Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak Melayu pertama S’pura raih ijazah kedoktoran kesihatan umum Universiti Harvard

May 26, 2024 | 5:30 AM
Dr Eirliani Abdul Rahman, 47 tahun, meraih Ijazah Kedoktoran Kesihatan Awam (DrPH) dari Sekolah Kesihatan Umum, T.H. Chan, Universiti Harvard di Boston, Massachusetts.
Dr Eirliani Abdul Rahman, 47 tahun, meraih Ijazah Kedoktoran Kesihatan Awam (DrPH) dari Sekolah Kesihatan Umum, T.H. Chan, Universiti Harvard di Boston, Massachusetts. - Foto KATHLEEN GUYTINGCO

Seorang anak Melayu menjadi warga Singapura pertama yang meraih Ijazah Kedoktoran Kesihatan Awam (DrPH) dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat baru-baru ini

Dr Eirliani Abdul Rahman, 47 tahun, dinamakan sebagai salah satu daripada dua lulusan yang meraih Ijazah Kedoktoran itu dari Sekolah Kesihatan Umum, T.H. Chan, universiti itu di Boston, Massachusetts, pada 23 Mei lalu.

Akhbar ini melaporkan pada 2021, Dr Eirliani merupakan warga Singapura pertama yang menuntut pengajian tinggi jurusan itu. Beliau kini menyandang jawatan sebagai Penyelidik Gabungan di Pusat bagi Teknologi dan Demokrasi Minderoo di Universiti Cambridge.

Dr Eirliani, mantan Penolong Pengarah Kanan, Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), yang telah menyandang pelbagai jawatan dalam pejabat ehwal luar Singapura, berminat memperjuang hak kanak-kanak dan wanita serta menceburi isu-isu mendesak dalam bidang keselamatan siber.

Beliau juga memegang beberapa biasiswa kenamaan, antara lain, Biasiswa Institut Teknologi Terbuka, New America; Biasiswa Keamanan Antarabangsa P.E.O. – sebuah pertubuhan tidak meraih untung bagi hak wanita; dan Biasiswa Possiswazah Berprestij, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Ketika dihubungi Berita Minggu, anak sulung dalam keluarga tiga beradik itu berkata pengalamannya sepanjang tiga tahun di Harvard sangat luar biasa.

Dr Eirliani menceburi kajian dalam isu keselamatan dan keyakinan dalam dunia teknologi, dalam era yang pesat berkembang dan melihat perkembangan teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI).

Beliau berpeluang menyertai kelas di sekolah-sekolah berprestij lain di Harvard, seperti Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dan menyertai kumpulan pertama “Pelajar Pemimpin Harvard dalam bidang AI”.

Kajian bagi ijazah kedoktorannnya menyentuh tentang isu-isu sosial baru yang berlaku dalam ruang siber, khususnya isu gangguan dalam talian yang dirancang pelbagai pihak dan bagaimana ia boleh menjejas demokrasi.

Dr Eirliani berkata kajiannya meliputi isu “Gamegate” yang mana seorang pereka permainan video wanita dari Amerika pada 2014 menjadi mangsa satu kempen ancaman berunsur misogini dalam talian. Misogini adalah perasaan benci terhadap orang pe­rempuan, terutama oleh orang lelaki.

Beliau melihat isu itu sebagai satu sudut bagaimana teknologi digunakan pelbagai pihak untuk merancang serangan terhadap golongan atau individu tertentu.

Beliau berpendapat bahawa perbuatan itu boleh menggugat proses demokrasi, lebih-lebih lagi dalam konteks sedunia dengan beberapa pilihan raya besar akan berlangsung di pelbagai negara dan calon politik tertentu seperti calon wanita atau individu dari golongan minoriti berisiko menjadi mangsa serangan sedemikian.

“Terdapat keperluan mendesak untuk menangani isu ini sebab pihak-pihak yang melakukan ancaman seperti itu secara dirancang boleh berbuat demikian di media sosial tanpa rasa takut terhadap sebarang balasan,” katanya.

Menurut laman Harvard, program Ijazah Kedoktoran Kesihatan Awam itu merupakan ijazah kedoktoran berbilang disiplin yang juga melatih pelajar dalam kemahiran kepimpinan, pengurusan, perhubungan dan daya pemikiran inovatif.

Ia disediakan bagi karyawan berpengalaman yang mempunyai ijazah sarjana serta mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya enam tahun dalam bidang kesihatan umum atau disiplin relevan dalam perkhidmatan awam.

Antara pencapaian Dr Eirliani termasuk dinamakan sebagai penerima Anugerah Pemimpin Bertanggungjawab Yayasan BMW pada 2015.

Beliau juga telah bertugas di India sebagai Pengarah Program sebuah yayasan kanak-kanak dikendali aktivis hak kanak-kanak Encik Kailash Satyarthi yang juga seorang penerima Hadiah Nobel Keamanan.

Sewaktu di Harvard, beliau diberi peluang menyampaikan ceramah di beberapa persidangan meliputi isu keyakinan dan keselamatan, demokrasi dan teknologi di Universiti Stanford di California, Universiti Cambridge di United Kingdom, serta satu sidang puncak di Dublin, Jerman.

Dr Eirliani berkata antara cabaran dihadapinya ketika menuntut pengajian tinggi di sekolah berprestij tersebut adalah ketika beliau menyertai sekolah itu dalam era pandemik pada 2021.

“Sementara pelajar lain dapat pulang ke rumah pada musim panas tahun itu, saya dan beberapa pelajar lain terpaksa duduk di sekolah sahaja,” katanya.

Menurutnya, beliau juga belum pulang ke tanah air sejak beliau menyertai sekolah itu pada 2021, ekoran kesempitan wang.

“Jadi saya berharap akhirnya dapat pulang ke Singapura pada musim panas nanti,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg