Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump buat penampilan pertama di Milwaukee selepas cubaan bunuh

Jul 16, 2024 | 4:31 PM
Dengan telinga berbalut, calon presiden Republikan dan mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (dua dari kiri), menghadiri hari pertama Konvensyen Kebangsaan Republikan (RNC) di Forum Fiserv di Milwaukee, Wisconsin, pada 15 Julai.
Dengan telinga berbalut, calon presiden Republikan dan mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (dua dari kiri), menghadiri hari pertama Konvensyen Kebangsaan Republikan (RNC) di Forum Fiserv di Milwaukee, Wisconsin, pada 15 Julai. - Foto AFP

MILWAUKEE: Encik Donald Trump melangkah masuk dengan penuh bangga ketika menutup hari pertama Konvensyen Kebangsaan Republikan (GOP), menerima tepukan gemuruh daripada para anggota parti selepas terselamat daripada cubaan membunuhnya pada 14 Julai.

Mantan presiden itu berjalan ke Forum Fiserv di pusat bandar Milwaukee dengan orang ramai bersorak ketika pemuzik Lee Greenwood menyanyikan lagu, ‘God Bless the U.S.A.’

Telinga kanannya berbalut akibat terkena peluru, beberapa jam selepas beliau secara rasmi diisytiharkan sebagai calon presiden dalam pilihan raya pada November.

“Lawan! Lawan! Lawan!” orang ramai melaungkan sambil menunjukkan tangan penumbuk mereka, merujuk kepada tindak balas Encik Trump sendiri pada saat-saat selepas beliau ditembak.

Telinga kanan Encik Trump terkena tembakan peluru hanya beberapa minit selepas beliau memulakan ucapannya di perhimpunan di Pennsylvania.

“Beliau hadir malam ini untuk menunjukkan keberanian dan keteguhannya terhadap individu yang cuba membunuhnya. Anda tidak akan dapat menjatuhkan beliau.

“Trump mempunyai keberanian dan kekuatan serta akan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang seterusnya,” kata Greenwood mengenai mantan presiden itu.

Serangan pada perhimpunan kempen pilihan raya Encik Trump di Pennsylvania itu mengorbankan seorang penyokong dan dua yang lain cedera.

Ia memaparkan landskap politik Amerika yang sangat retak menjelang pilihan raya 5 November antara Encik Trump dengan Presiden Demokrat, Encik Joe Biden.

Encik Trump memberitahu New York Post pada 15 Julai bahawa beliau ‘sepatutnya mati’ selepas terselamat daripada cubaan membunuhnya.

“Saya tidak sepatutnya berada di sini, saya sepatutnya sudah mati,” kata Encik Trump dalam satu temu bual di pesawatnya dalam perjalanan ke Milwaukee untuk Konvensyen Kebangsaan Republikan lokasi beliau ditetapkan untuk disahkan sebagai calon presiden parti.

Ia adalah “pengalaman yang sangat luar biasa”, katanya yang bercerita dengan jelas, dengan pembalut putih menutup telinga kanannya.

Pentadbiran Biden mengumumkan pada 15 Julai bahawa calon Presiden Robert F Kennedy Jr, juga akan dilindungi oleh Perkhidmatan Rahsia susulan cubaan bunuh Encik Trump di Pennsylvania.

“Susulan kejadian hujung minggu ini, presiden telah mengarahkan saya untuk bekerjasama dengan Perkhidmatan Rahsia bagi menyediakan perlindungan kepada Robert Kennedy Jr,” kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Encik Alejandro Mayorkas semasa taklimat media di Rumah Putih.

Beliau juga berkata Perkhidmatan Rahsia telah meningkatkan perlindungan terhadap Encik Trump berdasarkan “sifat ancaman yang semakin berkembang terhadap mantan presiden itu”.

“Berdasarkan apa yang sedang berlaku di dunia hari ini, saya percaya adalah penting untuk Robert F Kennedy Jr menerima perlindungan Perkhidmatan Rahsia (dengan) segera,” tambah beliau.

Sebelum ini, bapa saudara Kennedy Jr iaitu Presiden John F Kennedy ditembak mati di Dallas, Texas pada November 1963.

Adik presiden terbabit, Robert F Kennedy turut dibunuh pada Jun 1968 di Los Angeles, pada malam beliau memenangi pemilihan presiden Demokratik California dan Dakota Selatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg