Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump beri amaran keras kepada Hamas dan Iran selepas rundingan dengan Netanyahu

Netanyahu pecah tradisi, anugerahkan Hadiah Israel kepada Presiden AS Trump
Dec 30, 2025 | 10:17 AM
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyambut ketibaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di kelab Mar-a-Lago miliknya di Palm Beach, Florida, pada 29 Disember 2025. Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan isu keselamatan serantau di Asia Barat serta memperkukuh kerjasama strategik antara Amerika Syarikat dan Israel.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyambut ketibaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di kelab Mar-a-Lago miliknya di Palm Beach, Florida, pada 29 Disember 2025. Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan isu keselamatan serantau di Asia Barat serta memperkukuh kerjasama strategik antara Amerika Syarikat dan Israel. - Foto AFP

PALM BEACH: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran keras kepada Iran dan Hamas ketika tampil bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu sidang media bersama di Florida pada 29 Disember, sekali gus menonjolkan kesatuan pendirian Washington–Tel Aviv di tengah gencatan senjata Gaza yang masih rapuh dan ketegangan serantau yang berlarutan.

Berucap di resort mewahnya, Mar-a-Lago, Encik Trump menegaskan bahawa Iran akan berdepan serangan baharu sekiranya cuba membina semula program nuklear atau peluru berpandu balistiknya selepas siri serangan Amerika Syarikat dan Israel awal tahun ini.

Pada masa sama, beliau memberi amaran keras kepada Hamas, sambil menegaskan kumpulan itu mesti melucutkan senjata seperti yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata Gaza. “Jika mereka gagal melucutkan senjata seperti yang telah dipersetujui, maka mereka akan berdepan akibat yang amat berat,” kata Encik Trump kepada wartawan. “Mereka perlu melucutkan senjata dalam tempoh yang agak singkat.”

Namun, sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, menegaskan pada hari yang sama bahawa mereka tidak akan menyerahkan senjata. Dalam satu mesej video, kumpulan itu berkata, “Rakyat kami mempertahankan diri dan tidak akan melepaskan senjata selagi pendudukan masih berterusan.”

Kenyataan Encik Trump itu segera dibalas dari Tehran. Encik Ali Shamkhani, penasihat kanan politik kepada Pemimpin Tertinggi Iran, memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan terhadap negaranya akan menerima tindak balas segera dan keras. “Keupayaan peluru berpandu dan pertahanan Iran tidak boleh dihadkan atau ditentukan oleh pihak lain. Sebarang pencerobohan akan menerima tindak balas keras yang segera, di luar jangkaan perancangnya,” tulis beliau di platform X.

Walaupun menggunakan bahasa yang tegas, Encik Trump berkata beliau percaya Iran masih berminat untuk mencapai perjanjian dengan Washington berkaitan isu nuklear dan peluru berpandu. Iran, bagaimanapun, terus menafikan dakwaan bahawa ia sedang membangunkan senjata nuklear.

Dalam sidang media yang sama, Encik Trump cuba meredakan laporan mengenai perbezaan pandangan antara beliau dan Encik Netanyahu berkaitan fasa kedua gencatan senjata Gaza. Beliau berkata Israel telah “mematuhi komitmennya” dan menegaskan tanggungjawab kini terletak pada Hamas.
“Saya tidak melihat perbezaan besar antara saya dan Perdana Menteri,” kata Encik Trump. “Saya tidak bimbang dengan apa yang Israel lakukan.”

Encik Netanyahu pula menyifatkan pertemuannya dengan Trump sebagai “sangat produktif”, sambil mengumumkan bahawa Israel akan menganugerahkan Trump anugerah awam tertinggi negara itu, Hadiah Israel pada 2026. Keputusan itu memecahkan tradisi berdekad-dekad, kerana anugerah tersebut lazimnya diberikan kepada warganegara atau penduduk Israel.

Dari sudut dasar, Encik Trump menekankan keinginannya untuk bergerak ke fasa seterusnya dalam pelan Gaza, yang melibatkan penubuhan pemerintah Palestin bersifat teknokratik serta penempatan pasukan penstabilan antarabangsa. Laman berita Axios melaporkan bahawa Washington berharap dapat membuat pengumuman seawal Januari berkaitan kerajaan interim dan pasukan antarabangsa itu.

Bagaimanapun, isu pelucutan senjata Hamas terus menjadi halangan utama. Walaupun Encik Trump berkata beliau berharap pembinaan semula Gaza dapat dimulakan tidak lama lagi, realiti di lapangan menunjukkan jurang besar antara visi diplomatik Washington dan pendirian keras pihak-pihak yang terlibat.

Pertemuan Encik Trump dan Encik Netanyahu itu turut menyentuh isu-isu serantau lain, termasuk Syria dan Hezbollah di Lebanon. Encik Trump berkata beliau berharap Netanyahu dapat “menjalin hubungan yang baik” dengan presiden baru Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, bekas komander pemberontak yang menggulingkan Bashar al-Assad setahun lalu, walaupun Israel terus melancarkan serangan di kawasan sempadan.

Lawatan Encik Netanyahu ke Palm Beach itu menutup beberapa hari diplomasi antarabangsa yang padat bagi Encik Trump, selepas beliau menerima kunjungan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, sehari sebelumnya untuk membincangkan usaha menamatkan perang Russia-Ukraine. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg