Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump berkempen di ruang terbuka pertama sejak cubaan bunuh

Aug 21, 2024 | 1:45 PM
Langkah keselamatan dipertingkat semasa perhimpunan petang di muzium penerbangan di Asheboro, North Carolina, pada 21 Ogos.
Langkah keselamatan dipertingkat semasa perhimpunan petang di muzium penerbangan di Asheboro, North Carolina, pada 21 Ogos. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Encik Donald Trump mengadakan perhimpunan di luar pada 21 Ogos di North Carolina, iaitu acara kempen terbuka pertama mantan presiden Amerika Syarikat itu sejak beliau terlepas daripada cubaan membunuhnya pada Julai.

Langkah keselamatan dipertingkat untuk perhimpunan petang di muzium penerbangan di Asheboro, North Carolina, termasuk penggunaan kaca kalis peluru, di sekeliling podium calon Republikan, lapor media Amerika, memetik kakitangan keselamatan dan kempen.

Perkhidmatan Risik telah mengesyorkan agar Encik Trump berhenti mengadakan acara di luar, selepas agensi yang ditugaskan untuk melindungi presiden dan calon, gagal menghalang seorang lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan ke arahnya dari bumbung, pada perhimpunan di Butler, Pennsylvania.

Kejadian itu mencederakan Encik Trump di telinga dan menyebabkan kematian seorang dalam kalangan orang ramai.

Encik Trump, yang telah mengadakan kira-kira 12 perhimpunan dalaman sejak penembakan itu, secara terbuka menyatakan beliau mahu kembali ke acara terbuka.

Pada 31 Julai, beliau memberitahu penyokong di arena tertutup di Harrisburg, Pennsylvania, bahawa “kami tidak melepaskan perhimpunan luar”.

Beberapa hari sebelum itu, Encik Trump yang berusia 78 tahun menyiarkan di media sosial bahawa beliau akan terus mengadakan acara terbuka, “dan Perkhidmatan Risik telah bersetuju untuk meningkatkan operasi mereka”.

Sementara itu, semasa berkempen di Michigan pada 20 Ogos, Encik Trump menyerang rekod saingan Demokrat, Cik Kamala Harris, mengenai jenayah dan keselamatan.

Beliau turut menyangkal kritikan daripada kempennya berhubung mengadakan acara di bandar Michigan, tempat ketuanan kulit putih telah berhimpun sebulan lalu.

Kempen itu adalah salah satu daripada acara yang sudah direncanakan oleh Encik Trump di negeri-negeri yang dipertaruhkan.

Demokrat berkempen di Chicago untuk secara rasmi memilih Cik Harris sebagai calon mereka dalam pilihan raya presiden pada 5 November.

Tetapi acara di Howell, Michigan itu menarik perhatian khusus, kerana sejarah bandar itu yang bersahabat dengan pertubuhan samseng, Ku Klux Klan.

Pada Julai, belasan anggota ketuanan kulit putih melaungkan, “Heil Hitler”, dan membawa papan tanda, “White Lives Matter” semasa perarakan melalui pusat bandar Howell.

Menurut media tempatan, kumpulan penunjuk perasaan lain menjerit, “Kami sayang Hitler, kami sayang Trump” dari jejantas lebuh raya di luar bandar. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg