambil terhadapnya, dengan cepat menyifatkan tindakan itu sebagai “melanggar undang-undang”.
“Kami komited sepenuhnya untuk mengekalkan keupayaan Harvard untuk menjadi tuan rumah kepada pelajar dan sarjana antarabangsa kami.
“Tindakan balas dendam ini mengancam bahaya serius kepada komuniti Harvard dan negara kami, dan melemahkan misi akademik dan penyelidikan Harvard,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada April, Encik Trump mengancam untuk menghentikan Harvard daripada mendaftarkan pelajar asing jika ia tidak bersetuju dengan tuntutan pemerintah yang mahu meletakkan institusi swasta itu di bawah pengawasan politik luar.
“Seperti yang saya jelaskan kepada anda dalam surat April saya, adalah satu keistimewaan untuk mendaftarkan pelajar asing,” tulis Cik Noem.
“Semua universiti mesti mematuhi kehendak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, termasuk keperluan pelaporan di bawah peraturan Program Pelawat Pelajar dan Pertukaran, untuk mengekalkan keistimewaan ini,” katanya.
Cik Noem berkata: “Akibat keengganan anda untuk mematuhi pelbagai permintaan untuk memberikan maklumat berkaitan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri sambil mengekalkan persekitaran kampus yang tidak selamat dan memusuhi pelajar Yahudi, menggalakkan simpati pro-Hamas dan menggunakan dasar ‘kepelbagaian, ekuiti dan inklusif’ perkauman, anda telah kehilangan keistimewaan ini.”
Lebih daripada 27 peratus pendaftaran Harvard terdiri daripada pelajar asing pada tahun akademik 2024 hingga 2025, menurut data universiti tersebut. – AFP, Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg