WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, di Rumah Putih pada 7 Julai ketika perbincangan tidak langsung antara Israel dengan Hamas berlangsung untuk merundingkan gencatan senjata yang disokong Washington di Gaza.
Dalam pertemuan tertutup yang diadakan di Bilik Biru bukan di Pejabat Oval seperti kebiasaan – kedua-dua pemimpin membincangkan usaha rundingan gencatan senjata serta perkembangan berkaitan konflik dengan Iran.
Lawatan Encik Netanyahu berlangsung selepas Encik Trump meramalkan, satu perjanjian boleh dicapai minggu ini.
Ini adalah pertemuan ketiga secara bersemuka antara Encik Trump dengan Encik Netanyahu sejak Encik Trump kembali menyandang jawatan Presiden pada Januari.
“Saya fikir kita semakin hampir menemui beberapa negara yang benar-benar ingin membantu memberikan masa depan lebih baik kepada rakyat Palestin,” kata Encik Netanyahu kepada media pada awal majlis makan malam itu.
“Jika mereka mahu tinggal, mereka boleh tinggal. Tetapi jika mahu keluar, mereka patut dibenarkan keluar,” tambah Encik Netanyahu merujuk kepada kemungkinan pemindahan penduduk Gaza ke negara jiran.
Encik Netanyahu menyerahkan sepucuk surat kepada Encik Trump sebagai pencalonan beliau untuk Hadiah Keamanan Nobel, satu isyarat simbolik yang disambut baik oleh Presiden Amerika itu.
“Beliau sedang mengukir perdamaian, satu demi satu, dari negara ke negara, dari rantau ke rantau,” kata Encik Netanyahu.
Encik Trump sebelum ini telah menerima beberapa pencalonan bagi Hadiah Nobel daripada penyokong serta ahli politik Republikan yang setia, namun menyatakan kekecewaannya kerana tidak pernah terpilih sebagai penerima anugerah berprestij itu.
Dalam majlis makan malam yang sama, Encik Trump menyatakan bahawa pentadbirannya sedang merancang pertemuan dengan Iran dalam masa terdekat.
Ia merupakan usaha mengekalkan rentak diplomatik selepas serangan udara bersama ke atas tapak nuklear Iran dan kejayaan perjanjian gencatan senjata selama 12 hari yang dicapai sebelum ini.
Encik Trump turut menyatakan hasrat berbincang dengan Encik Netanyahu mengenai kemungkinan perjanjian kekal dengan Iran, musuh utama serantau Israel.
Pada masa sama, rundingan gencatan senjata diteruskan di Doha, Qatar, dengan kehadiran perantara Amerika, Encik Steve Witkoff, yang memainkan peranan penting dalam merangka cadangan gencatan senjata selama 60 hari.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, mengesahkan Encik Witkoff akan menyertai rundingan di Doha minggu ini.
Namun, menurut sumber Palestin, masih terdapat jurang besar antara kedua-dua pihak, khususnya berkaitan bantuan kemanusiaan.
“Israel masih tidak membenarkan kemasukan bantuan secara bebas dan selamat ke Gaza,” kata sumber itu kepada agensi berita, Reuters.
Israel pula menegaskan mereka berusaha menyalurkan makanan tetapi mahu mengelak bantuan disalahgunakan oleh militan.
Cadangan yang dibawa oleh Amerika melibatkan pembebasan tebusan secara berperingkat, pengunduran tentera Israel dari bahagian tertentu Gaza, serta perbincangan untuk menamatkan perang sepenuhnya.
Namun, Hamas tetap berkeras agar perang ditamatkan dahulu sebelum sebarang pembebasan baki tebusan dilakukan.
Israel pula menuntut semua tebusan dibebaskan dan Hamas dilucutkan senjata sebelum menghentikan operasi ketenteraan.
Menurut Encik Trump, beliau akan bersikap “amat tegas” dalam menekankan keperluan penyelesaian segera konflik Gaza kepada Encik Netanyahu.
“Perdana Menteri juga mahu mengakhiri perang ini,” katanya kepada media sebelum ini.
Bagaimanapun, beberapa anggota gabungan Encik Netanyahu yang bersifat keras masih menentang sebarang usaha menghentikan operasi tentera.
Namun dengan keletihan rakyat Israel terhadap perang yang sudah memasuki bulan ke-21, pemerintah dijangka menyokong gencatan senjata jika syarat yang boleh diterima dicapai.
Seorang penduduk Gaza, Encik Abu Suleiman Qadoum, yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan, merayu agar perunding mencapai penyelesaian segera.
“Saya mohon kepada Tuhan agar delegasi perunding dan para pengantara benar-benar... selesaikan isu ini. Ia sudah tidak tertanggung,” katanya.
Encik Netanyahu dilaporkan membincangkan peluang pemulihan hubungan Israel dengan negara Arab seperti Lebanon, Syria dan Arab Saudi, dengan Encik Trump.
Isu itu mendapat perhatian susulan kelemahan Iran dalam konflik terdahulu yang membuka ruang baru dalam geopolitik rantau itu.
Sebelum pertemuan dengan Encik Trump, Encik Netanyahu turut mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio dan Encik Witkoff.
Beliau dijadual bertemu pemimpin Kongres Amerika di Capitol Hill pada 8 Julai.
Konflik Gaza yang meletus sejak serangan Hamas ke atas selatan Israel pada Oktober 2023, telah meragut kira-kira 1,200 nyawa rakyat Israel dan menyebabkan 251 orang dijadikan tebusan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 57,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan balas Israel sejak itu.
Separuh daripada penduduk Gaza kini hidup dalam pelarian, dan hampir setengah juta orang di ambang kebuluran menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Encik Trump terus menunjukkan sokongan padu kepada Encik Netanyahu, termasuk mempertahankan beliau dalam perbicaraan rasuah yang sedang berjalan di Israel.
Pada Jun, beliau mengecam pendakwa raya Israel dalam satu kenyataan yang disifatkan mencampuri urusan dalaman negara sekutunya itu.
“Saya percaya kita berada pada titik penting,” kata Encik Trump dalam majlis makan malam itu.
“Kita boleh buat perubahan yang besar – bukan hanya untuk Israel, bahkan untuk seluruh rantau,” tambahnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg